July 30, 2012

Penyamun pelancong diberkas di Genting Highlands



KUANTAN - Polis memberkas seorang lelaki yang menyamun seorang pelancong wanita China di sebuah hotel di Genting Highlands, tengah malam semalam.

Polis turut menemui dadah pada badan suspek yang berumur 38 tahun yang bekerja sebagai tukang masak di kawasan peranginan tanah tinggi tersebut.

Pegawai Urusetia Jabatan Siasatan Jenayah Pahang, ASP Noor Asyikin Shamsuri berkata siasatan awal mendapati suspek turut memiliki enam rekod jenayah lampau termasuk berkaitan dadah.

Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 392 Kanun Keseksaan beserta Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya Pindaan 1952, katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Kes samun itu berlaku pada Jumaaat lepas apabila mangsa yang berumur 37 tahun didatangi suspek yang dikenalinya di pusat peranginan itu, di bilik penginapannya.
   
"Pada 4.30 pagi itu, pintu bilik mangsa diketuk dan ketika dibuka, suspek meluru masuk lalu menerkam mangsa sebelum mengikatnya dengan wayar pengecas telefon.

"Suspek kemudiannya bertindak menggeledah bilik mangsa sebelum melarikan tiga telefon bimbit dan wang tunai RM1,900. Kerugian keseluruhan yang dialami mangsa hampir RM5,000," katanya.

Noor Asyikin berkata polis kemudiannya melancarkan gerakan mengesan dan memburu suspek sebelum berjaya memberkasnya di sekitar kawasan berkenaan pada pukul 12.30 malam semalam.  - Bernama

30 Jul 2012

0 comments:

Post a Comment