October 4, 2012

Dua pelajar UiTM maut dalam nahas dengan lori


SUNGAI PETANI — Dua pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Merbok dekat sini maut selepas motosikal yang mereka naiki berlanggar dengan sebuah lori di Jalan Semeling-Bujang, dekat sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 2.45 petang itu, mangsa Muhamad Syafiq Saiful Bahri, 19, dan Muhammad Firdaus Tajudin, 19, dikatakan dalam perjalanan dari UiTM Merbok menuju ke Titi Semeling untuk makan bersama rakan mereka yang sudah sampai lebih awal di kedai makan yang dituju.

Bagaimanapun, sewaktu dalam perjalanan menuju ke Titi Semeling, motosikal dilaporkan terbabas dan memasuki arah bertentangan sebelum berlanggar dengan sebuah lori.

Kedua-dua mangsa meninggal dunia di tempat kejadian. Jenazah kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di sini untuk dibedah siasat.

Muhamad Syafiq merupakan pelajar semester dua jurusan Diploma Pengurusan Perniagaan manakala Muhammad Firdaus merupakan pelajar semester dua jurusan Diploma Pentadbiran Awam.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Supt. Ong Aik Chang ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu. — BERNAMA

3 Okt 2012



2 sahabat melambung

SUNGAI PETANI: Hasrat dua sahabat yang juga pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Merbok dekat sini, menikmati makan tengah hari bersama berakhir tragedi apabila menemui ajal selepas motosikal ditunggang terbabas sebelum bertembung lori, semalam.

Kemalangan berlaku jam 2.45 petang di Jalan Semeling-Bujang berhampiran kampus UiTM Merbok, dekat sini, menyebabkan kedua-dua mangsa, Muhammad Shafiq Saiful Bahri dan Muhammad Firdaus Tajuddin, masing-masing berusia 19 tahun meninggal dunia di tempat kejadian.

Jurucakap polis berkata, kemalangan dipercayai berlaku selepas tayar belakang motosikal ditunggangi Muhammad Firdaus tiba-tiba pecah ketika melalui kawasan selekoh menyebabkan kenderaan itu hilang kawalan lalu terbabas ke laluan bertentangan dan merempuh sebuah lori.

Menurutnya, kedua-dua pelajar tahun satu itu dipercayai dalam perjalanan dari institusi pengajian tinggi awam (IPTA) terbabit untuk makan tengah hari di pekan Semeling dengan menunggang motosikal jenis Honda Wave.

“Akibat pertembungan itu, kedua-dua mangsa melambung dan terjatuh di tepi jalan menyebabkan mereka parah di kepala dan seluruh badan.

“Kedua-dua mangsa dipercayai mati di tempat kejadian dan jenazah mereka dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim, di sini, untuk dibedah siasat,” katanya.

Katanya, polis masih menyiasat kes itu mengikut Seksyen 41(1), Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Difahamkan, Muhammad Shafiq adalah pelajar jurusan pengurusan perniagaan manakala Muhammad Firdaus pula mengikuti pengajian pentadbiran awam.

Sementara itu, jurucakap UiTM berkata, Muhammad Firdaus berasal dari Bandar Puteri Jaya, di sini, manakala Muhammad Shafiq dari Seberang Jaya baru mendaftar masuk empat bulan lalu sebagai pelajar.

myMetro 4 Okt 2012

0 comments:

Post a Comment