April 10, 2013

Hasrat beli motor terkubur


Mayat mangsa dihantar ke Hospital Tampin untuk bedah siasat.

REMBAU – “Jika diikutkan bulan depan adik mahu melunaskan baki ansuran bulanan motosikal saya yang digunakan sejak setahun lalu bagi membeli motosikal baru iaitu Kawasaki 150 RR,” luah abang mangsa kemalangan maut, Shazarul Shaharudin, 28, ketika ditemui di pekarangan Bilik Mayat Hospital Tampin (HT), semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah malam itu, mangsa, Shazarizal Shaharudin, 19, yang menunggang motosikal Yamaha 125 Z disahkan maut di tempat kejadian akibat cedera parah pada bahagian badan dan kepala selepas terbabit dalam kemalangan di Kilometer 231.8, Lebuhraya Utara-Selatan (arah selatan), di sini.

Shazarul berkata,  ketika kejadian, adik bongsunya itu dipercayai dalam perjalanan pulang dari kampung mereka di Jimah Baru, Seremban ke kediamannya di Batu Berendam selepas bercuti hujung minggu.

“Arwah adik sememangnya tinggal bersama saya sejak setahun lalu dan bekerja di loji Petronas Sungai Udang. Oleh itu, bagi memudahkannya adik pergi bekerja, adik menggunakan motosikal saya.

“Sebelum ini arwah adik ada menyatakan kepada saya untuk melunaskan lebih awal baki ansuran bulanan iaitu pada bulan depan kira-kira RM1,500 bagi membeli motosikal baru walaupun tempoh sebenarnya adalah pada Disember ini,” katanya.

Shazarizal berkata, dia sebenarnya masih lagi terkejut dan merasakan kehilangan kerana dia dan adiknya itu sangat rapat sejak kecil lagi.

“Bagaimanapun, dua minggu kebelakangan ini, saya lihat arwah adik kelihatan sering penat dan menyendiri.  Malah, bila saya masuk ke bilik, baru adik saya keluar ke ruang tamu rumah.

“Arwah adik akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Jimah Baru, Seremban, petang ini (semalam), " katanya.

Sementara itu, jurucakap polis berkata, berdasarkan siasatan awal, dipercayai mangsa yang menunggang motosikal mengalami kecederaan parah berkemungkinan dilanggar kenderaan lain.

Bagaimanapun, orang awam yang mempunyai maklumat mengenai kejadian berkenaan diminta menghubungi bilik gerakan Ibu Pejabat Daerah (IPD) Rembau di talian 06-6852222 atau tampil di balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

Sinar Harian 9 Apr 2013

0 comments:

Post a Comment