January 31, 2013

Tiada arahan beri warga asing kad pengenalan


Kota Kinabalu: Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Pendatang Asing di Sabah semalam diberitahu, pengeluaran kad pengenalan kepada warga asing di negeri ini tidak mendapat arahan mana-mana pihak.

Sebaliknya, pengeluaran dokumen pengenalan diri itu didalangi sindiket yang turut membabitkan pegawai Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bagi mengaut keuntungan.

Perkara itu diberitahu saksi ke-33 dan ke-34 prosiding RCI Pendatang Asing di Sabah iaitu bekas pegawai Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Ibrahim Zakaria dan Deputi Superintendan Badaruddin Ismail yang menjalankan soal siasat terhadap beberapa kakitangan JPN pada 1996.

Dalam prosiding semalam, Ibrahim yang kini Ketua Cawangan Khas Polis Sarawak, berkata beliau ditugaskan mengambil keterangan bekas Pengarah JPN Sabah, Datuk Abd Rauf Sani serta dua lagi individu yang ditahan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dalam operasi membanteras pengeluaran kad pengenalan kepada warga asing di negeri ini.

“Abd Rauf mengaku mengeluarkan 6,305 kad pengenalan dan mendapat RM167,300. Beliau turut mengaku ia bagi mengaut keuntungan dan tidak beritahu ada mendapat arahan pihak tertentu,” katanya.

Beliau menjawab soalan pegawai pengendali, Manoj Kurup pada prosiding RCI Pendatang Asing di Sabah di Kompleks Mahkamah di sini.

Sementara itu, Badaruddin berkata, bekas Pengarah JPN Sabah, Ramli Kamaruddin yang ditemu bualnya pada 1996 mengaku mengeluarkan 16,000 resit 1/9 (resit sementara kad pengenalan) dan resit 1/11 (resit sementara kad pengenalan hilang) kepada warga Indonesia, Filipina, Pakistan dan India.

“Ramli beritahu resit itu dijual RM250 setiap satu dan mereka mengumpul lebih RM1 juta hasil daripada penjualannya,” katanya yang kini bertugas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan .

Badaruddin juga memberitahu, Ramli menyatakan tidak mendapat arahan sesiapa termasuk pemimpin negara dalam mengeluarkan resit sementara kad pengenalan kepada warga asing sekitar 1993 sehingga 1995.

“Ramli beritahu 14,000 resit diberi secara berkelompok kepada kakitangan JPN lain, manakala 2,000 lagi diserahkannya sendiri kepada individu yang menemuinya di pejabat.

“Pertama, ia diagihkan sesama kakitangan dan kedua bagi kegunaan peribadinya (Ramli). Beliau juga pernah menaja kakitangan JPN ke pesta sukan di Pulau Pinang,” katanya.

Berita Harian 30 Jan 2013

0 comments:

Post a Comment