January 31, 2013

Jeritan selamatkan nyawa


Azizah mencari barangan kemas miliknya yang tidak dapat diselamatkan dalam kejadian kebakaran 11 Januari lalu.

MUAR – Tanggal 11 Januari lalu pasti tidak dapat dilupakan Azizah Mohd Aroff, 59, yang terselamat dalam kejadian kebakaran melibatkan dua deretan rumah yang hampir meragut nyawanya di Jalan Abdul Rahman, dekat sini.

Dalam kejadian itu, Azizah seolah-olah diberi peluang kedua apabila jeritan ibu saudaranya, Hapsah Mohamed, 84, yang juga salah seorang mangsa kebakaran itu menyelamatkannya yang sedang tidur.

Biarpun terselamat dalam kejadian kira-kira 12.30 tengah malam itu, Azizah melecur di tangan ketika cuba menyelamatkan dokumen penting walaupun usahanya itu tidak berjaya.

Akibat kejadian itu, dia kehilangan kediaman pusaka yang dihuninya sejak lahir dan menanggung kerugian hampir RM 50,000.

“Tidak ada satu pun barangan yang dapat diselamatkan dan saya hanya mampu melihat rumah hangus dijilat api dalam linangan air mata.

“Walaupun sedih, tetapi sangat bersyukur kerana ALLAH masih panjangkan umur saya dan ibu saudara yang  terselamat dalam kejadian ini,” katanya ketika ditemui Sinar Harian, kelmarin.

Azizah yang belum mendirikan rumah tangga dan menetap sendirian di rumah berkenaan berkata, kejadian tersebut dipercayai berlaku berpunca dari ubat nyamuk lingkaran yang dipasang ibu saudaranya terjatuh di atas tilam.

“Ibu saudara terjaga dari tidur apabila terkena percikan api yang sedang membakar tilam.

“Pada mulanya, ibu saudara cuba memadamkan api tetapi gagal kerana api marak terlalu cepat sebelum  merebak ke rumah saya ”katanya.

Menurutnya, kejadian yang menimpanya dan ibu saudara mendapat perhatian beberapa pihak yang tampil menghulurkan pelbagai bantuan wang tunai termasuk Ahli Parlimen Muar, Datuk Razali Ibrahim.

"Buat ketika ini saya menumpang tinggal di rumah anak saudaranya di Kampung Seri Menanti, dekat sini.

“Saya sudah mengemukakan permohonan mendapatkan bantuan rumah baru dari Majlis Agama Islam Johor (Maij) dan berharap ia dapat diluluskan segera,” katanya.

Sinar Harian 31 Jan 2013

0 comments:

Post a Comment