November 6, 2012

Ayamas nafi guna antibiotik Chloramphenicol dalam produk


KUALA LUMPUR - Ayamas Food Corporation Sdn. Bhd. (Ayamas) semalam menafikan dakwaan yang menyatakan syarikat itu menggunakan antibiotik yang diharamkan pihak berkuasa dalam produk ayam keluaran syarikat tersebut.

Pengurus Besar Kumpulan Komunikasi Korporat Ayamas, Rosniza Baharum berkata, pihaknya sangat terkejut mendengar larangan import produk ayam keluaran Ayamas ke Sarawak oleh pihak veterinar negeri tersebut kerana didakwa mengandungi antibiotik yang dikenali sebagai Chloramphenicol.

Menurut beliau, pihaknya sentiasa melaksanakan langkah kawalan kualiti yang ketat untuk memastikan semua produk keluaran Ayamas sentiasa berada pada tahap terbaik sebelum dipasarkan kepada pelanggan kerana keselamatan dan kesihatan pengguna adalah keutamaan syarikat itu. - Kosmo 6 Nov 2012


‘Masih selamat, boleh dimakan’

PETALING JAYA: Masih selamat dan boleh dimakan. Demikian penjelasan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai mengenai kualiti makanan di negara ini berikutan penemuan antibiotik Chloramphenicol dalam produk ayam keluaran syarikat Ayamas Food Corporation Sdn Bhd (Ayamas).

Liow berkata, orang ramai tidak perlu panik atau bimbang kerana Bahagian Keselamatan Makanan (BKM) dan agensi di bawahnya sentiasa memantau rapi serta memeriksa semua produk makanan untuk memastikan ia benar-benar selamat kepada pengguna.

“Kementerian Kesihatan sentiasa memantau keselamatan makanan kita setiap masa, bukan saja apabila ada penemuan tertentu (atau aduan). Kita ada membuat pemantauan rambang dari masa ke semasa, setempat ke setempat.

“Dan dalam kes Ayamas, kita tidak temui apa-apa (bahan berbahaya) pada produk dagingnya ketika menjalankan persampelan beberapa bulan lalu atau tahun sebelumnya.

“Bagaimanapun, penemuan dibuat oleh veterinar (Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak) ini kita ambil serius dan periksa produk Ayamas dengan lebih teliti lagi,” katanya pada sidang media, semalam.

Beliau ditemui selepas merasmikan Ekspo Pelancongan Penjagaan Kesihatan Antarabangsa Malaysia 2012 di Pusat Konvensyen Sunway Pyramid, di sini yang turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif, Majlis Pelancongan Penjagaan Kesihatan Malaysia (MHTC), Dr Mary Wong Lai Lin.

Akhbar sebelum ini melaporkan, kerajaan Sarawak mengeluarkan larangan import produk ayam syarikat berkenaan berkuat kuasa serta merta bermula Khamis lalu, selepas satu ujian menemui antibiotik Chloramphenicol. - myMetro 7 Nov 2012



Produk Ayamas bebas antibiotik

PUTRAJAYA - Kementerian Kesihatan mengesahkan ujian pada 41 sampel produk ayam syarikat Ayamas Food Corporation Sdn. Bhd. (Ayamas) sehingga semalam mendapati tiada residu antibiotik Chloramphenicol yang boleh menjejaskan kesihatan.

Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam), Datuk Dr. Lokman Hakim Sulaiman memberitahu, 10 sampel produk yang dikilangkan pada 10 Jun lalu itu diuji untuk memastikan tahap keselamatan produk keluaran syarikat yang terdapat di pasaran termasuk di Sarawak dan mendapati tiada residu antibiotik berkenaan.

"Kementerian Kesihatan akan meneruskan pemantauan terhadap produk ini dan produk-produk lain dengan menjalankan pensampelan berterusan di kilang dan di pasaran.

"Keputusan akan dimaklumkan dari semasa ke semasa," katanya dalam kenyataan di sini.

Pada 1 November lalu, Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak mengeluarkan larangan import produk ayam Ayamas berkuat kuasa serta-merta selepas satu ujian menemui antibiotik Chloramphenicol.

Lokman berkata, Kementerian Kesihatan juga menjalankan siasatan di kilang Ayamas Corporation Sdn. Bhd. di Pelabuhan Klang, Selangor yang mengedar semua produk Ayamas di seluruh negara dan juga pasaran antarabangsa.

Menurut beliau, kilang itu juga mendapat pengiktirafan sistem jaminan keselamatan makanan Hazard Analysis Critical Control Points (HACCP) daripada Kementerian Kesihatan bagi beberapa produk.

"Sehingga hari ini (semalam), Kementerian Kesihatan telah mengambil sebanyak 18 sampel yang merangkumi pelbagai jenis produk berasaskan daging ayam dari kilang pemprosesan bagi tujuan analisis residu antibiotik Chloramphenicol," katanya.

Chloramphenicol bersifat genotoksis dan boleh menyebabkan kanser. Pendedahan kepada residu Cchloramphenicol melalui makanan yang tercemar juga berpotensi menyebabkan rintangan kepada mikro organisma (antimicrobial resistence). - Bernama 10 Nov 2012

0 comments:

Post a Comment