July 30, 2012

Mati sebelum berbuka puasa


SUNGAI BULOH – Seorang wanita yang mengurungkan diri kerana merajuk selepas bertengkar dengan suaminya ditemui mati dalam keadaan tergantung pada kipas siling di dalam sebuah bilik di rumahnya di Apartmen Saujana, Damansara Damai di sini kelmarin.

Mayat Eksekutif Pentadbiran Berita stesen televisyen TV9, Syaleza Jaffar, 31, ditemui oleh suaminya di dalam bilik tersebut ketika beliau memanggilnya untuk bersiap-siap menjelang waktu berbuka puasa pada pukul 7 petang.

Difahamkan, suami mangsa, Norazman Bashah, 30-an, hanya memberitahu mengenai kematian isterinya kepada abang mangsa pada pukul 9.30 malam.

Ketika kejadian, anak lelaki pasangan tersebut yang berusia dua tahun turut berada di dalam rumah.

Jurucakap polis memberitahu, polis dan pasukan bantuan perubatan bergegas ke tempat kejadian sebaik menerima maklumat pada pukul 10.30 malam.

Bagaimanapun, katanya, wanita itu telah disahkan meninggal dunia ketika ditemui.

“Pada mulanya kejadian tersebut diklasifikasikan sebagai mati mengejut. Bagaimanapun, selepas bedah siasat, doktor mengesahkan terdapat beberapa kesan lebam pada tubuh dan kesan jerut pada leher wanita tersebut,” katanya ketika ditemui semalam.

Kosmo 30 Jul 2012


Kes mati mengejut

Kakitangan TV9 ditemui tidak sedarkan diri

Petaling Jaya: Polis setakat ini mengklasifikasikan kematian kakitangan TV9, Nur Syaleza Jaffar, 29, di rumahnya di Pangsapuri Saujana, Damansara Damai, Petaling Jaya, malam kelmarin sebagai mati mengejut. Ditemui tak sedarkan diri

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed, berkata Nur Syaleza, ditemui tidak sedarkan diri oleh suaminya, Norazman Bashah, dalam salah sebuah bilik di kediaman pasangan itu jam 7 malam.

“Suaminya kemudian menghubungi hospital bagi mendapatkan bantuan dan wanita itu dikejarkan ke Hopsital Sungai Buloh (HSB) sebelum disahkan meninggal dunia. Siasatan awal polis mendapati tidak ada unsur jenayah dan buat masa ini kes diklasifikasi sebagai mati mengejut,” katanya semalam.

Polis sudah merakam percakapan dari suaminya selain keterangan beberapa saksi termasuk jiran mangsa.

Bapanya, Jaffar Bakri, 60, yang ditemui di bilik mayat HSB berkata, dia dimaklumkan mengenai kematian jam 9.30 malam sebelum bergegas ke hospital berkenaan dari Segamat, Johor.

“Nur Syaleza ada menghubungi saya Jumaat lalu dan kami berbual seperti biasa dan dia tidak menunjukkan sebarang perubahan,” katanya.

Kali terakhir bertemu anak keduanya itu ketika dia pulang ke kampung bersama suami dan anak lelakinya berusia tiga tahun, sebulan yang lalu namun tidak melihat sesuatu yang mencurigakan.

Sementara itu polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian tampil di Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya atau menghubungi Rakan Cop Polis Selangor, talian 03-20529999 bagi membantu siasatan.

Berita Harian 30 Jul 2012


Eksekutif Wanita TV9 Ditemui Mati

PETALING JAYA: Seorang eksekutif pentadbiran wanita stesen televisyen TV9 ditemui mati di kediamannya di Apartment Saujana, Damansara Damai semalam.

Ketua Polis Daerah Petaling, Jaya ACP Arjunaidi Mohamed berkata mayat Syaleza Jaffar, 31, ditemui di dalam sebuah daripada bilik tidur rumah itu oleh suaminya, Norazman Bashah, pada kira-kira 7 malam.

"Mayat mangsa ditemui di bilik kedua rumah mereka," katanya ketika dihubungi di sini pada Ahad.

Beliau berkata siasatan awal polis mendapati tidak ada unsur jenayah dalam kejadian itu dan buat masa ini kes diklasifikasi sebagai mati mengejut.

Sementara itu, bapa mangsa Jaffar Bakri, 60, berkata beliau hanya mengetahui mengenai kejadian itu selepas dimaklumkan oleh anak sulungnya.

"Anak saya dimaklumkan mengenai kejadian itu oleh suami Syaleza kira-kira 9.30 malam tadi," katanya ketika ditemui di Bilik Mayat, Hospital Sungai Buloh di sini.

