April 2, 2013

Terpaksa menumpang, hilang tempat bergantung


Rutin harian Salinda menguruskan anak-anak yang masih kecil dan anak OKU.

PASIR GUDANG – Lima beranak di Kampung Plentong Baru, di sini lalui detik sukar apabila hilang sumber pendapatan keluarga selepas tonggak utama keluarga itu meninggal dunia dua minggu lalu.

Salinda Rafiei, 30, berkata, dia bersama empat anak yang berusia antara setahun hingga 12 tahun terpaksa menumpang ibu bapanya untuk meneruskan hidup.

Lebih menyedihkan, anak bongsu yang masih kecil dan anak kedua yang merupakan kanak-kanak orang kurang upaya (OKU) membuatkan dirinya buntu untuk mencari sumber pendapatan keluarga.

“Saya tak tau nak buat apa untuk dapatkan duit. Anak-anak masih kecil, anak kedua memerlukan  penjagaan rapi kerana dia hanya mampu terbaring.

“Saya tak sampai hati nak susahkan emak. Lagipun anak saya hanya boleh makan bubur dan minum susu,” katanya kepada Sinar Harian, di sini, semalam.

Anak keduanya yang dilahirkan normal menjadi cacat selepas kemalangan yang menimpa pada usia empat bulan ketika ditinggalkan bersama pengasuh.

Menurutnya, bantuan bulanan sebanyak RM300 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sekadar cukup menampung kos susu dan lampin pakai buang dua anaknya.

“Sejak anak kedua ditimpa kemalangan, saya sudah tidak bekerja. Dulu saya hanya mengharapkan pendapatan suami.

“Dapat duit bantuan memang saya akan belanjakan untuk lampin pakai buang dan susu. Jika ada yang berbaki pun kurang RM50 akan saya gunakan untuk keperluan anak sekolah,” katanya.

Dia cuba menjalankan pelbagai kerja dari rumah sebelum ini, tetapi sukar disiapkan kerana gangguan anak.

“Saya mohon mana-mana pihak bantulah saya untuk membolehkan saya mencari sumber pendapatan.

“Saya tak sanggup nak susahkan ibu bapa lagi. Seboleh mungkin saya nak ada sumber pendapatan sendiri,” katanya.

Sinar Harian 1 Apr 2013

0 comments:

Post a Comment