November 19, 2012

UPSR: 45,054 dapat semua A







PUTRAJAYA - Sebanyak 45,054 calon Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun ini mencatat A dalam semua mata pelajaran, menurun 0.54 peratus berbanding 46,012 calon pada tahun lalu.

Pengarah Peperiksaan Lembaga Peperiksaan Kementerian Pelajaran Dr Na'imah Ishak berkata pencapaian keseluruhan juga menurun sebanyak 0.01 mata Gred Purata Nasional (GPN) iaitu daripada 2.30 tahun lalu kepada 2.31 tahun ini.

"Sebab penurunan ini masih belum diketahui dan jabatan pelajaran negeri dan sekolah-sekolah akan membuat kajian mengenainya selepas ini," katanya ketika mengumumkan analisis keputusan UPSR, di sini hari ini.

Sebanyak 517,139 calon menduduki UPSR tahun ini, iaitu meningkat 3.9 peratus berbanding 497,691 tahun lalu, dan daripada jumlah itu 98.2 peratus atau 507,783 adalah calon sekolah kementerian manakala baki calon sekolah swasta.

Na'imah berkata sebanyak 286,930 calon tahun ini memperoleh keputusan Baik iaitu minimum C tidak termasuk semua A, meningkat 1.49 peratus berbanding 269,021 calon tahun lalu.

Sebanyak 17,251 calon lagi berada di bawah tahap penguasaan minimum iaitu mendapat semua D atau E atau kombinasi kedua-duanya, meningkat 0.54 peratus berbanding 13,958 peratus tahun lalu.

Beliau berkata jumlah calon luar bandar yang mendapat semua A meningkat kepada 17,329 tahun ini, berbanding 16,244 calon tahun lalu manakala calon bandar pula menurun kepada 27,681 berbanding 29,462 tahun lalu.

Katanya, bagi pencapaian Baik pula, calon bandar dan luar bandar mencatat peningkatan dengan calon bandar meningkat kepada 149,911 berbanding 148,265  tahun lepas manakala calon bandar pula 136,590 berbanding 118,543 tahun lalu.

"Pada tahun  ini peratusan calon yang mendapat semua mata pelajaran di bawah tahap penguasaan minimum berjaya dikurangkan terutama di luar bandar dengan pengurangan sebanyak 0.86 peratus berbanding di bandar sebanyak 0.20 peratus.

"Penurunan peratusan ini menunjukkan bahawa peningkatan tahap penguasaan minimum calon luar bandar adalah lebih baik berbanding calon di bandar dengan beza sebanyak 0.66 peratus," katanya.

Na'imah berkata peratusan calon berkeperluan khas yang mendapat semua A meningkat kepada 25 orang tahun ini berbanding 17 orang tahun lalu, meliputi tiga orang calon buta, tujuh calon rabun dan 15 calon dengan lain-lain kecacatan.

Beliau berkata peratusan calon berkeperluan khas yang mendapat pencapaian Baik juga meningkat sebanyak 0.44 peratus daripada 218 orang  tahun lalu kepada 295 orang pada tahun ini, manakala pencapaian keseluruhan juga meningkat sebanyak 0.01 mata GPN berbanding tahun lalu.

Bilangan calon berkeperluan khas yang menduduki UPSR tahun ini bertambah kepada 1,752 orang tahun ini berbanding 1,329 orang tahun lalu.

Dari segi mata pelajaran pula, Na'imah berkata berdasarkan Gred Purata Mata Pelajaran (GPMP), prestasi keseluruhan bagi mata pelajaran Bahasa Melayu - Pemahaman di Sekolah Kebangsaan (SK) menunjukkan penurunan 0.07 mata, manakala calon yang mendapat Gred A dan Gred ABC juga menurun masing-masing 1.6 dan 2.6 peratus.

Beliau berkata bagi mata pelajaran Bahasa Melayu - Penulisan di SK pula meningkat sebanyak 0.03 mata GPMP berbanding tahun lalu, malah peratusan Gred A juga meningkat sebanyak 3.2 peratus namun peratusan Gred ABC menurun sebanyak 0.2 peratus.

Bagi mata pelajaran Bahasa Melayu - Pemahaman dan Penulisan di Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK), peratusan calon yang mendapat Gred A masing-masing menurun sebanyak 1.5 peratus dan 2.8 peratus, manakala berdasarkan GPMP Bahasa Melayu - Pemahaman mencatat penurunan sebanyak 0.04 mata manakala Bahasa Melayu - Penulisan meningkat 0.03 mata, katanya.

Na'imah berkata bagi Bahasa Inggeris di SK, prestasi keseluruhan meningkat 0.05 mata GPMP, dan peratusan calon mendapat Gred A dan Gred ABC masing-masing meningkat 0.8 peratus dan 2.6 peratus berbanding tahun lalu.

