August 22, 2012

Suami isteri warga Myanmar didakwa cederakan tukang cuci


KUALA LUMPUR: Sepasang suami isteri rakyat Myanmar mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini terhadap pertuduhan mencederakan seorang tukang cuci menggunakan batang besi, minggu lalu.

Tohiyah Kassim dan Abdul Rashid Mohd Ali, masing-masing berusia 35 tahun bersama-sama didakwa mencederakan Sultan U Kasim, 29, yang juga rakyat Myanmar, dengan memukul menggunakan batang besi sepanjang 40 inci (101.6cm) di bawah Blok C, PPR Kampung Baru Air Panas Setapak, Sentul di sini pada pukul 10.30 pagi 13 Ogos lalu.

Kedua-dua tertuduh, yang masing-masing bekerja sebagai tukang cuci dan tukang kebun, didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda atau sebatan atau mana-mana dua daripada seksaan itu.
Majistret Azmil Muntapha Abas membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM2,000 dengan dua orang penjamin rakyat tempatan dan menetapkan 18 Oktober untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Inspektor Zuraimi Kamarozzaman. - BERNAMA

22 Ogos 2012

0 comments:

Post a Comment