August 22, 2012

Pemandu maut rempuh pokok


RANTAU PANJANG – Seorang pemandu maut sementara penumpang cedera apabila kereta dinaiki terbabas dan merempuh sebatang pokok di Rantau Panjang pagi semalam.

Ketika kejadian kira-kira jam 3 pagi itu, kedua-dua mangsa dipercayai dalam perjalanan dari Rantau Panjang ke Pasir Mas.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner (ACP), Haliludin Rahim berkata, kereta Persona dipandu mangsa dipercayai terbabas dan melanggar pokok di kiri jalan.

Menurutnya, pemandu, Chye Ching Then @ Wong Chin Then, 34, meninggal di Wad Kecemasan Hospital Daerah Pasir Mas 4.30 pagi semalam.

“Pemandu mengalami kecederaan pada bahagian kepala sementara penumpang, Wang Chee Wee, 41, dihantar ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian, untuk mendapatkan rawatan lanjut.

“Hasil sampel darah pemandu yang diambil mengesyaki mangsa mabuk ketika memandu dan seterusnya melanggar pokok,” katanya kepada Sinar Harian.
 
Tinjauan Sinar Harian di tempat kejadian mendapati kulit pokok yang dirempuh mangsa terkopak dan kereta dinaiki mangsa remuk pada bahagian pemandu.

Mangsa dihantar ke Hospital Pasir Mas oleh Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), Rantau Panjang.

Sinar Harian 22 Ogos 2012

0 comments:

Post a Comment