July 31, 2012

Remaja lemas lepas bersih tebing



SUNGAI SELISEK - Mayat remaja yang mati lemas selepas mandi berseorangan di Sungai Bernam berjaya ditemui jam 9.30 malam, semalam.

Operasi menyelamat kali kedua yang dilakukan Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) berjaya menemui mayat mangsa selepas percubaan kali pertama gagal.

Mangsa, C Partiban, 16, dikatakan mandi kira-kira jam 4.30 petang semalam selepas membersihkan kawasan tebing sungai itu bersama beberapa rakan dan penduduk kampung bagi persiapan sambutan Thaipusam 2 Ogos ini.

Bapa mangsa, S Chandran, 50, berkata, ketika kejadian dia berada di tempat kerja di kilang besi Behrang 2020, Perak dekat sini sebelum menerima panggilan rakannya berhubung kejadian itu.

“Saya bergegas pulang dan ketika itu anggota bomba sedang mencari anak saya yang dikatakan tenggelam di lubuk sungai,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Saksi kejadian, K Priasamy, 53, berkata, dia cuba menyelamatkan mangsa namun gagal kerana turut disedut air.

Menurutnya, dia cuba menarik rambut mangsa tetapi sedutan air di lubuk itu sehingga menenggelamkannya memaksa dia melepaskan rambut mangsa lalu menyelamatkan diri.

“Saya turut tenggelam disedut air jadi saya terpaksa selamatkan diri naik ke tebing.

“Sebelum itu, dua rakan Partibhan sudah cuba menyelamatkannya tapi mereka tidak pandai berenang, jadi mereka mengalah,” katanya.

Katanya, sebelum kejadian dia menasihati mangsa supaya tidak mandi di sungai berkenaan namun pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Katolik, Tanjung Malim itu tidak mengendahkan tegurannya.

Jelasnya, melihat mangsa mandi dia membaling batu ke sungai sambil menjerit jangan mandi dan ketika itu mangsa dilihat tenggelam.

Mayat mangsa dibawa ke Hospital Slim River untuk bedah siasat.

Sinar Harian 31 Jul 2012


Lemas di lubuk ketika mandi


HULU SELANGOR - “Masa saya pulang ke rumah untuk makan tengah hari, dia baru sahaja tiba dari sekolah dan bersiap keluar sambil tersenyum kepada saya, tapi saya tidak fikir apa-apa.

Rupanya itulah senyumannya yang terakhir dapat saya lihat,” kata P Pakamis, 43, ibu kepada C Partiban, 16, remaja yang ditemui mati lemas di Sungai Bernam, petang kelmarin.

Menurut Pakamis, perasaan sedih mengenangkan kembar Partiban meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya dua tahun lalu masih belum hilang dan kesedihan itu ditambah pula dengan kejadian malang yang berlaku ke atas anak keempatnya itu.

Katanya, ketika dia pulang dari kerja sekitar jam 3.30 petang hari kejadian, anaknya itu tiada di rumah dan dimaklumkan oleh seorang lagi anaknya, kemungkinan mangsa berada di kuil untuk persiapan Thaipusam.

"Namun saya hairan, kerana kuil sudah siap dan saya fikir dia pasti mahu mandi di sungai berhampiran.

"Tidak lama kemudian, polis datang ke rumah meberitahu anak saya hilang semasa mandi di sungai. Ketika itu saya tidak boleh berfikir apa-apa kecuali menangis sehinggakan orang lain terpaksa memapah saya ke tempat kejadian,"katanya.

Kelmarin, Pakamis setia menunggu di lokasi kejadian ketika usaha mencari anaknya dilakukan anggota bomba dan penyelamat serta penduduk kampung.

Bagaimanapun, mayat pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Katolik, Tanjung Malim itu ditemui mati lemas oleh Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) kira-kira jam 9.50 malam selepas lima jam usaha mencari dilakukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Tanjung Malim dan Slim River.

Menurut saksi, mangsa mandi berseorangan di Sungai Bernam kira-kira jam 4.30 petang kelmarin selepas membersihkan kawasan tebing sungai berkenaan bersama beberapa rakan dan penduduk kampung bagi persiapan sambutan Thaipusam pada 2 Ogos nanti.

Bagaimanapun, mangsa dikatakan terkapai-kapai dan tenggelam dipercayai disedut pusaran air di lubuk sungai berkenaan memandangkan ketika itu airnya tenang.

Sementara itu, Pakamis berkata, mendiang anaknya adalah seorang yang baik dan pandai berdikari.

"Dia sentiasa ringan tulang dan ketika kejadian mendiang secara sukarela membantu membersihkan kawasan itu bagi memudahkan penganut Hindu menunaikan ibadat pada sambutan Thaipusam,"katanya.

Sinar Harian 1 Ogos 2012

0 comments:

Post a Comment