July 19, 2012

Peluk erat beg dadah



ALOR GAJAH: Kelakuan pelik seorang lelaki yang enggan melepaskan beg sandang miliknya walaupun parah selepas kereta dipandu terbabit kemalangan di Lebuh Alor Gajah-Melaka-Jasin (AMJ) berdekatan Persimpangan Pegoh, dekat sini, terbongkar apabila beg itu dipercayai mengandungi sejumlah dadah, semalam.

Difahamkan, dalam kemalangan jam 7.30 pagi, lelaki berusia 36 tahun itu cedera di kepala apabila kereta Proton Iswara dipandunya merempuh sebuah treler di kawasan berkenaan.

Sumber berkata, pihak hospital bergegas ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan awam mengenai kemalangan itu, jam 7.40 pagi.

“Sejurus tiba, seorang lelaki didapati berada di dalam Proton Iswara itu dengan keadaan kepalanya berlumuran darah dan masih memberi reaksi atau tindak balas ketika disapa.

“Mangsa kemudian dikeluarkan daripada keretanya yang remuk di bahagian depan dan dibawa ke Hospital Alor Gajah untuk rawatan lanjut,” katanya di sini, semalam.

myMetro 19 Jul 2012


Kemalangan bongkar makmal dadah

MELAKA – Kemalangan yang menimpa seorang lelaki di kawasan Alor Gajah di sini rupa-rupanya menjadi petunjuk bagi polis apabila dapat membongkar kegiatan memproses dadah di sebuah rumah teres satu tingkat di Semabok di sini Rabu lalu.

Pembongkaran bermula apabila polis menemui syabu seberat 500 gram bernilai RM201,758 di dalam beg sandang yang dibawa oleh lelaki berusia 36 tahun tersebut selepas kereta yang dipandunya terlibat dalam kemalangan di Lebuh Alor Gajah-Melaka-Jasin (AMJ) pada pukul 7 pagi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik negeri, Superintendan Md. Azmi Othman berkata, pihaknya curiga apabila lelaki itu beriya-iya mahu menyelamatkan beg sandangnya sedangkan ketika itu dia sedang dalam kesakitan.

Katanya, polis kemudian telah memeriksa kandungan beg yang dibawa bersama lelaki itu ketika dia dirawat di Hospital Alor Gajah sebelum menemui dadah tersebut, komputer riba dan telefon bimbit.

“Ketika suspek dipindahkan ke Hospital Melaka empat jam kemudian, dia telah dilawati oleh kekasihnya yang berusia 30 tahun dan ketika itulah kita membuat tangkapan.

Kosmo 24 Jul 2012



Kekasih dedah rahsia

MELAKA: Polis menemui ribuan pil Ecstasy dan ketamin bernilai lebih setengah juta ringgit selepas memeriksa rumah lelaki yang enggan melepaskan begnya kerana mengandungi 500 gram syabu ketika dihantar ke hospital selepas terbabit dalam kemalangan jalan raya, minggu lalu.

Teman wanitanya yang melawat lelaki berusia 36 tahun itu di hospital pada hari kemalangan Rabu lalu, ditahan dan polis menemui sejumlah kunci sebelum wanita berumur 30 tahun itu membawa polis ke sebuah rumah di sekitar Semabok, di sini.

Polis mendapati rumah itu dijadikan tempat memproses dadah dan 4,600 pil Ecstasy serta dadah disyaki jenis ketamin seberat kira-kira 2,106 gram (g) dianggar bernilai RM584,958 (termasuk 500 gram syabu yang ditemui bersama lelaki itu) serta sejumlah wang tunai ditemui dalam rumah itu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Melaka, Superintendan Md Azmi Othman berkata, lelaki berkenaan cedera selepas kereta Proton Iswara dipandunya merempuh sebuah lori di Alor Gajah, jam 7.15 pagi, Rabu lalu.

“Ketika dalam perjalanan ke hospital, dia berkelakuan mencurigakan apabila memeluk dua beg miliknya hingga menyebabkan sepasukan polis dipanggil untuk menjalankan pemeriksaan.

“Pemeriksaan lanjut menemui satu bungkusan plastik berbalut surat khabar berisi dadah disyaki syabu seberat 500g dalam satu daripada beg itu manakala satu lagi beg mengandungi komputer riba dan telefon bimbit,” katanya pada sidang media di pejabatnya di sini, semalam.

Menurutnya, jam 11 pagi hari sama, seorang wanita dipercayai teman wanitanya melawat lelaki itu di hospital dan dia turut ditahan bagi membantu siasatan.

“Polis tidak menemui apa-apa barangan kecuali serangkai kunci dan wanita itu kemudian membawa polis ke sebuah rumah di Semabok iaitu tempat dadah berkenaan ditemui.

“Polis turut menemui peralatan dipercayai untuk memproses dadah di rumah berkenaan. Sebuah kereta Perodua Myvi milik wanita itu turut disita untuk siasatan,” katanya. Menurut Md Azmi, pasangan berkenaan yang ditahan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, direman sehingga hari ini.

myMetro 24 Jul 2012

0 comments:

Post a Comment