January 24, 2013

Gumpalan rambut seberat 800 gram dalam perut kanak-kanak

Satu pembedahan terpaksa dilakukan untuk mengeluarkan gumpalan rambut dari perut kanak-kanak itu di Hospital Duchess of Kent di Sandakan.

Gumpalan rambut seberat 800 gram yang berjaya dikeluarkan.

SANDAKAN: Kebanyakan orang mungkin tidak pernah mendengar istillah ‘trichophagia’ atau tabiat yang suka memakan rambut sendiri yang sering bermula dari satu bentuk gangguan kompulsif lain yang dikenali sebagai ‘trichotillomania’ atau tabiat suka menarik rambut sendiri.

Namun seorang kanak-kanak perempuan berusia 4 tahun, Siti Nasrah Binti Abdullah, didapati mengalami gangguan yang jarang berlaku ini dan telah dibedah untuk mengeluarkan segumpal rambut seberat 800 gram dari perutnya di Hospital Duchess of Kent di sini pada 24 Dis tahun lepas.

Nenek kepada kanak-kanak tersebut yang berusia 50an berkata kepada The Borneo Post semalam, dia tidak tahu yang cucunya menderita penyakit tersebut sehingga diberitahu tentang penemuan segumpal rambut di dalam perutnya itu.

Dia telah membawa cucunya untuk pemeriksaan di sebuah hospital pada bulan Disember lalu selepas mendapati perut cucunya itu membengkak.

"Tidak pernah terlintas di hati saya tentang penyakit ini apabila saya membawa Siti ke hospital tersebut selepas mendapati perut dan mukanya semakin membengkak.

"Sebelum pembedahan itu, kadang-kadang Siti muntah selepas makan dan mengadu sakit perut," katanya dengan menambah yang dia tidak pernah nampak Siti memakan rambutnya sendiri.

Siti yang tinggal dengan neneknya di Kampung Tabah Baru, Karamunting sejak berusia 2 tahun selepas ibu bapanya bercerai berkata, dia tidak lagi memakan rambutnya sejak dibedah.

Menurut Dr Vinod Kumar, seorang perunding pakar bedah di Jabatan Pembedahan, Hospital Duchess of Kent, kanak-kanak tersebut kekurangan zat dan menderita sakit perut ketika dibawa ke hospital berkenaan.

"Dia datang dengan perut membengkak. Ketika menjalani pemeriksaan ultra bunyi dan imbasan CT, kami dapati ada objek asing di dalam perutnya. Kanak-kanak tersebut kemudian melalui prosedur endoskopi (OGDS).

"Gumpalan rambut tersebut terkumpul di dalam saluran gastrousus, menyebabkan gejala seperti senak dan sakit perut.

"Jika gumpalan rambut itu kecil, kaedah pembedahan bukan invasif boleh digunakan untuk mengeluarkannya. Namun, kami dapati gumpalan itu terlalu besar dan dia terpaksa dibedah," katanya.

Berdasarkan saiz gumpalan tersebut yang terbentuk seperti sarang burung, kemungkinan Siti telah memakan rambutnya sedikit demi sedikit dalam jangka masa yang panjang.

Ini adalah kes pertama yang seumpamanya berlaku di Hospital Duchess of Kent dan orang ramai yang ingin melihat klip video pembedahan tersebut boleh melihatnya di link berikut: http://www.youtube.com/watch?v=qyMFYUmjyXk.

Sumber The Borneo Post 24 Jan 2013

0 comments:

Post a Comment