October 4, 2012

Buruh didakwa miliki murai batu



KOTA TINGGI - Seorang buruh mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini, semalam terhadap tiga pertuduhan memiliki 129 ekor burung murai batu pada 26 September lalu kira-kira jam 11.15 pagi di perairan Teluk Ramunia Pengerang.

Bagi pertuduhan pertama, Abd Rahim Tahir, 48, didakwa memiliki 90 ekor burung murai batu jantan iaitu spesies burung yang dilindungi di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716) dan didakwa di bawah Seksyen 60 (2) akta sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman denda tidak lebih RM50,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya.

Bagi pertuduhan kedua, Abd Rahim didakwa memiliki 25 ekor burung murai batu betina mengikut Seksyen 62 Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716). Manakala pertuduhan ketiga pula, dia didakwa memiliki 14 burung murai batu tidak matang (anak) di bawah Seksyen 61 akta sama.

Jika sabit kesalahan bagi kedua-dua pertuduhan tersebut, dia boleh dikenakan denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua duanya.

Pegawai Pendakwa Jabatan Perhilitan Daerah Johor Bahru, Shamsul Hakim Ahmad memohon agar mahkamah menetapkan jaminan sebanyak RM30,000 bagi setiap pertuduhan.

Bagaimanapun, Majistret Nor Shahid Abd Malik, membenarkan jaminan sebanyak RM15,000 dengan seorang penjamin bagi kesemua pertuduhan selepas tertuduh memohon agar jaminannya dikurangkan.

Majistret menetapkan 10 Oktober ini untuk sebutan semula kes dan minta tertuduh dapatkan khidmat peguam bela.


Sinar Harian 4 Okt 2012

0 comments:

Post a Comment