August 22, 2012

Remaja maut rempuh pacuan empat roda


KUANTAN - Seorang remaja lelaki maut selepas motosikal yang ditunggangnya bertembung dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda di Kilometer 24 Jalan Jerantut-Kota Gelanggi, dekat Jerantut petang semalam.

Pegawai Penguatkuasa Tadbir/Trafik Negeri Pahang, Asisten Supritendan Zainalabidin Othman berkata, Evy Nor Edwat Asuwat Laile, 19, dari Felda Kota Gelanggi 3, mati di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.

Beliau berkata, dalam kejadian pukul 3.30 petang itu, mangsa yang dalam perjalanan dari arah Kota Gelanggi menuju ke Jerantut dipercayai menunggang dengan laju ketika cuba memotong sebuah kereta di hadapannya.

"Namun mangsa telah terbabas dan memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan kenderaan pacuan empat roda terbabit," katanya di sini hari ini.

Ekoran pertembungan itu, mangsa yang terjatuh di laluan kenderaan pacuan empat roda berkenaan digilis kenderaan terbabit dan disahkan mati di tempat kejadian.

Bagaimanapun, pemandu pacuan empat roda terbabit, Alif Haikal Akmal Kamaruddin, 22, dari Taman Temerloh Jaya tidak mengalami sebarang kecederaan.

Zainalabidin berkata, siasatan awal mendapati mangsa tidak memiliki lesen memandu yang sah. - BERNAMA

22 Ogos 2012

0 comments:

Post a Comment