January 30, 2013

Pemerdagangan bayi: Suri rumah 60 tahun dipenjara 14 tahun



SHAH ALAM - Seorang suri rumah berusia 60 tahun yang sebelum ini dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen Kajang terhadap tiga pertuduhan memperdagangkan tiga bayi, hari ini dijatuhi hukuman penjara 14 tahun dan denda RM30,000 oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam di sini hari ini.
 
Hakim Datuk Abdul Alim Abdullah menjatuhi hukuman itu terhadap Lim Kim Wan selepas mengetepikan keputusan mahkamah sesyen pada 13 April 2012.
 
Pihak pendakwaan memfailkan rayuan ke mahkamah tinggi pada 20 April 2012 untuk mengetepikan keputusan itu.
 
Pada 17 Mei 2010, Lim mengaku tidak bersalah terhadap tiga pertuduhan memperdagangkan dua bayi lelaki dan seorang bayi perempuan, kesemuanya berumur lima bulan, di sebuah rumah di Taman Jenaris 2, Hulu Langat, pada 31 Julai 2009 dan 3 Ogos 2009.
 
Dia didakwa mengikut Seksyen 14 Akta Antipemerdagangan Orang 2007 yang memperuntukkan hukuman penjara antara tiga dan 20 tahun serta denda.

Abdul Alim turut menolak permohonan Lim bagi penangguhan pelaksanaan hukuman sementara menunggu rayuan di mahkamah rayuan.
 
Dalam penghakimannya, beliau berkata tertuduh mempunyai lingkaran jaringan yang sangat baik untuk membolehkannya melakukan jenayah itu.
 
"Wang adalah sumber kejahatan anda. Sungguhpun anda silap dengan menyangkakan anda telah menggembirakan pasangan yang tidak mempunyai anak, anda telah memusnahkan keturunan bayi tidak berdosa dengan mendorong sepanjang hayat mereka untuk mempercayai bahawa mereka adalah anak kandung pasangan yang bukan ibu bapa mereka yang sebenar," katanya.
 
Punca rangkaian ini termasuk pasangan tanpa anak itu sendiri, katanya dan menambah, mereka tidak kurang juga dianggap bersalah dan mesti disiasat serta dihadapkan ke muka pengadilan.
 
Timbalan Pendakwa Raya Harris Ong Mohd Jeffery Ong mewakili pendakwaan manakala peguam Muhammad Affendy Mohd Yusuf mewakili Lim.  - Bernama

30 Jan 2013


'Akar kejahatan awak adalah duit'


SHAH ALAM 30 Jan. - Meskipun sebelum ini pernah dua kali dilepas dan dibebaskan daripada tiga pertuduhan memperdagangkan tiga orang bayi yang baru berusia lima bulan, namun tuah Lian Kim Wan kali ini tidak begitu baik.

Ini kerana, Mahkamah Tinggi di sini hari ini mengetepikan keputusan melepas dan membebaskannya di akhir kes pembelaan oleh Mahkamah Sesyen Kajang sebelum ini dan menjatuhkan hukuman penjara 14 tahun berserta denda RM30,000.

Gagal membayar denda, Hakim Datuk Abdul Alim Abdullah memerintahkan agar hukuman penjara ditambah tiga tahun lagi.

Hakim membuat keputusan itu selepas membenarkan rayuan Timbalan Pendakwa Raya, Harris Ong.

Nenek kepada 30 orang cucu itu yang dinamakan sebagai pihak responden dalam rayuan tersebut diwakili peguam bela, Muhammad Affendy Mohd. Yusop.

Bagi dua tuduhan pertama, Kim Wan telah menjual seorang bayi lelaki dan perempuan di antara pukul 8 dan 9 malam, 31 Julai 2009 di rumah No. 3. Jalan Jenaris 2/1, Taman Jenaris 2, Hulu Langat dekat sini.

Sementara pertuduhan ketiga, kira-kira pukul 8 malam, 3 Ogos 2009 di tempat yang sama, responden telah menjual seorang bayi lelaki. Ketika kejadian, kesemua mangsa berusia lima bulan.

Dia didakwa mengikut Seksyen 14 Akta Anti Pemerdagangan Orang 2007 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang tiga tahun atau melebihi 20 tahun dan boleh di denda.

Terdahulu, sebelum menjatuhkan hukuman, Hakim Abdul Alim menyatakan, Kim Wan mengedar manusia untuk hidup mewah.

"Wang adalah akar kepada kejahatan awak. Walaupun awak berfikiran, telah membahagiakan pasangan yang tidak mempunyai anak namun awak telah memusnahkan harapan bayi-bayi yang tidak berdosa.

''Ini kerana, pada masa hadapan akan membuatkan mereka percaya, mereka adalah anak kandung kepada pasangan yang bukan pun ibu bapa mereka yang sebenar,'' katanya.

Hakim Abdul Alim dalam penghakimannya turut menegaskan, kes pemerdagangan bayi sepatutnya dikendalikan seperti kes rasuah iaitu pemberi dan penerima rasuah, bersalah termasuklah mereka yang bersubahat.

Mahkamah juga menurut beliau tidak bersimpati dengan Kim Wan dan hukuman yang dijatuhkan perlu mencerminkan betapa seriusnya jenayah yang dilakukan.

''Kamu perlu meringkuk di penjara dan didenda atas jenayah yang telah kamu lakukan,'' tegasnya.

Selepas mempertimbangkan hujah dan rayuan pihak yang terlibat, Hakim Abdul Alim menjatuhkan hukuman penjara tujuh tahun dan denda RM10,000, gagal bayar satu tahun penjara bagi setiap pertuduhan.

Bagaimanapun, hukuman penjara bagi pertuduhan pertama dan kedua diperintahkan berjalan serentak manakala pemenjaraan bagi tuduhan ketiga bermula selepas hukuman terdahulu selesai.

Hakim itu memerintahkan hukuman berkuatkuasa hari ini dan menolak permohonan peguam bela agar hukuman penjara ditangguhkan.

Utusan 31 Jan 2013

0 comments:

Post a Comment