August 22, 2012

Akibat kemaruk telefon pintar


Imej lelaki bertubuh gempal dan berseluar pendek dirakam melarikan sebuah telefon pintar di sebuah kedai telefon bimbit.

KUALA ROMPIN - Gara-gara kemaruk memiliki Samsung Galaxy Note, seorang lelaki berbadan gempal sanggup mencuri, namun tanpa disedari, tindakannya itu dirakamkan kamera litar tertutup (CCTV) di sebuah kedai menjual telefon bimbit dan aksesori di Bandar Kuala Rompin, di sini, baru-baru ini.

Bagaimanapun lelaki itu licik menyembunyikan identitinya dengan memakai topi keledar dan cermin mata hitam bagi menyukarkan imejnya dirakamkan CCTV tersebut.

Peniaga kedai, Keh See Jing, 27, berkata, kejadian itu dipercayai berlaku pada jam 1 petang, selepas seorang pekerjanya melayan seorang pelanggan lelaki berbadan besar di sebuah kedainya.

See Jing yang ketika itu tidak berada di kedai terbabit berkata, lelaki itu dipercayai meminta pekerjanya menunjukkan sebuah telefon Samsung Galaxy Note yang berharga RM1,899 kerana berhasrat untuk membelinya.

“Saya tiada di kedai ketika itu dan hanya dimaklumkan pekerja ada pelanggan yang ingin membeli telefon itu di kedai. Saya menyuruh pekerja datang ke sebuah lagi kedai saya untuk mengambil telefon bimbit yang diinginkan pelanggan.

“Sebaik sahaja pekerja saya mengambil telefon bimbit itu, pelanggan itu meminta supaya pekerja mengambil sebuah lagi telefon yang sama jenis tetapi berlainan warna di kedai tempat dia (pekerja) mengambil telefon terbabit,” katanya.

Menurutnya, sebaik saja pelanggan itu menyuruh pekerjanya mengambil telefon pintar itu, tiba-tiba lelaki bertubuh gempal berseluar pendek terbabit dipercayai lesap dan menghilangkan diri.

“Pekerja saya yang datang semula ke kedai mendapati pelanggan itu sudah tiada, malah telefon pintar itu juga hilang dipercayai diambil lelaki terbabit tanpa disedari,” katanya.

Menurutnya, imej lelaki itu juga pernah dirakamkan CCTV di sebuah kedai menjual telefon bimbit milik rakannya di Endau, Johor kerana mengambil telefon Samsung Galaxy Tab, seminggu selepas melarikan telefon bimbit di kedainya.

“Modus operandi lelaki ini sama iaitu memakai topi keledar dan cermin mata hitam dan datang ke kedai, kononnya untuk membeli telefon bimbit, tetapi malangnya telefon yang diingininya pula dikebas,” katanya.

Menurutnya, dia juga sudah membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Rompin.

“Kita minta supaya peniaga kedai telefon bimbit yang lain berhati-hati dengan tindakan lelaki ini bagi memastikan kedai mereka tidak menjadi mangsa seterusnya,” katanya kepada Sinar Harian.

Sinar Harian 22 Ogos 2012

0 comments:

Post a Comment