August 22, 2012

34 tahun cari rakan lama

Gambar kenangan Mohd Khairuddin (kanan) yang disimpan Che Seman.

KOTA BHARU - Selama 33 tahun terpisah dengan rakan sekolah, seorang kakitangan klinik kesihatan kini berusaha mencari rakan lamanya yang sering diingati setiap kali tibanya hari raya.

Pekerja klinik berkenaan, Che Seman Yaacob, 56 berkata, rakannya, Mohd Khairuddin Kasim, 56 berasal dari Johor dan mereka terpisah selepas tahun 1979.

“Kami adalah rakan dari Institut Tunas Bakti (ITB) Gunong, Bachok pada 1978 hingga 1979, namun sebaik sahaja tamat Malaysian Certificate Examination (MCE), kami tidak lagi berhubung.

“Setiap kali tiba hari raya, saya pasti teringatkannya memandangkan dia (Mohd Khairuddin) berasal dari luar Kelantan  dan saya serta rakan sentiasa membantunya,” katanya.

Menurutnya, antara aktiviti tersebut termasuk perkhemahan pengakap, mandi air terjun dan berkelah di Bukit Keluang, Besut, Terengganu.

“Biarpun Mohd Khairuddin (Din) ditempatkan di kelas berlainan dengan saya, namun memandangkan rumah sewanya bersebelahan dengan rumah saya di Gunong, kami memang akrab.

“Tidak silap saya, Din berasal dari Masai (Johor) dan selain saya, dia akrab dengan rakan bernama Dollah, namun sehingga hari ini saya juga terputus hubungan dengan Dollah,” katanya.

Katanya, sebelum ini dia pernah berusaha mencari Mohd Khairuddin, tetapi memandangkan tiada alamat asalnya yang lengkap, pencariannya tidak berjaya.

“Sesiapa yang pernah tahu dan pernah mengenali Mohd Khairuddin, mereka diminta membantu saya untuk menemuinya dan boleh menghubungi saya pada talian 012-9094146 atau 019-9187730 atau di alamat Kuarters Klinik Kesihatan Mahligai, Blok G, 2013, Mahligai Melor, Kota Bharu,” katanya.

Sinar Harian 22 Ogos 2012

0 comments:

Post a Comment