January 31, 2013

‘Heroin kurma’ 80kg


Kuala Lumpur: Taktik licik satu sindiket dadah antarabangsa membungkus heroin seperti buah kurma sebelum dibawa masuk ke negara ini menggunakan label buah sama gagal selepas 11 warga asing ditahan dalam empat serbuan berasingan di sekitar Lembah Klang, Sabtu lalu.

Semua mereka iaitu lapan warga Nigeria dan tiga warga Mongolia berusia antara 21 hingga 38 tahun itu dipercayai membawa masuk dadah berkenaan untuk pasaran tempatan selain diseludup ke China dan Vietnam.

Anggota sindiket terbabit ditahan kira-kira jam 1.30 pagi dalam operasi yang dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman di Jalan SS12, Jalan SS15, Subang Jaya; Damansara dan Puchong.

Dalam serbuan itu, polis merampas sebanyak 80 kilogram (kg) dadah jenis heroin bernilai RM3.2 juta.

Pengarahnya, Datuk Noor Rashid Ibrahim berkata, tujuh daripada suspek adalah pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) dan selebihnya bekas pelajar IPT di negara ini.

myMetro 31 Jan 2013


Dadah jadi kurma


KUALA LUMPUR – Sekali pandang bentuknya sama seperti kurma tetapi sebenarnya ia merupakan dadah jenis heroin yang dibentuk menyerupai buah tersebut.

Dadah bernilai hampir RM3.2 juta itu diseludup masuk melalui Pelabuhan Klang  sebulan yang  lalu.

Pemeriksaan imbasan di pelabuhan juga memaparkan imej buah tersebut, sama seperti yang diikrar pada borang kastam.

Bagaimanapun taktik sindiket penyeludupan antarabangsa itu dapat dihidu polis selepas lebih 80 kilogaram ‘buah’ tersebut dirampas, Sabtu lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Noor Rashid Ibrahim berkata, sindiket itu dapat dikesan dan disekat  melalui kerjasama dengan pihak kastam Pakistan.

Beliau berkata, serbuan dilakukan di beberapa rumah teres dan kondominium di sekitar Subang Jaya, Damansara dan Puchong.

Katanya, dalam serbuan bermula kira-kira jam 1.30 pagi itu, polis menahan lapan lelaki warga Nigeria dan tiga termasuk seorang lelaki warga Mongolia.

“Siasatan mendapati heroin  itu dibawa masuk dari Pakistan melalui jalan laut. Ia dimuatkan di dalam kotak bersama kurma asli.

“Dadah ini akan dipasarkan di sekitar Lembah Klang dan sebahagiannya akan dibawa ke luar negara,” katanya pada sidang media di Bukit Aman, semalam.

Noor Rashid berkata, semua suspek berusia antara 21 dan 28 tahun itu merupakan pelajar dan bekas pelajar di beberapa buah kolej di ibu negara.

“Dua wanita warga Mongolia itu dipercayai akan menjadi keldai dadah,” katanya.

Beliau berkata, polis kini sedang menyiasat rangkaian sindiket dan mengesan individu lain yang dipercayai mempunyai maklumat berkaitan aktiviti penyeludupan tersebut.

Semua suspek ditahan reman untuk siasatan mengikut Seksyen 39 B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Sinar Harian 31 Jan 2013

0 comments:

Post a Comment