December 18, 2012

Mayat wanita ditemui di Pantai Dataran 1Malaysia

Mayat wanita tanpa identiti yang ditemui terdampar di tepi pantai.

KLEBANG - Mayat seorang wanita tanpa sebarang identiti ditemui terdampar di tepi pantai berhampiran  kawasan Dataran 1Malaysia, Klebang, di sini oleh seorang pengawal keselamatan ketika sedang melakukan tugas rondaan, pagi semalam.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (Risikan dan Operasi) Melaka, Superintendan R Gunarajan berkata, mayat berkenaan ditemui pengawal keselamatan terbabit kira-kira 10.30 pagi dalam keadaan lengkap berpakaian.

Beliau berkata, setakat ini polis masih menyiasat mengenai kejadian itu dan identiti mangsa sama ada mangsa seorang warga negara asing atau sebaliknya.

“Setakat ini kita belum dapat mengesahkan punca kematian dan mayat akan dihantar ke Hospital Melaka untuk bedah siasat.

“Kes ini diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan kita percaya mayat ini hanyut dan terdampar di tepi pantai.

“Setakat ini belum dapat pastikan bangsa mayat terbabit dan ketika ditemui, mangsa memakai seluar jeans dan berbaju lengan panjang. Tingginya lebih kurang 5 kaki 2 inci dan berambut panjang,” katanya.

Gunarajan turut meminta orang ramai yang kehilangan ahli keluarga supaya menghubungi polis.

Sinar Harian 19 Dis 2012

0 comments:

Post a Comment