August 22, 2012

Lelaki serang polis ditembak


KUALA LUMPUR- Seorang lelaki dipercayai anggota kumpulan samseng cedera ditembak selepas menyerang pasukan polis yang cuba menahannya kerana terlibat dalam pergaduhan di sebuah pangsapuri di Pandan Perdana, dekat sini Isnin lepas.
 
Timbalan Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Supt Md Nazri Zawawi berkata sebelum itu polis menerima laporan mengenai pergaduhan dua kumpulan di kawasan pangsapuri berkenaan 1.15 pagi sebelum menghantar sepasukan lapan anggota ke tempat kejadian.
   
"Menyedari kehadiran polis, suspek dan empat lagi rakannya masuk ke dalam kereta jenis Hyundai untuk melarikan diri sebelum dikejar pasukan polis yang kemudian mengesan mereka di Tasik Permai," katanya pada sidang media di sini hari ini.
 
Md Nazri berkata kelima-lima suspek berumur 26 hingga 30 tahun itu kemudian meluru keluar daripada kereta cuba menyerang anggota polis menggunakan parang, pisau pemotong daging dan besi.
 
"Mereka memecahkan cermin hadapan kereta polis dan dalam situasi cemas itu, polis melepaskan dua das tembakan ke arah seorang daripada mereka. Suspek yang cedera itu dihantar ke Hospital Ampang dan kini dalam keadaan kritikal," katanya.

Md Nazri berkata polis menahan empat lagi suspek yang berada dalam kereta tersebut dan mendapati tiga daripada mereka mempunyai rekod jenayah lampau antaranya kes dadah, samun dan cubaan membunuh.
 
Katanya, kesemua mereka ditahan reman selama tiga hari bagi membantu siasatan dan polis merampas lima bilah parang, dua batang besi dan satu alat 'walkie-talkie' daripada mereka.
 
"Polis sedang mengesan saki baki kumpulan berkenaan dan kes disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh," katanya. -Bernama

22 Ogos 2012


Lelaki ditembak kerana serang polis meninggal dunia

SHAH ALAM - Seorang lelaki yang dipercayai anggota kumpulan samseng yang cedera ditembak selepas menyerang pasukan polis ketika cuba menahannya kerana terlibat dalam pergaduhan di Pandan Perdana Isnin lepas, meninggal dunia pagi tadi.
 
Timbalan Siasatan Jenayah Risikan dan Operasi IPK Selangor, ACP Rosli Mohd Isa berkata suspek berusia 26 tahun itu disahkan meninggal dunia di Hospital Ampang kira-kira pukul 6 pagi akibat kecederaan teruk di bahagian leher.
 
Berikutan kejadian itu, polis menahan sembilan lelaki berumur lingkungan 25 dan 32 tahun di sekitar Ampang semalam, yang disyaki turut terlibat dalam pergaduhan berkenaan bagi membantu siasatan, katanya pada sidang media di sini.
 
Dalam kejadian pukul 1.15 pagi itu, polis menerima laporan mengenai pergaduhan dua kumpulan di kawasan pangsapuri di Pandan Perdana sebelum menghantar sepasukan lapan anggota ke tempat kejadian.
 
Menyedari kehadiran polis, suspek dan empat lagi rakannya masuk ke dalam kereta jenis Hyundai untuk melarikan diri sebelum dikejar pasukan polis yang kemudian mengesan mereka di Tasik Permai.

Kelima-lima suspek berumur 26 hingga 30 tahun itu kemudian meluru keluar daripada kereta dan cuba menyerang anggota polis menggunakan parang, pisau pemotong daging dan besi, sebelum polis bertindak melepaskan dua das tembakan ke arah suspek dan menahan mereka.
 
Rosli berkata kesemua lelaki itu direman sehingga Sabtu ini.
 
Dalam kes lain, polis giat menjejaki tiga lelaki berumur lingkungan 30-an yang disyaki terbabit dalam kes curi kereta mewah dalam dua kejadian di sekitar Kajang, semalam.
 
Rosli berkata dalam kes pertama, seorang pekerja di sebuah kilang di Taman Perindustrian Kajang mengalami kerugian hampir RM90,000 apabila kereta Toyota Hilux milik syarikatnya dilarikan suspek dalam kejadian pukul 1.50 pagi.
 
"Mangsa pada waktu itu memandu kenderaan menuju ke kilang... belum sempat sampai ke pekarangan kilang, kenderaan yang dipandu mangsa dihalang oleh sebuah kenderaan pacuan empat roda yang dinaiki tiga suspek.
 
