January 31, 2013

Kanak-kanak hilang selepas jaja kuih


Mazhanizam memegang gambar anak lelakinya Mohd Zafran Fakhrullah yang hilang sejak 5 Januari lalu.

KOTA BHARU –Seorang ibu terpaksa menanggung rindu dan tidak dapat tidur lena apabila anak lelakinya berusia 12 tahun hilang hampir sebulan lalu setelah tidak pulang ke rumah selepas keluar menjaja kuih.

Ibunya, Mazhamizan Mokhtar berkata anak keduanya, Mohd Zafran Fakhrullah Zulkarnaim tidak pulang ke rumah sejak 5 Januari lalu selepas menjalankan kegiatan rutinnya menjual kuih yang dibuatnya menggunakan basikal di sekitar Pengkalan Chepa.

Mazhanizam berkata, biasanya walaupun menjual kuih sehingga lewat malam dia akan pulang ke rumah terlebih dulu sebelum berjumpa dengan rakannya-rakannya mahupun bermalam di rumah kenalannya.

“Dia membantu saya menjaja kuih dengan basikal dan akan pulang seperti biasa jam 10 malam atau 11 malam, namun pada hari kejadian, sehingga jam 1 pagi, Zafran masih tidak pulang ke rumah.

"Saya bimbang dengan keselamatannya kerana sekarang ini macam-macam kejadian yang berlaku dan peristiwa yang dilaporkan oleh media menjadikan kami lebih takut," katanya kepada Sinar Harian semalam.

Mazhamizan memberitahu, dia menjadi bertambah bingung kerana anak kedua daripada empat beradik itu mengingati nombor telefonnya dan akan memaklumkan kepadanya jika pulang lewat mahupun sebaliknya.

Malah lebih menyedihkannya apabila anaknya itu tidak sempat menemui bapa kandungnya yang meninggal dunia selepas dua minggu dia menghilangkan diri.

"Saya usaha mencari di rumah rakan-rakan tetapi mereka memaklumkan tidak pernah berjumpa dengan Zafran. Jadi kami nekad meletakkan gambar Zafran di kedai-kedai kopi dan merata tempat. Sehingga hari ini tidak ada yang tampil berikan maklumat jadikan saya semakin takut," katanya.

Ibu kepada empat anak itu berkata, pada mulanya dia ingatkan anaknya itu ada di rumah saudara-maranya namun selepas 10 hari gagal menemuinya dia membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Bharu.

“Saya hanya bermimpi yang anak saya kini dibawa jauh dari sini. Saya mahu melihat dia cemerlang dalam pencapaian Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun ini,” katanya.

Murid darjah enam Sekolah Kebangsaan Chempaka itu, mempunyai parut di sebelah kiri pipi, berkulit gelap dan mana-mana individu yang pernah melihatnya diharapkan boleh menghubungi ibunya di talian 0129559671 dan 0129556672 dengan segera.

Sinar Harian 31 Jan 2013

0 comments:

Post a Comment