Beliau berkata prestasi mata pelajaran itu di SJK pula menurun sebanyak 0.07 mata GPMP dan peratusan calon yang mendapat Gred A dan ABC juga menurun masing-masing sebanyak 1.9 peratus dan 1.6 peratus.

Mata pelajaran Matematik meningkat 0.02 mata GPMP tahun ini, sementara calon yang mendapat Gred A dan ABC meningkat masing-masing 0.6 peratus, manakala Sains menurun 0.04 mata GPMP, sementara calon yang mendapat Gred A dan Gred ABC, masing-masing menurun 1.7 peratus dan 0.6 peratus, katanya.

Dr Nai'mah berkata prestasi keseluruhan mata pelajaran Bahasa Cina - Pemahaman menurun sebanyak 0.01 mata GPMP manakala Bahasa Cina - Penulisan meningkat 0.02 mata GPMP, dan bagi Bahasa Tamil - Pemahaman dan Penulisan menurun masing-masing 0.10 mata dan 0.04 mata GPMP.

Bagi Ujian Aptitud yang merupakan tahun keempat dilaksanakan bagi memberi gambaran dan kesediaan mental murid sebelum memasuki sekolah menengah, beliau berkata maklumat keputusan ujian itu tidak dinyatakan dalan slip keputusan UPSR, tetapi boleh diperoleh melalui sekolah.

Peperiksaan UPSR dijalankan serentak di seluruh negara pada 11, 12 dan 13 Sept lalu di 8,284 pusat peperiksaan.- Bernama 19 Nov 2012


UPSR: 3,718 dapat A semua subjek di Perak





IPOH - Seorang calon kelainan upaya (OKU) dan dua anak Orang Asli antara pelajar yang memperoleh keputusan cemerlang dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) di Perak, tahun ini.

Mereka antara 3,718 calon yang berjaya memperoleh A dalam kesemua mata pelajaran diambil.

Sinar Harian 19 Nov 2012



4,922 calon UPSR Kelantan dapat 5A

KOTA BHARU 19 Nov. - Seramai 4,922 atau 14.11 peratus daripada 35,864 calon sekolah rendah di Kelantan yang menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) berjaya memperoleh A dalam semua mata pelajaran.

Pengarah Pelajaran negeri, Hussain Awang berkata, walau bagaimanapun pencapaian tersebut menunjukkan sedikit penurunan iaitu sebanyak 1.34 peratus dari tahun lalu di mana seramai 5,282 calon atau 15.45 peratus memperolehi gred A semua mata pelajaran.

Katanya, secara keseluruhan, peratusan calon mendapat pencapaian minimum gred C atau lulus (tidak termasuk semua A) bagi semua mata pelajaran menurun sedikit daripada 58.12 peratus pada 2011 kepada 57.71 tahun ini.

"Walaupun peratusan penurunan dicatatkan pada tahun ini tetapi ia tidaklah terlalu ketara," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Sementara itu, Hussain berkata, Sekolah Rendah Agama Tengku Amalin A'isha Putri mencatatkan peratusan kelulusan 100 peratus dengan Gred Purata Sekolah (GPS) 1.34, menjadikan sekolah tersebut muncul sekolah terbaik di negeri ini.

Beliau berkata, walaupun sekolah berkenaan hanya mempunyai 36 calon sahaja tetapi kejayaannya membuktikan komitmen serta kerja keras semua warga pendidik dan murid akhirnya berjaya melahirkan keputusan yang cemerlang.

Tambah Hussain, antara sekolah lain yang mencatat peratusan cemerlang adalah Sekolah Kebangsaan (SK) Kubang Kerian (3) dengan 97.45 lulus penuh manakala SK Bukit Panau mencatat 96.74 dan SK Zainab (1) 96.67.

Selain itu, SK Zainab (2), SK Bendang Pauh, SK Jelawat (2) dan SK Seri Wakaf Baru turut mencatat keputusan cemerlang.

"SK Zainab (2) mencatat 96.30 peratus lulus penuh, SK Bendang Pauh, 95.45, Jelawat (2) 95 dan Seri Wakaf Baru 95.65.

"SK Kubang Kerian (3) mencatat bilangan tertinggi murid memperolehi gred A dalam semua mata pelajaran di negeri ini iaitu 82 murid,'' katanya.

Utusan 20 Nov 2012



SK Sri Suria (1) kekal prestasi cemerlang

TANAH MERAH 19 Nov. - Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Suria (1) mengekalkan prestasinya sebagai sekolah cemerlang di daerah ini apabila seramai 62 muridnya mendapat 5A dalam keputusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) yang diumumkan hari ini.

Guru Besarnya, Tengku Hamzah Ku Seman berkata, sebanyak 215 daripada 246 calon UPSR sekolah itu juga lulus dalam semua lima mata pelajaran.

"Kami gembira kerana dapat mengekalkan kecemerlangan sekolah ini dalam bidang akademik. SK Sri Suria (1) muncul sekolah yang mempunyai paling ramai murid mendapat 5A dalam UPSR di jajahan ini sejak 2002.

