December 16, 2012

3 maut kemalangan Jalan Sg Rengit-Kota Tinggi

BEGINILAH keadaan salah sebuah kereta yang remuk selepas merempuh belakang sebuah treler hingga mengakibatkan tiga maut dalam kemalangan di Kota Tinggi kelmarin. Gambar Kosmo

KOTA TINGGI — Tiga maut dalam kemalangan membabitkan lima kenderaan di Kilometer 44, Jalan Sungai Rengit–Kota Tinggi di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Supt. Che Mahazan Che Aik berkata, mereka ialah Mohd. Ali Kenid, 51, dari Kampung Felcra Sungai Layau, Abdul Samah Darmawi, 56, dari Felda Kledang dan Siti Noraizah Abdul Wahab, 21 dari Felda Sungai Mas.

Beliau berkata, Mohd. Ali meninggal dunia di tempat kejadian, Abdul Samah ketika dalam perjalanan ke Hospital Kota Tinggi (HKT) manakala Siti Noraizah pula selepas lima jam menerima rawatan di HKT.

"Kemalangan berlaku kira-kira pukul 5 petang apabila lori treler yang dalam perjalanan menuju ke Kota Tinggi telah bergesel dengan sebuah kereta jenis Proton Saga yang dipandu oleh Siti Noraizah, yang datang dari arah bertentangan.

"Kejadian itu menyebabkan lori treler berkenaan hilang kawalan lalu masuk ke arah bertentangan lalu bertembung dengan kereta Proton Wira yang dipandu oleh Mohd. Ali.

"Kereta yang dipandu oleh Abu Samah dari arah Kota Tinggi ke Sungai Rengit juga tidak sempat mengelak lalu melanggar bahagian tengah lori berkenaan," katanya ketika dihubungi hari ini.

Che Mahazan berkata, pada masa sama, sebuah lagi kereta jenis Proton Saga yang mengekori kenderaan dipandu Siti Noraizah juga tidak sempat mengelak lalu melanggar bahagian belakang kereta mangsa, namun pemandunya hanya cedera ringan.— BERNAMA

16 Dis 2012

Sayu lihat ayah tersepit

Norain menunjukkan gambar ayahnya, Mohd Ali yang maut dalam kejadian itu

KOTA TINGGI - "Tumpuan saya hanya kepada ayah. Saya langsung tidak fikirkan keadaan huru-hara di luar.

"Sebaliknya sedaya upaya saya cuba membantu ayah yang tersepit di tempat duduk pemandu selepas dirempuh treler," cerita Mohd Hasni Abdul Samah, 23, ketika ditemui Sinar Harian di Hospital Kota Tinggi (HKT).

Mohd Hasni antara mangsa yang terlibat dalam kemalangan di Kilometer 44 Jalan Sg Rengit - Kota Tinggi, di sini, petang kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 5 petang itu,  tiga maut setelah terlibat dalam kemalangan yang membabitkan lima kenderaan. Mohd Hasni, hanya cedera ringan

Kejadian itu meragut nyawa Mohd Ali Kenid, 51, dari Felcra Sg Layau yang meninggal dunia di tempat kejadian; sementara Abdul Samah Darmawi, 56,  peneroka Felda Kledang; dan Siti Noraziah Abdul Wahab, 21, dari Felda Sg Mas meninggal dunia di HKT.

Menceritakan kejadian, Mohd Hasni berkata, dia bersama ayahnya dalam perjalanan dari arah Kota Tinggi menuju ke Felda Kledang.

“Saya melihat dengan jelas kejadian ini di mana dua kereta jenis Proton Saga di hadapan kami memasuki laluan bertentangan.

"Ketika itu, ayah sempat bersuara dan bertanya ‘eh kenapa dengan kereta tu?’.

“Dalam sekelip mata, lori yang cuba mengelak kereta Proton Saga itu hilang kawalan dan terus merempuh kenderaan kami.

"Saya yang berada di tempat duduk penumpang melihat ayah sudah tersepit tidak sedarkan diri,” katanya.

Lambaian terakhir suami

ISTERI Allahyarham Abdul Samah, Zainab Khalid, 54, tidak menyangka ciuman dan lambaian tangan suaminya tengah hari kelmarin adalah petanda dia akan ditinggalkan buat selamanya.

Ketika itu mangsa hendak ke Felda Kledang kerana mahu melihat anak hasil perkahwinan dengan isteri pertamanya yang belajar di Terengganu pulang bercuti.

“Saya diberitahu mengenai kejadian jam 5.30 petang, terus bergegas ke HKT.

