September 22, 2012

Kerana pencen RM172 sebulan, balu tidak layak mohon bantuan

LUNDU: Permohonan seorang balu untuk mendapatkan bantuan e-kasih dan bantuan kebajikan sebagai ibu tunggal telah ditolak hanya kerana beliau merupakan penerima pencen terbitan sebanyak RM172.16 di bawah Tabung Pencen Untuk Balu dan Anak Yatim.

Kautak Kalum, 69, telah membuat permohonan e-kasih dan bantuan kebajikan untuk ibu tunggal di Pejabat Daerah Lundu kerana beliau tidak lagi mampu bekerja.

"Saya diberitahu oleh seorang pegawai di Pejabat Daerah yang saya tidak layak mendapatkan bantuan kerana saya telah pun menerima pencen," katanya ketika ditemui di rumahnya semalam.

Beliau menerima pencen dari Tabung Pencen Untuk Balu dan Anak Yatim semenjak kematian suaminya, Lori Licha yang maut dalam serangan bom mortar sebelum kemerdekaan di SK Biawak, Jalan Biawak, Lundu di mana suaminya adalah seorang guru dan guru besar terlatih.

Semasa kejadian tersebut, mereka mempunyai 4 orang anak yang berusia dari 6 tahun hingga 18 bulan.

Kautak, yang sakit sejak kebelakangan ini mengadu sukar untuk hidup berdasarkan pencen yang diterimanya.

"Kadang-kadang saya tidak mahu memikirkan soal duit yang saya terima sekarang ini tetapi bagaimana saya hendak hidup dengan harga makanan yang tinggi.

"Dulu semasa saya menerima pencen tersebut, saya tidak pernah meminta sebarang bantuan. Saya bekerja keras untuk membesarkan anak-anak saya tetapi dengan keadaan usia saya sekarang, saya tidak mampu untuk buat semua itu lagi," katanya.

Kautak yang berasal dari Kampung Perundang, tinggal seorang diri sekarang kerana kesemua anaknya sudah berkeluarga dan tinggal di tempat lain.

Mengimbau persitiwa kematian suaminya, beliau berkata, suaminya baru sahaja tiba di sekolah tempatnya mengajar apabila serangan itu berlaku.

"Suami saya cedera parah di pinggang dan mati serta merta dan seorang lagi yang berada disampingnya cedera di paha tetapi bernasib baik kerana masih hidup," katanya.

Kautak berkata selepas kematian suaminya, beliau terpaksa bekerja keras untuk membesarkan anak-anaknya seorang diri dan menghantar mereka ke sekolah.

"Kami hidup susah pada masa itu dan cukup makan sahaja.

"Dalam keadaan serba kekurangan, anak-anak saya tidak berjaya dalam pelajaran dan saya pula tidak berpelajaran jadi saya tidak tahu ke mana saya patut pergi untuk mendapatkan nasihat dan bantuan," tambahnya.

Namun nasib Kautak mendapat perhatian bekas Adun Patrick Anek Uren yang bercadang untuk membawa kes tersebut ke mahkamah.

Anek berkata Kautak menerima pencen sebanyak itu kerana cara suaminya meninggal dunia.

Dia menjelaskan bahawa jika suami Kautak bersara sebagai seorang guru besar, Kautak akan menerima sekurang-kurangnya RM1,500 sebulan.

"Suaminya meninggal dunia ketika bertugas. Nasibnya tidak baik kerana bertugas di lokasi yang diserang oleh musuh negara dan oleh itu balunya patut mendapat pencen yang berpatutan dengan pengorbanannya.

"Gaji minimum untuk kakitangan kerajaan sekarang ialah RM800 untuk Sabah dan Sarawak manakala sebarang pendapatan keluarga di bawah RM850 sebulan dikira sebagai berada di bawah paras kemiskinan, namun balu seorang guru besar terlatih yang telah terkorban ketika menjalankan tugas yang berkhidmat untuk raja dan negara hanya dibayar RM172.16 sebulan. Bukankah itu tidak masuk akal?" katanya.

Anek, seorang peguam berkata adalah sesuatu malang yang beliau tidak tahu tentang masaalah Kautak semasa menjadi Adun.

"Jika saya tahu masaalah ini dari awal, saya sudah pun membawa kes ini ke Parlimen tetapi tiada sesiapa pun memberitahu saya tentangnya sebelum in," katanya.

Anek kemudian memberikan sumbangan peribadi kepada Kautak supaya beliau boleh mendapatkan rawatan untuk penyakitnya.

The Borneo Post 13 Sep 2012


Bekas guru Lori Licha terharu dengan nasib balunya

KUCHING: Kisah Kautak Kalum yang berusia 69 tahun dari Lundu yang hanya hidup dengan duit pencen suaminya sebanyak RM172.16 telah meruntun jiwa seorang bekas guru.

