July 31, 2012

Lelaki parah ditikam gunting



MIRI: Hanya kerana bertanyakan alat pemotong jubin lantai miliknya yang hilang, seorang lelaki nyaris maut ditikam dengan gunting oleh abang iparnya di sebuah rumah di Bandar Baru, Permyjaya, di sini, kelmarin.

Berikutan itu, Aihan Ahmad, 20, mengalami pendarahan teruk di rusuk kiri selain tikaman itu hampir mengenai paru-parunya.

Sebelum kejadian, mangsa cuba bertanya kepada abang iparnya berusia 20-an, mengenai alat pemotong jubin lantainya yang hilang tiga hari lalu, pada jam 11.30 malam.

Menurut Aihan, dia cuba mendapat kepastian daripada abang iparnya mengenai perkara itu dan berharap dapat memulangkan alat berkenaan jika ia ada kaitan dengannya.

Bagaimanapun, katanya, dia tidak menyangka pertanyaannya itu mencetuskan pertengkaran sebelum abang iparnya mengeluarkan gunting di dalam poket seluar lalu menyerangnya.

“Ketika itu, saya tidak sempat mengelak menyebabkan rusuk kiri cedera ditikam. Kejadian itu disaksikan isteri, namun dia tidak dapat berbuat apa-apa berikutan bimbang dicederakan.

“Sejurus kemudian, abang ipar meninggalkan rumah dan saya dibawa ke Hospital Miri bagi mendapatkan rawatan lanjut oleh ahli keluarga yang gempar dengan kejadian itu,” katanya ditemui di hospital itu, di sini, semalam.

Katanya, dia tidak berniat menuduh abang iparnya mencuri alat berkenaan, tetapi sekadar mendapat kepastian.

Sementara itu, jurucakap polis berkata, pihaknya sudah menerima laporan kes berkenaan dan mendapatkan keterangan daripada mangsa serta isterinya mengenai perkara itu.

“Usaha memburu suspek yang menghilangkan diri sedang dijalankan,” katanya Katanya, setakat ini, mangsa dilaporkan stabil dan kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 326, Kanun Keseksaan.

myMetro 31 Jul 2012

0 comments:

Post a Comment