April 1, 2013

Setengah jam pujuk mangsa keluar kenderaan

Honda CRV dinaiki tiga sahabat terbabas merempuh tembok, lalu terbalik.

ALOR GAJAH - Seorang wanita cedera apabila kereta dinaiki bersama dua rakannya terlibat kemalangan di Kilometer 211.3 Lebuhraya Utara - Selatan, arah utara, di sini, tengah malam semalam.

Dalam kejadian kira-kira 12.30 malam itu, Delaila Ahmad, 26, cedera selepas kereta Honda CRV dipandu Rahmat Naning, 50-an, dari Johor Bahru terbabas lalu terbalik ketika dalam perjalanan ke Subang, Selangor.

Bagaimanapun, Rahmat dengan seorang lagi penumpang, Suhaila Ismail, 35, tidak mengalami sebarang kecederaan.

Menurut sumber, kereta dinaiki ketiga-tiga mangsa terbabas ke kiri lebuhraya sebelum merempuh tembok tebing dan terhumban ke dalam longkang sehingga keempat-empat tayar kenderaan itu ke atas.

"Ketika kejadian, kereta dinaiki kesemua mangsa berada di lorong tengah sebelum dilihat dalam keadaan terhoyong-hayang meluncur laju ke kiri jalan sehingga ke tebing dan merempuh tembok.

"Kereta terbalik itu kemudian terbalik dengan keempat-empat tayar ke atas. Bagaimanapun, mangsa berada dalam keadaan sedar dan tidak tersepit,” katanya.

Menurutnya, menyedari keadaan dua mangsa wanita yang tergamam dalam kereta, orang awam mengambil masa kira-kira setengah jam untuk memujuk mereka keluar dari kenderaan terbabit.

“Wanita berusia 26 tahun itu mengadu sakit di bahagian dada serta di kaki, namun enggan keluar dari kereta terbabit meskipun dipujuk beberapa kali untuk dihantar ke hospital.

“Kira-kira setengah jam kemudian barulah mangsa keluar dari kereta dibantu orang awam dan duduk di tebing sambil ditenangkan orang ramai," katanya.

Katanya, orang awam kemudian segera menghubungi bantuan kecemasan sebelum ambulan tiba beberapa minit kemudian untuk membawa dua mangsa ke Hospital Alor Gajah.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Umar Ali Saifuddin Shaharuddin mengesahkan kejadian.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sinar Harian 1 Apr 2013

0 comments:

Post a Comment