December 25, 2012

Lima lelaki, termasuk dua beradik maut kemalangan di Beluran


KEADAAN kereta Perodua Kancil yang bertembung dengan lori membawa muatan ikan di simpang Ladang Muncul Maju, Jalan Nangoh Paitan, Beluran, Sabah kelmarin.


BELURAN - Lima lelaki, termasuk dua beradik, maut dalam satu kemalangan selepas kenderaan yang mereka naiki bertembung sebuah lori ikan dalam kemalangan di simpang Ladang Muncul Maju, Jalan Nangoh Paitan dekat sini malam kelmarin.

Lima mangsa yang terkorban ialah Roling Korang, 34, dan adiknya, Ugat Korang, 30, Albert Simon, 29, Jaffriddin Ujin, 31, serta Hendryson Ido, 16.

Kejadian pada pukul 10.40 malam itu berlaku ketika kesemua mangsa dalam perjalanan pulang ke rumah masing-masing di Kampung Sulit dan Kampung Basai.

Kemalangan tersebut difahamkan berlaku apabila kereta yang dipandu Roling dipercayai hilang kawalan lalu masuk ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan lori membawa muatan ikan yang dalam perjalanan ke Kudat.



Ketua Polis Daerah Beluran DSP V. Sivanathan berkata kesemua mangsa menaiki kenderaan jenis Perodua Kancil dalam perjalanan dari Kudat menuju ke pekan ini sebelum bertembung lori dengan muatan satu tan yang datang dari arah bertentangan.


"Akibat pertembungan ini, semua mangsa yang berada di dalam kereta mati serta-merta di tempat kejadian sementara pemandu lori mengalami cedera ringan," katanya sambil menambah kes itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Sementara itu, Ketua Operasi Balai Bomba Kinabatangan Haris Mustapha berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 10.50 malam dan tiba di tempat kejadian kira-kira pukul 12.30 malam kerana lokasinya yang jauh.

Beliau berkata mayat mangsa dihantar ke Hospital Beluran untuk bedah siasat dan pemandu lori yang berusia 34 tahun itu turut menerima rawatan di hospital yang sama.

Sumber Kosmo dan The Borneo Post 26 Dis 2012

0 comments:

Post a Comment