August 22, 2012

Terkejut lihat bumbung terbang

Ithnin dan isterinya, Rosimah Samad, menunjukkan dapur rumah mereka yang rosak teruk akibat kejadian ribut yang berlaku pada 1 Syawal lalu.

PONTIAN - Kegembiraan menyambut Hari Raya Aidilfitri bagi 21 keluarga di Kampung Sungai Bunyi dan Kampung Kelapa dekat sini, terjejas apabila ribut melanda kampung berkenaan pada petang satu Syawal lalu.

Kejadian kira-kira jam 2.00 petang itu menyebabkan dua rumah penduduk terjejas teruk dengan hampir keseluruhan bumbungnya diterbangkan angin selain beberapa bahagian rosak.

Kejadian tersebut berlaku sangat pantas dengan hujan lebat sebelum itu yang secara tiba-tiba membawa angin kencang sehingga menerbangkan atap rumah penduduk.

Salah seorang penduduk, Ithnin Marto, 51, berkata, dia tidak menyangka hujan renyai sebelum itu, membawa ribut dan angin kencang.

Menurutnya, ketika kejadian dia bersama enam orang anaknya sedang menziarahi jiran di sebelah rumah dan segera pulang ke rumah apabila angin semakin kuat.

Katanya, dia dan anak-anak amat terkejut apabila mendapati bumbung rumahnya diterbangkan ribut dan angin kencang yang secara tiba-tiba berlaku.

“Menggeletar kaki saya lihat bumbung di bahagian dapur diterbangkan angin secara tiba-tiba yang kemudiannya disertai dengan hujan lebat.

“Saya serta anak-anak segera berlindung di ruang tamu yang tidak terjejas sementara menunggu ribut reda lebih kurang dua minit kemudian,” katanya ketika ditemui semalam.

Jelasnya, akibat kejadian itu, tujuh keping zink atap diterbangkan angin dan bahagian dapur rumahnya rosak.

“Syukur tiada sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku, walaupun rumah kami turut dimasuki air,” katanya.

Menurut Ithnin, kejadian ribut yang berlaku itu adalah yang kedua melanda rumahnya selepas kejadian pertama pada Februari lalu.

“Kejadian ribut dan angin kencang yang berlaku kali ini lebih teruk berbanding yang lepas dan lebih menyayat hati kerana berlaku pada hari raya pertama,” katanya.

Dia yang tinggal di rumah Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) di kampung itu berharap agar ada bantuan diberikan bagi membolehkan mereka sekeluarga membeli zink dan asbestos yang rosak.

Jiran terpaksa pecah rumah selamat barang

TINDAKAN pantas beberapa penduduk kampung memecah masuk sebuah rumah mangsa ribut di Kampung Sungai Bunyi, ketika kejadian berjaya menyelamatkan beberapa barang berharga dari mengalami kerosakan akibat dimasuki air.

Kamariah Arshad, 50, berkata, dia terkejut menerima panggilan daripada salah seorang penduduk memaklumkan kejadian ribut yang berlaku.

Katanya, ketika itu mereka sekeluarga sedang meraikan Aidilfitri di kampung halaman mereka di Mersing dan terpaksa pulang segera ke rumah.

Dia berkata, rumahnya mengalami kerosakan teruk apabila kira-kira 15 keping zink diterbangkan angin selain asbestos menyebabkan bahagian dapur serta bilik rumahnya dimasuki air.

“Saya baru sahaja sampai ke rumah ibu bapa mertua di Mersing Kecil, Mersing dan terpaksa bergegas balik ke Pontian setelah terima panggilan daripada seorang jiran mengenai kejadian itu,” katanya.

Katanya, tindakan penduduk memecah masuk rumahnya berjaya menyelamatkan peralatan seperti komputer riba anak-anak.

“Kami berharap akan mendapat bantuan segera walaupun rumah yang kami didiami ini adalah rumah sewa,” katanya yang bekerja di kantin sekolah, manakala suaminya, Abd Rahman Idris, 57, tidak bekerja kerana menghidapi penyakit angin ahmar.

Kamariah berkata, selain dia dan suaminya, turut tinggal di rumah tersebut ialah enam orang anaknya yang masih bersekolah, manakala dua masih menuntut di institusi pengajian tinggi (IPT) dan dua telah bekerja.

Mangsa harap terima bantuan

SEMENTARA itu, menurut Ketua Kampung Kawasan (6) Mukim Rimba Terjun, Noraini Turot, kejadian tersebut melibatkan Kampung Kelapa dengan 15 buah rumah terjejas dan Kampung Sungai Bunyi dengan enam buah rumah terjejas.

Katanya, daripada jumlah tersebut, masing-masing tiga buah rumah di kedua-dua kampung mengalami kerosakan teruk dengan kos keseluruhan kerosakan bagi semua rumah yang terlibat kira-kira RM20,000.

Beliau berkata, kebanyakan kerosakan melibatkan zink yang diterbangkan angin serta beberapa kerosakan lain yang telah diambil tindakan oleh pemilik rumah dengan menutupnya menggunakan kanvas dan sebagainya.

“Bagaimanapun bagi yang kurang berkemampuan mereka berharap akan mendapat bantuan segera bagi membaiki semula kerosakan terutamanya bagi menggantikan zink yang diterbangkan angin,” katanya.

Noraini berkata,  Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pekan Nanas, Tan Nai Soon dan Ketua Umno Bahagian Tanjung Piai, Datuk Md Othman Yusof telah pun datang bagi meninjau kerosakan setiap rumah mangsa.

“Manakala beberapa agensi kerajaan yang sedang bercuti seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Pejabat Daerah Pontian dan sebagainya akan dihubungi setelah pejabat dibuka semula esok (hari ini),” katanya.

Sinar Harian 22 Ogos 2012

0 comments:

Post a Comment