August 22, 2012

Empat beranak terselamat

Rumah teres satu tingkat yang musnah terbakar, semalam.

LORONG PANDAN, MELAKA - Enam beranak nyaris rentung ketika sedang tidur apabila rumah yang didiami mereka di Jalan Kesidang 2/2, Taman Anika, di sini, terbakar awal pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira 2.30 pagi, mangsa, Bahari Omar, 44, bersama isteri dan empat anaknya tidur di dalam dua bilik berasingan di rumah teres satu tingkat sebelum anak sulungnya, Diana, 18, terjaga dan melihat biliknya dipenuhi asap hitam.

Menurut Diana, dia yang tiba-tiba tersedar dari tidur terkejut apabila asap hitam memenuhi biliknya yang terletak di bahagian belakang rumah sebelum keluar dan melihat api marak di dapur.

“Selepas terjaga daripada tidur saya terus keluar bilik bilik dan nampak api di seluruh bahagian dapur.

“Saya terus memanggil ayah, ibu dan adik-adik yang tidur sebilik di bilik hadapan dan keluar menyelamatkan diri tanpa saya sempat mengambil sijil-sijil persekolahan di bilik saya,” katanya.

Sementara itu, Bahari berkata, dia dan ahli keluarga kemudian memaklumkan jiran di sebelah kiri rumah sebelum jiran mereka membantu menghubungi bomba.

“Selepas Diana menjerit ‘Ayah, Mak..api..api! ' kami terjaga dan terus keluar dari rumah dan mengejutkan jiran di sebelah kiri rumah sementara jiran sebelah kanan  tiada di rumah kerana pulang ke kampung.

“Kami hanya sempat mengeluarkan almari kecil dan televisyen, bingkai ayat al-Quran dan beberapa barangan lain yang terletak di ruang tamu semasa api sedang marak.

Menurutnya, kerugian dianggarkan sebanyak RM100,000 apabila seluruh dapurnya hangus selain 60 peratus bilik belakang terbakar.

“Bagaimanapun saya bersyukur ahli keluarga saya selamat dan Diana tersedar daripada tidur menyebabkan kami sempat keluar dari rumah,” katanya.

Bahari berkata, rumah yang dibelinya sejak 20 tahun lalu itu hanya kadang kala dikunjungi kerana menetap di rumah mentuanya di Kampung Semabok.

“Pada asalnya kami merancang untuk mengemas rumah tersebut namun terlelap selepas kami sekeluarga sampai di rumah ini kira-kira jam 1 pagi setelah penat berjalan raya di rumah abang Sulaiman Omar, 50, di Bukit Piatu.

Sementara itu, Pegawai Bomba Tinggi dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Jalan Kubu, Isa Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 2.35 pagi sebelum bergegas ke lokasi dan tiba 11 minit kemudian.

“Empat jentera iaitu dua dari Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Kubu dan masing-masing satu dari Bukit Katil dan Tangga Batu dikejar ke lokasi sebelum api berjaya dikawal oleh 19 anggota termasuk tiga pegawai.

“Ketika jentera pertama sampai api sedang marak di bahagian dapur dan sebuah bilik belakang bagaimanapun api berjaya dipadamkan sepenuhnya pada jam 4.05 pagi dan berjaya menyelamatkan bahagian hadapan rumah tersebut,” katanya.

Menurut Isa , punca kebakaran dan kerugian sebenar masih dalam siasatan.

Sinar Harian 22 Ogos 2012

0 comments:

Post a Comment