July 17, 2012

Pandu ke hospital sambil tahan bisa ular



KUALA BERANG: “Dalam keadaan sakit menahan bisa ular, saya menggagahkan diri memandu kereta kira-kira setengah jam untuk sampai ke Hospital Hulu Terengganu (HHT) sebelum pengsan di hospital itu,” kata Husin Ali, 43, yang hampir maut selepas dipatuk seekor ular kapak, semalam.

Husin berkata, ketika kejadian, dia baru tiba di kebunnya di Kampung Landas, Ajil, dekat sini, pada jam 10.20 pagi sebelum dipatuk ular sepanjang satu meter itu di betis sebaik dua langkah meninggalkan keretanya.

“Isteri saya, Asmuni Awang, 43, yang turut ke kebun mengambil dua kayu dan memukul ular itu sehingga mati.

“Walaupun kesakitan, saya memandu ke HHT dengan ditemani isteri, tetapi setibanya di sana, isteri memberitahu saya pengsan selama setengah jam selepas diberikan empat jarum suntikan untuk melawan bisa ular itu.

“Sebaik sedar, saya sudah berada di wad dan bersyukur kerana selamat,” katanya ketika ditemui di HHT, di sini, semalam.

Asmuni berkata, sebaik melihat suaminya cedera dipatuk ular, dia panik dan mencapai kayu untuk memukul reptilia itu.

“Ular itu tidak bergerak selepas mematuk suami sebelum saya nekad memukulnya menggunakan dua kayu,” katanya.

myMetro 17 Jul 2012


Hampir maut dipatuk ular kapak


Reptilia dipercayai spesies ular kapak hijau inilah yang mematuk betis kanan Husin.


KUALA BERANG - Ibarat 'nyawa di hujung tanduk'. Demikian nasib dialami seorang tenaga pengajar di sebuah institut kemahiran di daerah ini apabila dia hampir maut selepas dipatuk ular dipercayai spesies ular kapak hijau, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.20 pagi di Kampung Landas itu, mangsa Husin Ali, 43, terpaksa menggagahkan diri memandu kereta kirakira setengah jam ke Hospital Hulu Terengganu (HHT) dalam keadaan sakit menahan bisa ular  sebelum dia pengsan di HHT.

Menimbau peristiwa itu, Husin berkata, dia dan isterinya, Asmuni Awang, 43, baru tiba di kebun mereka di kampung berkenaan untuk melakukan kerja pembersihan kawasan dan hanya sempat berjalan beberapa langkah dari kereta sebelum dia dipatuk.

“Sebaik berjalan meninggalkan kereta, tiba-tiba betis kanan saya terasa begitu sakit. “Selepas diperiksa saya dapati betis saya terdapat kesan dipatuk ular yang panjangnya kira-kira satu meter,” katanya .

Husin berkata, dalam keadaan panik, isterinya memberanikan diri memukul reptilia itu dengan sebatang kayu sehingga mati.

“Biarpun kesakitannya tidak dapat digambarkan dengan kata-kata, namun saya gagahkan diri memandu ke HHT sambil ditemani isteri.

“Setibanya di hospital, saya pengsan kira-kira setengah jam selepas diberikan empat suntikan melawan bisa ular dan saya bersyukur kerana masih selamat,” katanya kelmarin yang turut menerima kunjungan ahli keluarga dan sahabat handai.

Sementara itu, Asmuni berkata, sebaik dia melihat suaminya menahan kesakitan akibat dipatuk ular, dia mencapai kayu berhampirannya dan nekad untuk memukul ular berkenaan biarpun dalam keadaan panik.

“Ular itu tidak bergerak selepas mematuk suami dan walaupun cemas, saya beranikan diri untuk memukul haiwan berkenaan selepas berjaya mencapai kayu yang terdapat di kawasan itu. Syukurlah semuanya selamat,” katanya.

sinar Harian 18 Jul 2012

0 comments:

Post a Comment