September 22, 2012

Kenderaan terbakar, pengawal keselamatan jadi hero


KELIHATAN petugas keselamatan sedang bertungkus lumus memadamkan api kebakaran pada Myvi itu di kawasan letak kenderaan Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan kelmarin.

KOTA KINABALU: Tindakan pantas pengawal keselamatan di Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan berjaya menghalang api daripada merebak yang berpunca daripada kebakaran sebuah Perodua Myvi dalam satu kejadian di tempat letak kereta di lokasi berkenaan.

Insiden berlaku antara jam 8.30 hingga 9 pagi itu, difahamkan kenderaan yang diparkir di lokasi tersebut secara tiba-tiba mengeluarkan asap tebal di bahagian hadapan.

Menurut seorang saksi hanya dikenali sebagai Aisyah, 38, pada waktu kejadian dia secara kebetulan sedang meletakkan kenderaannya di kawasan berhampiran dan tidak semena-mena terlihat kereta Myvi itu mengeluarkan api serta asap.

“Bimbang kejadian buruk akan berlaku, saya kemudiannya memaklumkan perkara itu kepada pengawal keselamatan,” katanya.

Menyedari kejadian itu, beberapa pengawal keselamatan di situ kemudiannya bertindak pantas memadamkan api Myvi itu dengan menggunakan alat pemadam kebakaran.

Sementara itu, Pegawai Perhubungan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Affendy K Ramin ketika dihubungi mengesahkan kejadian terbabit.

“Kita menerima panggilan pada jam 9.06 pagi yang mengatakan terdapat kebakaran melibatkan sebuah kenderaan di kawasan tempat letak kereta berhampiran masjid di Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan.

“Sebuah jentera dengan kekuatan tujuh anggota dan dibantu tiga anggota bermotosikal digegaskan ke kawasan insiden itu.

“Bagaimanapun, api berjaya dipadamkan oleh pengawal keselamatan di situ dan anggota kita hanya melakukan pemantauan serta pemeriksaan sahaja,” katanya.

Punca dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.

Utusan Borneo 22 Sep 2012

0 comments:

Post a Comment