November 29, 2012

Ibu dan dua anak dijumpai maut berpelukan dalam kebakaran

MARAK...rumah kedai di Jalan Lama Beluran Dua, pekan Beluran yang terbakar, kelmarin. Gambar myMetro

Anggota bomba sedang memadam api kedai berkenaan.

Anggota polis mengangkat mayat salah seorang mangsa.

Mangsa dipercayai terperangkap jeriji besi berkunci

BELURAN - Seorang ibu bersama dua anak perempuannya rentung dalam kebakaran membabitkan sebuah kedai peralatan dan perkakasan di bandar ini, pada Rabu malam.

Ketua Polis Daerah, Deputi Superitendan Sivanathan A/L R Velautham, yang turut berada di lokasi kejadian memberitahu tiga mayat ditemui di bahagian tingkat atas bangunan kedai berkenaan.

“Ketiga-tiga mangsa dikatakan terperangkap di bahagian atas rumah kedai itu dalam kebakaran yang berlaku kira-kira jam 9 malam itu,” katanya.

Beliau berkata, mangsa dikenali sebagai Siti Jainah Abdul Razak, 32, bersama dua anaknya Siti Noraznizah Husin, 9, dan Siti Norajikah Hussin, 5, berasal dari Kampung Kolapis, ditemui dalam keadaan berpelukan di bilik mandi bahagian atas rumah kedai mereka.

“Kita percaya mangsa dan dua anaknya itu dipercayai terperangkap selepas gagal membuka jeriji besi yang berkunci,” katanya.

Sivanathan berkata, ketika kejadian dikatakan suami mangsa sedang membuat kerja kimpalan di bahagian bawah bersama anak lelakinya, manakala isteri serta dua anak perempuannya berada di tingkat atas kedai menjual perkakas rumah itu.

Katanya, ketiga-tiga mayat dihantar oleh pihak polis ke Hospital Daerah Beluran untuk dibedah siasat sebelum dituntut keluarga untuk proses pengebumian.

Manakala suaminya, Husin Ismail, 30-an, dan anak lelaki sulung mereka, Azrul Nizam, 12, yang ketika itu berada di tingkat bawah sempat menyelamatkan diri.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sandakan, Jemishin Ujin berkata mereka menerima panggilan mengenai kebakaran itu daripada Pusat Gerakan Operasi Bomba dan Penyelamat, Kota Kinabalu pada jam 9.01 minit sebelum menghantar sebuah jentera dan dua utiliti bersama sembilan anggota dikerah ke tempat kejadian.

Beliau memberitahu anggota bomba terpaksa mengambil masa 57 minit untuk sampai ke lokasi kejadian berikutan jarak yang jauh iaitu 60 kilometer dari Balai Bomba dan Penyelamat Kinabatangan, dan ketika sampai 80 peratus rumah kedai itu sudah musnah dengan kebakaran dipercayai bermula daripada tingkat bawah kedai.

“Anggota bomba berdepan kesukaran untuk memadam kebakaran disebabkan semua barang yang dijual di kedai itu adalah bahan mudah terbakar seperti minyak dan cat. Api berjaya dipadam sepenuhnya pada jam 1 pagi,” katanya.

Jemushin berkata, semua mangsa yang berada di tingkat atas maut akibat lemas terhidu asap tebal.

“Ketiga-tiga mereka ditemui dalam keadaan saling berpelukan di bilik mandi yang terletak di bahagian belakang. Punca kebakaran dan anggaran kerugian masih dalam siasatan,” katanya.

Beberapa orang saksi memberitahu api marak dengan pantas dari tingkat bawah yang menempatkan kedai menjual perkakas rumah berkenaan sebelum merebak ke tingkat atas rumah yang didiami oleh mangsa.

Saksi juga berkata mereka terkejut dengan kejadian itu dan cuba membantu memadam api di dalam kedai berkenaan tetapi api marak dengan pantas.

“Kami juga terkejut apabila diberitahu mangsa iaitu isteri dan dua anak perempuan Hussin terperangkap di rumah berkenaan,” kata salah seorang saksi.

Utusan Borneo 29 Nov 2012


Anak menjerit kedai jiran terbakar

BELURAN: “Ketika sibuk melayan pelanggan, saya mendengar jeritan anak memberitahu kedai di sebelah restoran kami terbakar. Tak lama kemudian berlaku beberapa letupan dan saya bersama anak serta pelanggan bertempiaran lari menyelamatkan diri.”

Itu kata kata Samsiah Awang, 48, pemilik restoran terletak bersebelahan rumah kedai yang terbakar hingga mengorbankan tiga beranak di sini, malam kelmarin.

Samsiah berkata, api marak cepat dan dia bersama pekerja serta pelanggan restoran tidak sempat berbuat apa-apa, melainkan lari menyelamatkan diri secepat mungkin.

“Saya masih terkejut dan trauma dengan kejadian ini. Tiga beranak yang terbunuh itu sangat baik dan hampir setiap hari mereka membeli makanan di restoran saya,” katanya.

Menurutnya, ketika ini, dia menutup restorannya untuk kerja membaiki pulih siling yang terbakar.

Sementara itu, saksi kejadian yang hanya mahu dikenali sebagai Rosman, 50, berkata, dia sedar kejadian itu apabila terdengar letupan kuat dan percikan api sebelum berlari keluar dari rumah kedai yang terletak sebaris kedai mangsa.

“Keadaan sangat kelam-kabut ketika itu dengan semua orang berusaha membantu menyelamatkan barang-barang,” katanya.

myMetro 30 Nov 2012




0 comments:

Post a Comment