Jaffar berkata Syaleza menghubungi ibunya pagi semalam dan memberitahu dirinya tidak sihat.

"Selalunya dia akan berbual panjang tetapi semalam perbualannya tidak lama," katanya yang tinggal di Segamat, Johor.

Beliau berkata Syazleza merupakan anak kedua daripada enam beradik dan mempunyai seorang cahaya mata berusia dua tahun. BERNAMA

30 Jul 2012


'Sabar duhai hati', status terakhir BB isteri ditemui mati

PETALING JAYA – "Sabar duhai hati", adalah status BlackBerry (BB) terakhir yang sempat dicatat seorang Eksekutif Pentadbiran sebuah stesen televisyen swasta, Syaleza Jaffar, 31, sebelum ditemui mati dalam bilik di kediamannya di Apartmen Saujana, Damansara Damai, dekat sini, kelmarin.

Kejadian disedari setelah suaminya terdengar bunyi dentuman kuat, lalu bertindak pecahkan pintu bilik selepas  panggilannya tidak terjawab.

Menurut sumber, pasangan itu bertengkar kira-kira jam 7 malam, menyebabkan mangsa merajuk dan mengunci dirinya di dalam bilik.

“Suami mangsa menghubungi ambulans yang tiba jam 10.30 malam. Pemeriksaan lanjut mendapati dia telah meninggal dunia,” katanya.

Difahamkan jiran mangsa juga terdengar bunyi pertengkaran beberapa jam sebelum kejadian. Ia berkemungkinan berpunca daripada suami mangsa pulang lewat dari kerja luar kawasan.

Pasangan berkenaan mempunyai seorang anak lelaki berusia dua tahun dan menyewa di situ sejak tiga bulan lalu.

Suami mangsa yang bekerja di syarikat petroleum di ibu kota, buat laporan dan memberi keterangan kepada polis.

Mayat Syaleza dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk dibedah siasat.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed mengesahkan kejadian itu.

"Peringkat awal kes diklasifikasikan mati mengejut, namun siasatan diteruskan sama ada terdapat unsur jenayah atau tidak,” katanya.

Sinar Harian 30 Jul 2012


Polis sahkan eksekutif stesen TV mati dijerut

SHAH ALAM - Ketua Polis Selangor mengesahkan punca kematian eksekutif pentadbiran wanita stesen televisyen TV9, yang mayatnya ditemui di kediamannya di Apartment Saujana, Damansara Damai pada Sabtu, adalah akibat lehernya dijerut.

Ketua Polis Selangor Tun Hisan Tun Hamzah berkata laporan bedah siasat ke atas mayat Syaleza Jaffar, 31, di Hospital Sungai Buloh menunjukkan mangsa mati akibat tidak boleh bernafas dan terdapat kesan jerutan di sekeliling leher mangsa.

"Laporan siasatan menunjukkan mangsa mati akibat dijerut dan bukannya menggantung diri, namun kita masih menjalankan siasatan terhadap perkara itu," katanya pada sidang media di sini.

Beliau berkata susulan itu, polis menahan anggota keluarga terdekat mangsa di Segamat, Johor pada kira-kira 10.15 malam tadi bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Suspek akan direman petang ini.

Tun Hisan berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kematian.

Mayat Syaleza ditemui di dalam sebuah daripada bilik tidur rumah itu oleh suaminya pada kira-kira 7 malam.

Suaminya mendakwa terdengar dentuman dalam bilik tidur rumah itu dan ternampak mangsa tergantung tidak bernyawa di kipas bilik itu sebelum membawa turun mayat isterinya.

Polis kemudian ke tempat kejadian sejurus dimaklumkan berhubung kejadian itu oleh suami mangsa dan Syaleza disahkan meninggal dunia ketika ditemui polis.

Syazleza merupakan anak kedua daripada enam beradik dan mempunyai seorang cahaya mata berusia dua tahun. - Bernama

30 Jul 2012


Suami didakwa bunuh eksektutif TV9

Eksekutif Bahagian Teknologi Maklumat syarikat gas dan minyak Norazman Bashah Ahmad Azam Bashah, 31, dihadapkan ke Mahkamah Majistret atas pertuduhan membunuh isterinya.

PETALING JAYA - Suami eksekutif pentadbiran stesen televisyen TV9 Nur Syaleza Jaffar, dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini, atas pertuduhan membunuh isterinya itu, bulan lepas.

