August 22, 2012

Bergaduh gara-gara berebut pelanggan


IPOH – Hanya kerana berebut pelanggan, seorang pekerja pusat pengurusan mayat parah ditetak dengan parang di rumah mayat, Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 10.30 malam itu, mangsa K Manivanan, 31, sedang mengurus mayat seorang rakannya sebelum diserang suspek yang dipercayai tidak berpuas hati tindakan mangsa mengambil pelanggannya.

Manivanan berkata, dia diserang dari belakang selepas selesai menguruskan mayat rakannya itu.

“Rasa tidak dapat mempertahankan diri ketika diserang selain terus berlari ke pondok polis yang terletak di hadapan hospital ini. “Saya bernasib baik apabila lelaki berkenaan tidak mengejar saya.

Doktor dan jururawat yang berada di tempat kejadian terus memberi rawatan setelah melihat badan saya dipenuhi darah,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah, Superintendan Ahmad Termizi Abd Haq berkata, suspek yang menyerang mangsa sudah dikenal pasti dan tindakan mengesan dilancarkan untuk menangkap suspek.

“Kita telah menerima laporan pada dari mangsa dan dia mengalami cedera parah di bahagian tangan kanan dan beberapa kesan di perut serta berhampiran leher.

“Siasatan awal mendapati mangsa diserang di luar hospital sebelum melarikan diri ke pondok polis. Mangsa kini ditempatkan dalam wad untuk menerima rawatan,” katanya.

Menurutnya, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

Sinar Harian 22 Ogos 2012


Lelaki serang pekerja urus mayat diberkas

IPOH : Polis menahan seorang lelaki berusia 38 tahun yang disyaki menyerang seorang pekerja pusat pengurusan mayat menggunakan parang di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), malam Isnin lalu.
Timbalan Ketua Polis Daerah Ipoh, Superintendan Ahmad Termizi Abdul Haq berkata, berikutan kejadian itu gerakan mengesan suspek segera dilakukan sehingga membolehkannya dicekup.

“Maklumat orang awam dan mangsa membolehkan tangkapan dilakukan apabila suspek diberkas di depan bangunan Persatuan India Kinta, Jalan Gurdwara, tengah hari kelmarin.

“Siasatan awal polis mendapati, lelaki terbabit mempunyai lima kes jenayah lampau berkaitan kes ugutan jenayah dan dadah,” katanya.

Menurutnya, lelaki terbabit direman tiga hari bermula semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan Dalam kejadian jam 10.30 malam itu, seorang pekerja pusat pengurusan mayat hampir putus pergelangan tangan kanannya selepas diserang dengan parang di perkarangan HRPB.

K Manivanan, 31, dikatakan sedang melakukan urusan pengurusan mayat membabitkan rakannya sebelum diserang lelaki terbabit yang dipercayai tidak berpuas hati kerana mendakwa mangsa mengambil pelanggannya.

Lelaki terbabit kemudian menyerang mangsa di depan wad kecemasan hospital itu dan mangsa yang parah sempat menyelamatkan diri dengan meminta bantuan di pondok pengawal polis sebelum diberi rawatan di hospital berkenaan.

myMetro 23 Ogos 2012

0 comments:

Post a Comment