February 24, 2013

Terperangkap dalam longkang



Tiga bersaudara nyaris maut apabila kenderaan pacuan empat roda dinaiki hilang kawalan lalu merempuh pokok di tepi jalan sebelum terbabas ke dalam longkang besar di Jalan Pujut di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 11 malam, ketiga-tiga mangsa berusia 20-an itu terperangkap selama 15 minit dalam kenderaan sebelum diselamatkan orang ramai.

Difahamkan, sebelum kejadian, pikap Toyota Hilux dipandu lelaki berusia 24 tahun itu bersama dua saudaranya termasuk seorang wanita dalam perjalanan menziarah ibu saudara mereka di Permyjaya.

Bagaimanapun, menurut sumber kereta dipandu dipercayai hilang kawalan lalu merempuh pokok sebelum terbabas sejauh lebih 10 meter memasuki longkang di belakang rumah penduduk.

“Pikap itu remuk hampir seluruh bahagian termasuk enjin sehingga menyebabkan tiga mangsa terbabit tersepit.

“Akibat kejadian itu, penumpang wanita patah kaki kanan, manakala pemandunya hanya cedera ringan di kepala. Bagaimanapun seorang lagi penumpang tidak cedera,” katanya.

Mangsa yang cedera dibawa ke Hospital Miri dengan ambulans.

Sementara itu, jurucakap Balai Polis Trafik Miri, ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan kedua-dua mangsa masih menerima rawatan di hospital.

myMetro 23 Feb 2013

0 comments:

Post a Comment