"Terkejut dengan tindakan itu, mangsa memberhentikan kenderaannya, sebelum seorang daripada suspek yang bersenjata parang keluar daripada kereta dan bertindak mengugut mangsa agar menyerahkan Toyota Hilux terbabit," katanya.
 
Beliau berkata dua jam selepas kejadian pertama, sebuah lagi kenderaan jenis Mitsubishi Triton turut dilarikan kumpulan penjenayah sama.
 
"Kejadian kedua pula berlaku kira-kira pukul 3.40 pagi, kali ini kumpulan berkenaan melarikan kereta milik seorang lelaki berusia 53 tahun di Batu 9, Cheras dan mereka turut menggunakan modus operandi yang sama untuk melarikan kenderaan mangsa," kata Rosli. - Bernama

24 Ogos 2012



Kematian Dinesh: PKR Mahu Inkuiri Awam Diadakan 

PETALING JAYA: Parti Keadilan Rakyat (PKR) menggesa satu inkuiri awam diadakan oleh Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) berikutan kematian lelaki yang ditembak anggota polis di hadapan lampu isyarat berhampiran dengan Pusat Membeli Belah Ampang Point Selasa lepas.

Ahli Parlimen Kapar yang juga Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR, S. Manikavasagam berkata beliau akan melaporkan isu tersebut kepada Suhakam agar keluarga mangsa mendapat pembelaan secepat mungkin.

"Saya akan bawa isu ini kepada Suhakam agar satu inkuiri awam dapat diadakan dengan segera. Pada masa yang sama, kita akan menghantar memorandum bantahan kepada Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar," katanya kepada pemberita dalam satu sidang media di Ibu Pejabat PKR pada Isnin.

Pada 21 Ogos lalu, Dinesh, 26, ditembak mati oleh polis di Ampang ketika dia dalam perjalanan untuk keluar makan bersama rakan-rakannya pada pukul 1 pagi.

Akibat tembakan itu mangsa dikejarkan ke Hospital Ampang. Mangsa meninggal dunia dua hari kemudian selepas mengalami pendarahan otak.

Berdasarkan laporan bedah siasat yang dikeluarkan Hospital Kuala Lumpur mendapati mangsa ditembak dua kali - satu di belakang kepala dan satu lagi di lengan kiri.

Pada Ahad, Ketua Polis Daerah Ampang, Amiriudin Jamaluddin mempertahankan tindakan anggotanya menembak Dinesh kerana mangsa dan rakan-rakannya cuba mencederakan anggota polis dengan parang.

"Mereka meluru ke arah anggota polis dan pegawai saya terpaksa melepaskan tembakan untuk mempertahankan diri," katanya.

Berdasarkan kenyataan yang dikeluarkan sebelum ini, polis mendakwa mangsa dikatakan terlibat dengan pergaduhan dengan 'Geng Viva' sebelum kejadian menyerang anggota polis menggunakan parang.

mStar 27 Ogos 2012


Disyaki samseng: Jangan politikkan kes kematian

SHAH ALAM – Polis hari ini meminta semua pihak agar jangan mempolitikkan dan mensensasikan kes kematian seorang lelaki berumur 26 tahun yang dipercayai anggota kumpulan samseng selepas ditembak polis di Ampang Selasa lepas.

Ketua Polis Selangor, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah berkata, kes kematian itu dimainkan sesetengah pihak dalam media sosial dan tindakan sedemikian hanya akan mengganggu siasatan polis.

"Biar polis jalankan siasatan secara telus tanpa melindungi sesiapa bagi memastikan keadilan kepada semua pihak,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di sini hari ini.

Dalam kejadian 1.15 pagi itu, polis menerima laporan mengenai pergaduhan dua kumpulan di kawasan pangsapuri di Pandan Perdana sebelum menghantar sepasukan lapan anggota ke tempat kejadian.

Menyedari kehadiran polis, suspek dan empat lagi rakannya masuk ke dalam kereta untuk melarikan diri sebelum dikejar pasukan polis yang kemudian mengesan mereka di Tasik Permai.

Kelima-lima suspek berumur 26 hingga 30 tahun itu kemudian meluru keluar daripada kereta dan cuba menyerang anggota polis menggunakan parang, pisau pemotong daging dan besi, sebelum polis bertindak melepaskan dua das tembakan ke arah suspek dan menahan mereka.

Bagaimanapun, lelaki berusia 26 tahun itu cedera ditembak selepas menyerang pasukan polis ketika cuba menahannya dan disahkan meninggal dunia di Hospital Ampang kira-kira 6 pagi dua hari selepas kejadian. – BERNAMA

30 Ogos 2012

0 comments:

Post a Comment