"Dia kata akan balik esok (semalam). Sebelum bertolak arwah sempat cium pipi dan lambai tangan kepada saya.

"Saya mula merasa pelik kerana sebelum ini arwah tidak pernah begitu, namun tidak sangka ia adalah pertemuan terakhir kami,” katanya.

Sementara itu, anak sulung kepada Mohd Ali, Norain, 25, tidak menyangka perbualannya dengan bapa tersayang sehari sebelum kejadian adalah yang terakhir bagi mereka berdua.

“Ketika berbual, saya mengadu kepada arwah tentang kereta saya yang dilanggar lori semasa dalam perjalanan pulang dari kerja.

"Arwah yang bekerja sebagai nelayan ketika itu sedang membelek jaringnya, berpesan supaya saya sabar.

“Pesanannya masih segar di ingatan saya, tetapi tidak sangka arwah pula akan terlibat dengan kemalangan lori.

"Malah saya melihat dengan mata saya sendiri di mana kereta ayah yang melekat di badan lori treler itu.

"Mayatnya pula sudah ditutup dengan plastik hitam ketika saya sampai di tempat kejadian,” katanya.

Difahamkan, jenazah ketiga-tiga mangsa dituntut oleh keluarga masing-masing dan sudah dibawa pulang untuk dikebumikan di tanah perkuburan Islam di Felcra Sungai Layau, Felda Sungai Mas dan juga Felda Tenggaroh 5.

Kes sedang disiasat

KETUA Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Che Mahazan Che Aik berkata, kejadian berlaku apabila sebuah treler dari arah Sungai Rengit dipercayai bergesel dengan sebuah kereta jenis Proton Saga dari arah Kota Tinggi sebelum melibatkan tiga kereta lain.

“Sebanyak lima kenderaan terlibat iaitu sebuah treler, dua buah kereta jenis Proton Wira dan dua kereta jenis Proton Saga.

“Mangsa pemandu kereta jenis Proton Wira (Mohd Ali) maut di lokasi kejadian, manakala dua mangsa meninggal dunia di HKT.

"Pemandu treler dan pemandu sebuah lagi kereta Proton Saga tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya ketika mengesahkan kejadian itu, semalam.

Che Mahazan berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan berhubung kejadian dan pemandu treler ditahan untuk disoal siasat.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Sinar Harian 17 Dis 2012


‘Ayah tersepit dirempuh kepala treler’

KOTA TINGGI: “Kenapa kereta tu? Itu pertanyaan terakhir arwah ayah ketika kami melihat sebuah Proton Saga putih tiba-tiba bergesel dengan sebuah treler sebelum kenderaan itu hilang kawalan lalu merempuh Proton Wira yang kami naiki.

“Kejadian berlaku sekelip mata dan sebaik kereta kami dirempuh kepala treler terbabit, saya dapati arwah ayah tersepit di tempat duduk pemandu,” kata mangsa yang terselamat dalam kemalangan maut, Mohd Hasni Abdul Samah, 23.

Dalam kejadian jam 5 petang kelmarin, tiga pemandu kereta maut dalam kemalangan membabitkan empat kereta dan sebuah treler di Kilometer 44, Jalan Sungai Rengit-Kota Tinggi, di sini.

Mohd Hasni berkata, ketika kejadian, dia dan arwah bapanya, Abdul Samah Darmawi, 56, dalam perjalanan dari Kota Tinggi untuk pulang ke rumah mereka di Felda Kledang.

“Ketika itu, saya melihat dengan jelas Proton Saga putih itu memasuki laluan bertentangan.

“Keadaan itu menyebabkan treler di laluan bertentangan cuba mengelak sebelum bergesel Proton Saga itu dan merempuh kereta kami,” katanya ketika ditemui di Hospital Kota Tinggi, malam kelmarin.

Menurutnya, keadaan bertambah buruk apabila geselan antara Proton Saga putih dengan treler terbabit mengakibatkan rantaian kemalangan kerana kedudukan empat kereta agak rapat.

“Alhamdulillah, saya hanya cedera ringan dan dalam keadaan kelam-kabut itu, saya sempat melihat arwah ayah tersepit di tempat duduknya namun sudah tidak sedarkan diri.

“Ternyata Tuhan lebih menyayangi ayah apabila dia meninggal dunia ketika dirawat di hospital. Kejadian ini sangat menyedihkan dan memberi kesan kepada saya kerana ia berlaku di depan mata, namun reda dengan apa yang berlaku,” katanya.

myMetro 17 Dis 2012



0 comments:

Post a Comment