January 27, 2013

Lumpuh tertelan air ketuban


Remaja terlantar hanya harap bantuan keluarga

JOHOR BAHRU - Akibat tertelan air ketuban ibu berikutan lewat 'disambut' doktor, seorang remaja lelaki yang dilahirkan 21 tahun lalu terpaksa bergantung sepenuhnya kepada bantuan ahli keluarga bagi menguruskan diri.

Ibu remaja lelaki yang mengalami 'celebral palsy' itu, Siti Salmiah Mohd Ajib, 53, berkata, anak bongsu daripada empat beradik, Mohamad Izzudin Isnin memerlukan penjagaan rapi setiap masa bagi meneruskan hidup.

Menurutnya, ia berikutan Mohamad Izzudin lumpuh seluruh badan sejak dilahirkan akibat lemas di dalam perutnya.

"Kejadian berlaku kerana doktor lewat menyambut Mohamad Izzudin menyebabkannya tertelan air ketuban.

"Ketika dilahirkan Mohd Izzudin lemas dan dia diberi rawatan khas. Kami sedih apabila doktor mengesahkan Mohamad Izzudin mengalami masalah saraf yang menyebabkannya lumpuh seumur hidup, " katanya ketika ditemui di  rumahnya di Jalan Bakawali, Taman Johor Jaya, di sini, semalam.

Menurut Salmiah, berikutan tidak mampu bercakap, Mohamad Izzudin akan merenung wajahnya atau ahli keluarga jika lapar.

Katanya. begitu juga jika ingin menonton televisyen, Mohamad Izzudin akan menunjukkan isyarat dengan menggerakkan jarinya.

"Kami reda dengan nasib Mohamad Izzudin selain tabah menjaganya," katanya yang juga suri rumah.

Menurut Salmiah. keluarganya membelanjakan kira-kira RM1,000 sebulan bagi membeli barangan keperluan Mohamad Izzudin seperti lampin pakai buang.

"Mohamad Izzudin menggunakan lampin orang dewasa, dia juga hanya memakan bijirin dan bubur ayam bercampur sayuran setiap hari.

"Kami bersyukur kerana bantuan RM450 sebulan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) membolehkan kami menampung sebahagian perbelanjaan menguruskan Mohamad Izzudin," katanya ketika kunjungan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johor Jaya, Tan Cher Puk.

Kunjungan itu sempena Rombongan Pemimpin Masyarakat bersama Pergerakan Pemuda UMNO Bakawali Taman Johor Jaya dan Skuad Prihatin Dewan Undangan Negeri (DUN) Permas.

myMetro 24 Jan 2013

0 comments:

Post a Comment