Tiada pengakuan direkodkan daripada Norazman Bashah Ahmad Azam Bashah, 31, eksekutif bahagian teknologi maklumat syarikat gas dan minyak, ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Ahmad Solihin Abd Wahid.

Tertuduh yang memakai baju-T berkolar berwarna ungu mengangguk faham ketika pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah kepadanya.

Norazman Bashah, didakwa membunuh Syaleza, 31, di kediamannya di No.115, Tingkat 1 Blok O, Apartment Saujana, Jalan PJU 10/1C, Damansara Damai, di antara jam 12 tengah hari hingga 7.30 malam, 28 Julai lepas.

Norazman Bashah yang diwakili peguam Shah Rizal Abdul Manan didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Mahkamah menetapkan 14 Sept untuk tarikh sebutan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Siti Ruvinna Mohd Rawi.

Akhbar sebelum ini melaporkan  seorang eksekutif pentadbiran wanita stesen televisyen TV9 ditemui mati di kediamannya di Damansara Damai.- Bernama

10 Ogos 2012


Pernah lukakan tangan

Shah Alam: Pendiam, suka menyendiri dan lebih gemar menghabiskan masa bersama anak. Itu antara perubahan sikap Eksekutif Pentadbiran TV9 selepas mengetahui suaminya mempunyai hubungan sulit dengan seorang wanita sekitar 2009.

Perkara itu didedahkan Norazman Bashah Ahmad Azam Bashah, 34, juga tertuduh dalam kes pembunuhan isterinya, Nur Syaleza Jaffar ketika disoal peguam bela, Shah Rizal Abdul Manan yang mewakilinya.

Norazman yang juga seorang eksekutif teknologi maklumat di syarikat gas dan minyak berkata, kisah hubungan sulit bersama rakan sekerja itu diketahui selepas wanita terbabit berhubung dengan isterinya melalui Facebook (FB) menggunakan identiti berbeza.

“Ketika mengetahui perkara itu (hubungan sulit), isteri sedang mengandung tujuh bulan anak lelaki kami. Selepas mendapat tahu, dia mula berubah sikap, kami sering bertengkar dan isteri pernah mencederakan diri sendiri dengan melukakan tangan dan betis.

“Saya tidak membuat laporan polis mengenai kejadian dia mencederakan dirinya sendiri atas permintaan isteri selain saya tidak mahu masalah rumah tangga kami diketahui orang lain,” katanya ketika memberi keterangan pada hari pertama prosiding pembelaan di Mahkamah Tinggi, semalam.

myMetro 28 Mac 2015


Suami bebas tali gantung

Shah Alam: “Kemurungan dialami Nur Syaleza tidak dapat dibendung lagi. Lantas jalan pilihan diambil Nur Syaleza menamatkan kehidupannya lebih awal lagi dengan menggantung diri .

“Saya ingin mengingatkan, jagalah hati isteri masing-masing. Penyesalan jika ada pada Norazman tidak mengembalikan satu kehidupan,” itu kata Hakim Datuk Abdul Halim Aman ketika membacakan penghakiman kes pembunuhan Eksekutif Pentadbiran TV9, Nur Syaleza Jaffar, di Mahkamah Tinggi di sini, semalam.

Semalam, Mahkamah Tinggi membebas dan melepaskan Norazman Bashah Ahmad Azam Bashah, 34, atas tuduhan membunuh isterinya tiga tahun lalu selepas pembelaan berjaya membangkitkan keraguan munasabah dalam kes pendakwaan.

Sejurus keputusan dibacakan Abdul Halim, suasana di galeri awam menjadi hiba apabila ibu Norazman serta-merta melakukan sujud syukur atas pembebasan anaknya itu manakala keluarga Nur Syaleza kelihatan sugul sebaik mendengar keputusan itu.

Abdul Halim berkata, kecurangan dilakukan Norazman bersama seorang wanita lain menyebabkan rumah tangga mereka bermasalah dan Nur Syaleza bertukar sikap menjadi seorang yang murung dan ia diakui rakan sekerja dan ahli keluarga Nur Syaleza.

Menurutnya, Norazman punca kejadian yang menyebabkan Nur Syaleza mengambil keputusan menamatkan hidupnya dengan menggantung diri.

“Pendakwaan khususnya ketika penyiasatan dijalankan tidak dibuat secara terperinci dan kemas. Pegawai penyiasat gagal menyiasat isu kemurungan walaupun telefon bimbit Nur Syaleza dan tertuduh dirampas. Ini menimbulkan keraguan yang tiada jawapan,” katanya.

Norazman dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan (KK) kerana membunuh yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

myMetro 29 Mei 2015

0 comments:

Post a Comment