July 31, 2012

Mayat bayi lelaki ditemui di Salak Jaya



KUALA LUMPUR — Mayat seorang bayi lelaki yang baharu dilahirkan dan cukup sifat ditemui di tepi sebuah longkang besar di Taman Salak Jaya di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Cheras, ACP Mohan Singh Tara Singh berkata, mayat itu ditemui kira-kira 10 pagi oleh orang awam yang lalu di kawasan itu.

"Bayi tidak berpakaian itu masih mempunyai tali pusat dan ditemui dalam keadaan mengiring di tebing longkang itu,” katanya ketika ditemui Bernama.

Mohan berkata, mayat bayi berkulit cerah itu dipercayai diletakkan di lokasi itu dalam tempoh 24 jam lepas dan bukan akibat dihanyutkan arus sungai berdekatan.

"Kami meminta sesiapa yang tahu atau melihat kejadian untuk tampil membantu siasatan,” katanya.

Mayat bayi itu dihantar ke Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia untuk bedah siasat. — BERNAMA

31 Jul 2012



Mayat bayi ditemui dalam longkang

KUALA LUMPUR 31 Julai - Seorang warga emas yang sedang bersenam terkejut menemui mayat seorang bayi lelaki yang cukup sifat dalam longkang besar tidak jauh dari rumahnya di Taman Salak Jaya di sini.

Difahamkan, lelaki itu sedang bersenam di sekeliling kawasan perumahan sebelum berhenti di jambatan atas longkang tersebut dan ternampak sekujur tubuh menyerupai bayi, kira-kira pukul 9.30 pagi.

Sebaik sahaja mengenal pasti objek yang tersangkut di tebing longkang itu mayat bayi, lelaki itu segera memberitahu beberapa penduduk sebelum mereka menghubungi Balai Polis Salak Selatan Baru.

Salah seorang penduduk yang enggan dikenali berkata, bayi itu dipercayai dibuang sebaik sahaja dilahirkan dan cukup sifat serta masih bertali pusat.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohan Singh Tara Singh berkata, polis percaya kejadian berlaku dalam tempoh sekitar 24 jam sebelum mayat itu ditemui.

Utusan 1 Ogos 2012

0 comments:

Post a Comment