July 30, 2012

Lelaki londeh seluar di mahkamah disahkan tidak alami masalah mental



KUALA TERENGGANU - Seorang pemuda yang melondehkan seluarnya di dalam kandang tertuduh di Mahkamah Majistret, baru-baru ini, sekali lagi dihadapkan ke mahkamah itu semalam.

Ini disebabkan laporan doktor mengesahkan dia tidak mengalami masalah mental setelah hampir dua bulan menjalani rawatan psikiatri di Hospital Permai, Tampoi, Johor Bahru.

Mohd Khairul Hamimi Mohd Sabri, 26, berdepan dakwaan melakukan pecah rumah dan mencuri burung banji serta arnab milik Kedai Menjual Haiwan Peliharaan dan Aquarium Ming Yu Two, Jalan Hiliran Masjid, Chabang 3, pada Mei lalu.

Keputusannya, Mohd Khairul Hamimi yang sebelum ini menggemparkan mahkamah dengan aksi separuh bogelnya itu telah dijatuhi hukuman penjara selama 12 bulan selepas mengaku bersalah atas tuduhan berkenaan.

Majistret Abdul Hayyi Salim menjatuhkan hukuman itu selepas dia mengaku melakukan pecah rumah dan curi dengan memasuki kedai milik Lim Chew Siang, 41, dengan mencuri 50 ekor burung banji dan 45 ekor arnab dalam sangkar besi yang dianggarkan bernilai RM5,000 pada 22 Mei lalu, kira-kira jam 7 petang hingga 23 Mei lalu jam 8.55 pagi.

Mohd Khairul Hamimi yang berasal dari Kampung Tebakang, Bukit Payong, Marang, mengaku salah.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Inspektor Miky Anak Dunstan Muda manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela.

Terdahulu, Mohd Khairul Hamimi merayu mahkamah memberikannya hukuman denda sahaja kerana dia ingin menyambut hari raya bersama keluarga.

Berdasarkan fakta kes, kejadian disedari pemilik kedai berkenaan pada hari kejadian kira-kira jam 8.55 pagi selepas mendapati ada kesan potong pada jaring besi kedainya serta keadaan di dalam kedai berselerak.

Hasil pemeriksaan mendapati haiwan peliharaan telah lesap. Setelah yakin kedainya dipecah masuk, dia membuat laporan di Balai Polis Chabang Tiga, di sini.

Susulan itu, Mohd Khairul Hamimi ditangkap pada jam 5 petang hari sama dan hasil soal siasat, dia mengaku telah menjual sangkar berisi arnab kepada seorang lelaki di rumahnya di Kampung Cherong Lanjut, manakala sangkar berisi burung dijualkan kepada seorang lelaki yang membuat kerja kontrak di Pulau Kambing, di sini.

Sebelum ini, Sinar Harian menyiarkan laporan mengenainya yang dituduh mencuri di sebuah kedai menjual haiwan peliharaan, melondehkan seluarnya sejurus masuk ke dalam kandang tertuduh.

Perlakuan tertuduh yang separuh bogel itu telah membuatkan suasana mahkamah kecoh sebelum Majistret mengarahkan polis bertugas menggari tangannya sepanjang pertuduhan dibacakan.

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan dan majistret mengarahkan dia dihantar ke Hospital Permai, Tampoi, Johor Bahru untuk menjalani rawatan psikiatri.

Sinar Harian 30 Jul 2012

0 comments:

Post a Comment