January 31, 2013

Mayat Wanita Dijumpai Di Tepi Jalan Ke Taman Dusun Setia

Keadaan mayat Rojamalap ketika ditemui di lokasi kejadian.


SEREMBAN - Seorang wanita ditemui mati di tepi jalan dekat Taman Dusun Setia, di sini awal pagi semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Hamdan Majid berkata, mangsa, Rojamalap Maniam, 48, ditemui dalam keadaan terbaring dengan muka berlumuran darah oleh orang awam kira-kira jam 1.14 pagi.

“Mangsa yang lengkap berpakaian telah dijumpai di tepi jalan menghala ke Taman Dusun Setia, di sini berdekatan Taman Forest Height.

“Siasatan awal mendapati, semasa kejadian, segala dokumen penting kepunyaan mangsa masih ada bersamanya,” katanya pada satu sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri, di sini, semalam.

Menurut Hamdan, mangsa yang beralamat terakhir di Taman Dusun Setia telah dihantar ke Hospital Tuanku Ja’afar Seremban (HTJS), di sini untuk bedah siasat.

“Polis sedang menjalankan siasatan terperinci bagi mengenal pasti punca kematian, dan orang ramai diminta agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubung insiden terbabit,” katanya.

Sinar Harian 1 Feb 2013




0 comments:

Post a Comment