Joseph Aloysius Kuek yang mengajar Lori Licha di Batu Lintang 50 tahun yang lalu mengatakan yang beliau amat sedih dengan nasib balunya.

"Lori adalah pelajar saya di BLTC. Hari terakhir saya berjumpa dengannya di bandar Lundu ketika dia hendak membeli bekalan untuk di bawa balik ke sekolah tetapi terbunuh dalam serangan bom pada Julai 1963.

"Pada masa itu saya adalah penyelia pelatih guru-guru yang sedang menjalani latihan di Lundu tetapi dia pada masa itu tergesa-gesa  untuk balik ke sekolah dan pertemuan kami adalah pendek. Saya amat terkejut apabila menerima berita kematian dia pada hari yang sama. Dia mati dalam serangan bom yang dilancarkan dari sempadan.

"Mayat mangsa kemudian dibawa menaiki helikopter ke Hospital Lundu dan kami menunggunya dengan resah. Keadaan pada masa itu amat hiba dan bila saya bayangkan jumlah pencen yang diterima oleh balunya memang amat menyedihkan, " katanya.

Joseph berkata amat tidak berbaloi pencen yang diterima balunya memandangkan Lori adalah seorang guru dan guru besar terlatih.

"Pada masa itu, kawasan sempadan dianggap sangat merbahaya kerana selalu diserang dari sebelah sempadan. Ramai orang tidak mahu ditempatkan di situ. Akibatnya Kementerian Pelajaran tidak mempunyai  kakitangan untuk ditempatkan di situ tetapi Lori mengatakan yang dia sanggup.

"Memandangkan dia sanggup berkorban dan bersedia untuk ditempatkan di situ walaupun dia tahu bahaya yang akan dihadapinya, saya rasa keluarganya perlu diberi ganjaran yang sepatutnya, bukan RM172 sahaja."

Joseph berkata dia amat bersimpati dengan nasib Kautak dan akan memberikan sumbangan peribadi serta merayu pada kerjaan supaya berbuat sesuatu.

Sementara itu, Menteri Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga, Datuk Fatimah Abdullah memberitahu The Borneo Post yang kerajaan akan menyiasat perkara berkenaan.

"Kami akan melihat apa yang kami boleh lakukan. Saya akan mengarahkan pegawai-pegawai di daerah Lundu supaya menyiasat dan melaporkan kepada saya secepat mungkin."

Beliau berkata buat masa ini, kementeriannya akan memikirkan skim yang sesuai untuk membantu Kautak.

"Jika kita lihat jumlah pencen yang diterimanya setiap bulan, memang dia berada di paras kemiskinan yang tegar. Tetapi sebab mengapa dia tidak menerima bantuan kebajikan dari kerajaan mungkin kerana mengikut prosedur, dia tidak boleh menerima lebih dari satu bantuan.

"Walau bagaimanapun, kami akan membuat siasatan sebelum mengambil langkah yang sewajarnya."

Khamis lepas, The Borneo Post telah menyiarkan berita mengenai kesulitan Kautak yang hanya hidup dengan pencen suaminya yang meninggal 50 tahun lalu.

Masaalah Kautak semakin meruncing apabila beliau sekarang sudah pun berusia 69 tahun. Beliau sekarang tinggal seorang diri selepas 3 anak perempuan dan seorang anak lelakinya sudah berumahtangga. Mereka tidak berpelajaran tinggi.

"Apabila suami saya meninggal dunia, anak kami yang sulung berusia 6 tahun, manakala yang bongsu berusia 18 bulan, jadi saya memang susah untuk hidup ketika itu. Apa yang saya dapat hanya cukup makan sahaja.

"Disebabkan keadaan itu, saya tidak mampu memberi anak saya pendidikan yang sepatutnya, jika tidak sekurang-kurangnya mereka bekerja dengan kerajaan sekarang. Anak lelaki saya sekarang bekerja dengan Kem Belia Pueh tetapi gaji yang dia dapat pun tidak cukup untuk menanggung keluarganya sendiri, lebih-lebih lagi dengan keadaan kos hidup yang tinggi sekarang.

"Jadi saya tidak menyalahkan mereka jika mereka tidak boleh memberi duit kepada saya."

Kautak berkata yang beliau tidak mengharapkan apa-apa dari anak-anak perempuannya kerana mereka hanyalah suri rumahtangga dan mempunyai anak.

Dengan nada yang sedih, beliau berkata: "Kalaulah suami saya dengar cakap saya dulu, mungkin tidak jadi begini.

"Saya cadangkan kepada dia supaya menolak tawaran itu tetapi dia menyakinkan saya yang semuanya akan selamat dan tiada apa yang hendak dibimbangkan.

"Dia baik hati dan tidak mahu mengingkari arahan ketuanya."

The Borneo Post 15 Sep 2012



0 comments:

Post a Comment