July 30, 2012

Tertuduh Kes Dadah Meninggal Dunia Ketika Pertuduhan Dibaca



MELAKA: Kompleks Mahkamah Melaka gempar apabila seorang tertuduh kes dadah rebah dan meninggal dunia selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di Mahkamah Majistret petang Isnin.

Sejurus sebelum kejadian yang berlaku kira-kira 3 petang itu, mangsa, Fazlie Khamis, 28, dilihat duduk dalam keadaan lemah di tepi kandang tertuduh dengan air liur meleleh dan tidak menunjukkan sebarang reaksi, menyebabkan jurubahasa mahkamah terpaksa membacakan semula pertuduhan terhadapnya.

"Tertuduh kemudian jatuh melutut sebelum rebah dan disahkan meninggal dunia oleh seorang anggota perubatan yang berada di mahkamah ketika itu," kata seorang saksi yang enggan dikenali ketika ditemui di kompleks mahkamah di sini.

Fazlie ditahan petang Jumaat lepas di Batu Berendam berhubung kesalahan memiliki 2.5 gram heroin mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan dibawa dari lokap Ibu Pejabat Polis Daerah Melaka Tengah untuk pendakwaan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah ACP Salehhudin Abd Rahman mengesahkan kejadian tersebut dan berkata mayat mangsa dihantar ke Hospital Melaka untuk bedah siasat dan buat masa ini, kes diklasifikasi sebagai mati mengejut.

Ibu mangsa yang hanya dikenali sebagai Sapiah pula berkata beliau hanya menyedari kejadian itu selepas melihat kakitangan perubatan masuk ke mahkamah majistret berkenaan.

"Saya masuk ke dalam dan terkejut melihat keadaan Fazlie yang telah rebah lalu segera memangkunya yang ketika itu berada dalam keadaan lemah sebelum dia disahkan meninggal," katanya. - BERNAMA

30 Jul 2012


OKT meninggal dunia dalam kandang tertuduh

Pihak polis membawa keluar jenazah Fazli Khamis dari bangunan mahkamah.

AYER KEROH - Seorang lelaki yang dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan miliki dadah, tumbang lalu menemui ajalnya di dalam kandang tertuduh Mahkamah Majistret Ayer Keroh, di sini, hari ini.

Fazli Khamis, 28, yang ketika itu sedang menunggu kes beliau dibicarakan disahkan meninggalkan dunia oleh seorang pegawai perubatan kira-kira 3 petang.

Dia yang dikatakan kelihatan tenang semasa dibawa ke Mahkamah Majistret 1, bagaimanapun dikesan berbuih pada mulutnya sejurus sebelum tumbang.

Mangsa sepatutnya dituduh di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya kerana ditangkap memiliki dadah jenis heroin seberat 2.5 gram di kawasan Batu Berendam, 27 Julai lalu.

Berikutan penahanan itu, mangsa telah direman antara 28 Julai dan hari ini.

Mayat mangsa kemudian dibawa ke rumah mayat Hospital Melaka, di sini untuk bedah siasat.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Salehhudin Abdul Rahman ketika mengesahkan kejadian itu  berkata, polis telah mengklasifikasikan kes berkenaan sebagai mati mengejut.

Bagaimanapun, katanya, siasatan kini dijalankan bagi mengenal pasti punca kematian mangsa.

Sinar Harian 30 Jul 2012


Tertuduh hidap radang abdomen

MELAKA: Kematian seorang lelaki ketika tuduhan memilik dadah dibacakan kepadanya di Mahkamah Majistret di sini, Isnin lalu, diklasifikasikan sebagai kematian mengejut.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Salehuddin Abd Rahman berkata laporan bedah siasat mendapati tertuduh mati akibat radang abdomen.

“Punca kematian tertuduh disebabkan radang abdomen akibat ulser duodenum yang bocor.

“Tiada unsur jenayah mengenai kematiannya dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Kelmarin, Harian Metro melaporkan Mahkamah Majistret di sini, gempar apabila seorang lelaki yang dituduh memiliki heroin tiba-tiba melutut di lantai sebelum rebah dan meninggal dunia di pangkuan ibunya ketika pertuduhan terhadapnya dibacakan.

Sebelum kejadian kira-kira jam 3 petang itu, tertuduh, Fazlie Khamis, 28, dari Bachang, Batu Berendam, dibawa dari lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah ke mahkamah bagi menghadapi tuduhan memiliki heroin.

Menurut sumber, tertuduh yang dalam keadaan lemah duduk di bangku di luar kandang pesalah ketika pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Ida Rahayu Sharif.

Bagaimanapun selepas beberapa minit pertuduhan dibacakan buat kali kedua, tertuduh yang pada awalnya tidak memberi sebarang reaksi tiba-tiba jatuh melutut dan rebah ke lantai sebelum disahkan meninggal dunia.

myMetro 2 Ogos 2012

0 comments:

Post a Comment