January 1, 2013

Tiga sekeluarga ditemui mati di Pengerang

Kota Tinggi: Sepasang suami isteri bersama anak mereka yang juga penghidap Sindrom Down ditemui mati, dipercayai akibat lemas di rumah mereka di Kampung Jawa, Pengerang di sini semalam.

Mayat mereka ditemui pasukan polis yang membuat pemeriksaan selepas menerima laporan jiran yang mengesyaki sesuatu selepas rumah keluarga berkenaan ditutup rapat.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Che Mahazan Che Aik, berkata mayat lelaki berusia 60 tahun; isterinya 57 tahun dan anak lelaki mereka berusia lingkungan 20-an ditemui di bilik utama rumah berkenaan.

Bakar bahan getah 

Katanya, pemeriksaan awal mendapati ada bau asap di dalam rumah itu dan pihaknya mengesyaki ia menjadi punca kematian tiga sekeluarga itu.

Difahamkan, lelaki itu mengunci bilik utama sejak tengah malam kelmarin sebelum mengambil serbuk kayu dan membakar bahan getah bagi mengeluarkan asap sehingga menyebabkan ketiga-tiga mereka lemas akibat terhidu asap.

Kejadian itu hanya disedari jiran mangsa yang curiga apabila melihat rumah mangsa bertutup sepanjang hari dan sunyi berbanding biasanya kedengaran suara bising anak mangsa.
Tiada unsur jenayah

“Kami mendapati ada bau asap dalam rumah berkenaan yang dipercayai punca ketiga-tiga mereka lemas. Hasil bedah siasat juga mendapati mereka mati akibat membunuh diri dan tiada unsur jenayah,” katanya kepada pemberita di sini, semalam.

Che Mahazan berkata, penduduk mendakwa lelaki itu pernah memberitahu jirannya bahawa dia ingin membunuh diri berikutan kesukaran hidup akibat isterinya yang lumpuh akibat serangan angin ahmar dan anak mereka menghidap Sindrom Down.

Berita Harian 2 Jan 2013



Jangan politikkan kes kematian tiga beranak di Pengerang

JOHOR BAHRU - Ketua Polis Johor Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff mengingatkan semua pihak agar tidak mempolitikkan kematian tiga beranak di Kampung Jawa, Pengerang dan mengaitkannya dengan projek Pembangunan Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (Rapid).

Beliau berkata siasatan polis mendapati kematian mereka bermotifkan bunuh diri akibat tekanan hidup menguruskan anggota keluarga yang uzur termasuk seorang menghidap Sindrom Down.

"Oleh itu, saya mengingatkan semua pihak supaya tidak mengeksploitasi kematian tiga beranak ini kerana kematian mereka tiada kaitan langsung sama ada dengan projek Rapid, politik mahupun kemiskinan,' katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

Mohd Mokhtar berkata adik mangsa menerusi satu laporan polis yang dibuat pada pagi semalam turut mengesahkan kematian tiga beranak itu disebabkan tekanan hidup dan tiada kaitan dengan projek pembangunan berkenaan.

Mayat Pang Jing Rong, 64; isterinya, Wang Ya Yee, 58, yang menderita angin ahmar dan anak mereka Pang Qi Hao, 22, yang menghidap Sindrom Down ditemui di dalam sebuah bilik di rumah mereka pada pukul 10 pagi kelmarin.

Polis percaya mereka mati lemas terhidu asap susulan penemuan sebuah pasu mengandungi arang yang terbakar dalam bilik berkenaan.

Sebelum mengambil tindakan nekad untuk membunuh diri, Pang dilapor pernah memberitahu seorang jirannya bahawa dia ingin membunuh diri kerana tekanan hidup.

Sebuah akhbar berbahasa Cina bagaimanapun, melaporkan kenyataan wakil sebuah pertubuhan anti-Rapid yang mendakwa kematian tiga beranak itu dipercayai ada kaitan dengan pengambilan tanah rumah mereka bagi pembangunan projek Rapid. - Bernama

3 Jan 2013

0 comments:

Post a Comment