"Kerja keras, usaha berterusan dan pengorbanan semua murid serta guru menjadi rahsia kejayaan sekolah ini sehingga berjaya mengekalkan prestasi cemerlangnya dalam UPSR sejak 10 tahun lalu.

"Kami mengucapkan tahniah kepada murid-murid yang berjaya memperoleh 5A dalam UPSR 2012. Kami berharap agar mereka dapat mengekalkan kecemerlangan pada masa akan datang bukan sahaja dalam bidang akademik malah semua aspek kehidupan," katanya ketika ditemui di sini.

Sementara itu, SK Sri Suria (1) juga mencipta sejarah tersendiri dalam UPSR 2012 apabila buat pertama kalinya seorang pelajar berketurunan Cina dari sekolah itu berjaya memperoleh 5A dalam ujian tersebut tahun ini.

Tan Sue Anne, 12, yang berasal dari Kampung Cina, Tanah Merah berjaya mencapai keputusan A dalam semua mata pelajaran yang diambil dalam UPSR iaitu Bahasa Melayu (Kertas 1), Bahasa Melayu (Kertas 2), Bahasa Inggeris, Matamatik dan Sains.

Menurut Sue Anne, dia sangat terkejut namun gembira dan bersyukur kerana memperoleh 5A dan menghadiahkan kejayaannya itu kepada ayah, ibu dan guru-guru sekolah yang banyak memberi galakan serta dorongan kepadanya selama ini.

"Saya tidak menyangka akan memperoleh 5A. Saya gembira dan berterima kasih kepada guru-guru yang telah mengorbankan masa serta tenaga mereka untuk membimbing kami dengan mengadakan kelas tuisyen di sekolah," katanya.

Sue Anne berkata, dia pernah belajar di Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) (Cina) Pei Hwa, Machang dari tahun satu hingga tahun tiga dan ayahnya kemudian mengambil keputusan untuk menukarkannya ke SK Sri Suria (1) mulai tahun empat kerana faktor logistik.

"SK Sri Suria (1) terletak berdekatan dengan tempat tinggal kami. Pada mulanya saya bimbang tidak dapat menyesuaikan diri dengan suasana pengajaran dan pembelajaran di sekolah kebangsaan yang saya lihat mempunyai perbezaan dengan sekolah jenis kebangsaan.

"Bagaimanapun, saya berasa bertuah kerana guru-guru dan rakan di sekolah ini banyak menolong saya dalam bidang akademik khususnya membantu meningkatkan penguasaan mata pelajaran Bahasa Inggeris dan Sains," katanya.

Menurut anak sulung daripada dua beradik ini lagi, kejayaan kakak sepupunya dalam profesion perubatan mendorong dia bercita-cita untuk menjadi seorang doktor pada masa hadapan.

Utusan 20 Nov 2012


UPSR: Pahang kekalkan prestasi


KUANTAN 19 Nov. - Pahang terus mengekalkan prestasi cemerlang apabila Gred Purata Mata Pelajaran (GPMP) terus meningkat kepada 2.19 berbanding 2.20 pada tahun lalu dalam keputusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) yang diumumkan hari ini.

Timbalan Pengarah Pelajaran negeri, Rosdi Ismail berkata, daripada 26,760 murid yang mendaftar untuk menduduki peperiksaan, seramai 19,152 calon lulus semua mata pelajaran.

"Bilangan murid mendapat semua A iaitu 5A bagi sekolah kebangsaan dan 7A bagi sekolah rendah jenis kebangsaan meningkat sebanyak 52 orang menjadi 3,025 orang berbanding 2,977 calon pada 2011.

"Malah, prestasi calon yang mendapat gred D dan E semakin berkurangan iaitu hanya 0.41 peratus berbanding 0.49 tahun lepas," katanya di Bilik Gerakan Sekolah Kebangsaan (SK) Permatang Badak di sini.

Menurut Rosdi, bagi tahun ini sebanyak dua buah sekolah berjaya memperoleh calon cemerlang mendapat 5A melebihi 40 orang iaitu SK Permatang Badak dan SK Teruntum di sini.

"Sebanyak 195 sekolah daripada 540 sekolah rendah di negeri ini mempunyai calon UPSR di bawah 50 orang menunjukkan peningkatan bilangan calon yang mendapat 5A dan 7A berbanding sekolah mempunyai calon melebihi 50 orang," jelas beliau.

Tambahnya, pencapaian di sekolah-sekolah tanah rancangan Felda turut menunjukkan peningkatan iaitu seramai 452 calon mendapat 5A berbanding 446 calon pada 2011.

"Bagaimanapun, pencapaian Gred Purata Negeri hanya 2.16 berbanding 2.12 pada tahun lalu," jelasnya.

Utusan 20 Nov 2012




0 comments:

Post a Comment