July 30, 2012

Warga Emas Dan Cucu Tinggal Sehelai Sepinggang, Rumah Musnah Dalam Kebakaran



IPOH: Seorang warga emas dan cucunya tinggal sehelai sepinggang apabila rumah mereka musnah dalam kebakaran di Ulu Kuang di Chemor, di sini Isnin.

Dalam kejadian 12.50 tengahari itu, Rasmah Kadir, 69, turut mengalami lecur pada tapak kaki akibat terpijak bara api yang berselerak di atas lantai ketika cuba menyelamatkan diri.

Menceritakan kejadian kepada pemberita, Rasmah berkata beliau hanya menyedari kebakaran apabila cucunya Mohd Alif Jamal, 6, menjerit memberitahu ternampak api dari bahagian bilik utama rumah.

"Saya menyuruh Alif keluar rumah melalui pintu depan sebab saya cuba nak masuk ke bilik untuk ambil wang tapi tak sempat kerana api mula marak dan saya ikut pintu belakang untuk keluar," katanya.

Rasmah berkata rumahnya itu juga baru sahaja dibaik pulih dengan peruntukan RM16,000 daripada Felcra.

Sementara itu, Ketua Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Ipoh, Mohd Nasir Mohd Arshad berkata pihaknya menerima panggilan pada pukul 12.52 tengahari dan tiga jentera bersama 15 anggota digegaskan ke lokasi.

"Kebakaran bermula dari sebuah bilik dan api berjaya dikawal empat minit kemudian," katanya.

Punca dan nilai kerugian masih dalam siasatan.

Dalam pada itu, Anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Hulu Kinta, Datuk Rusnah Kassim turut melawat mangsa dan menyampaikan sumbangan peribadi berjumlah RM3,000 kepada mangsa. - BERNAMA

30 Jul 2012

0 comments:

Post a Comment