January 31, 2013

Ibu kendong anak kena ragut



Subang Jaya: Seorang wanita berusia 27 tahun bukan saja kerugian hampir RM8,000 sebaliknya dia dan anak perempuannya berusia empat tahun mengalami kecederaan selepas bergelut dengan peragut yang meragut beg tangannya dalam kejadian di hadapan sebuah tadika di USJ 1, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 5.30 petang itu, mangsa dilaporkan sedang mengendong anak perempuannya sebelum seorang lelaki menaiki motosikal cuba meragut beg tangannya.

Sumber berkata, ketika kejadian, mangsa sedang membuka pintu keretanya untuk memasukkan anak perempuannya itu ke dalam kenderaan.

“Tiba-tiba muncul seorang lelaki menunggang motosikal menghampiri mangsa sebelum cuba meragut beg tangannya. Tersentak dengan tindakan itu, mangsa cuba mempertahankan beg tangannya itu menyebabkan berlaku pergelutan,” katanya.

“Disebabkan gagal cubaan pertamanya itu, lelaki terbabit kemudian mengeluarkan sebilah pisau dan melibas senjata berkenaan ke arah mangsa,” katanya.

Sumber berkata, tindakan itu menyebabkan mangsa mengalami kecederaan di tangan kanan manakala anak perempuan yang sedang dikendong pula terjatuh.

“Sebaik berjaya merampas beg tangan mangsa, lelaki berkenaan terus memecut laju motosikalnya meninggalkan kawasan berkenaan,” katanya memberitahu anak mangsa mengalami kecederaan di kepala akibat terjatuh.

Mangsa membuat laporan di Balai Polis USJ 8 dan mendakwa kerugian hampir RM8,000 apabila wang tunai dan telefon bimbitnya dilarikan peragut terbabit.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Subang, Asisten Komisioner Yahaya Ramli ketika dihubungi, mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu dan memberitahu siasatan lanjut sedang dilakukan.

myMetro 31 Jan 2013

0 comments:

Post a Comment