April 22, 2013

Bekas YDP Melaka meninggal dunia


KUALA LUMPUR - Bekas Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Syed Zahiruddin Syed Hassan meninggal dunia di kediaman keluarganya di Petaling Jaya, Selangor malam kelmarin.

Menurut anaknya, Syed Hassan, Allahyarham yang berusia 95 tahun dan merupakan Orang Besar Empat Perak itu meninggal dunia kerana masalah buah pinggang dan sakit tua.

Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara di sini pukul 12 tengah hari semalam.

Allahyarham meninggalkan balu, Toh Puan Halimah Md. Noh, 88, dan 10 orang anak serta lebih 30 cucu dan cicit.

Syed Hassan ketika dihubungi berkata, Allahyarham sebelum ini menerima rawatan di Hospital Pakar Damansara, Petaling Jaya sejak 10 hari lalu.

Ketika hayatnya, Allahyarham menjadi Yang DiPertua Negeri Melaka (1975 hingga 1984), Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke United Kingdom ((1974), Duta Besar Malaysia ke Republik Ireland (1975) dan Pro-Canselor Universiti Malaya ke-3 (1987). - Bernama

22 Apr 2013

0 comments:

Post a Comment