January 17, 2013

Dua lelaki ditembak polis


ANGGOTA polis forensik daripada Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan memeriksa kereta dinaiki tiga penjenayah yang ditembak polis dalam kejadian kejar mengejar di sempadan antara Kelantan dan Terengganu di Kampung Pacakan, Kuala Besut, Terengganu hari ini. - BERNAMA


BESUT - Polis Besut berjaya memberkas suspek dipercayai terbabit dengan kes curi kenderaan dalam dua  kejadian berasingan pada malam kelmarin dan awal pagi semalam.

Dalam satu kejadian, dua lelaki terbabit cedera ditembak polis selepas dikejar bermula di Kampung Tanah Merah dekat Tembila kira-kira jam 3.45 pagi semalam.

Difahamkan, Unit Kereta Peronda Polis (MPV) mengesan sebuah kereta Proton Waja dinaiki tiga lelaki yang meloloskan diri daripada ditahan polis di Setiu.

Unit kereta MPV Ibu Pejabat Polis Besut itu mengarahkan kenderaan tersebut berhenti, namun pemandunya bertindak memecut ke arah Pasir Putih, Kelantan melalui Kampung Pachakan, Kuala Besut, yang jaraknya kira-kira 10 kilometer dari lokasi awal.

Kereta suspek kemudiannya memasuki sebuah simpang di Kampung Pachakan, Pasir Putih sempadan Besut dan terbabas sebelum melanggar tiang pagar rumah di situ kira-kira jam 4 pagi.

Suspek cedera dihantar ke HUSM

Suspek yang mempunyai senjata tajam itu difahamkan cuba melarikan diri, namun dua daripada mereka berjaya diberkas selepas cedera ditembak polis di bahagian kaki, manakala pemandunya berjaya meloloskan diri.

Sinar Harian difahamkan dua suspek yang cedera itu dihantar ke Hospital Besut sebelum dirujuk ke Hospital Universiti Sains Malaysia  (HUSM) Kubang Kerian, Kelantan Penahan dua suspek berumur 35 dan 30 tahun dari Kampung Gong Kua dan Gong Serapat, Pasir Putih, Kelantan itu juga dikatakan dapat membantu polis menumpaskan sindiket curi kereta di beberapa negeri termasuk Terengganu.

Kereta tersebut pula dikatakan kereta curi dan menggunakan nombor pendaftaran palsu.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Kamaruddin Mohd Zakaria berkata, dalam kes berasingan jam 9 malam kelmarin, polis menahan dua orang, masing-masing seorang lelaki berusia 19 tahun dan wanita 24 tahun, berhampiran sebuah rumah di Felda Selasih dekat Jabi di sini.

Menurutnya, kedua-dua mereka ditahan sepasukan polis dari Balai Polis Jertih yang membuat rondaan di tanah rancangan itu dan terserempak dengan sekumpulan lelaki yang dalam keadaan mencurigakan berhampiran sebuah kereta.

“Menyedari kehadiran polis, tiga lelaki itu melarikan diri ke belakang sebuah rumah berhampiran, namun polis berjaya menahan rakan mereka iaitu suspek lelaki tersebut, termasuk wanita yang duduk di kerusi depan bahagian sebelah pemandu,” katanya.

Kamaruddin berkata, pemeriksaan terhadap kenderaan jenis Perodua Kancil yang tidak mempunyai nombor  pendaftaran itu mendapati ia dilaporkan hilang di Binjai, Kota Bharu, Kelantan pada 13 Disember tahun lalu.

Beliau berkata, suspek lelaki beralamat di Kampung Bukit Tanah, Tembila di sini dan wanita berkenaan dari Felda Lepar Hilir, Gambang, Pahang ditahan untuk siasatan lanjut berhubung kes kecurian kereta tersebut.

Sinar Harian 18 Jan 2013

0 comments:

Post a Comment