July 30, 2012

Kanak-kanak terselamat dalam kebakaran



KAJANG: Seorang kanak-kanak berusia empat tahun yang terkurung di dalam sebuah bilik terselamat dalam kebakaran sebuah rumah apartmen di Taman Sepakat Indah, Sungai Chua, di sini, semalam.

Kanak-kanak itu dikatakan terkurung selepas pintu utama rumahnya tertutup dan terkunci dari dalam sebaik ibu dan adiknya melarikan diri.

Menurut ibu mangsa, S Prema, 32, ketika kejadian kira-kira jam 12.35 pagi itu, dia dan dua anaknya sedang tidur dalam sebuah bilik sebelum terhidu bau hangit kain terbakar.

“Sebaik terhidu bau berkenaan saya keluar memeriksa dan mendapati ruang tamu sudah dipenuhi asap tebal manakala kerusi sofa saya terbakar.

“Saya kemudian berlari semula ke dalam bilik untuk mendapatkan kedua-dua anak perempuan saya berusia tujuh bulan dan empat tahun sebelum membawa mereka keluar dari rumah,” katanya ketika ditemui di Hospital Kajang.

Katanya, ketika dia sedang berusaha membuka pintu dan jeriji rumah, anak perempuannya yang berusia tujuh bulan menangis kerana sesak nafas.

“Malangnya, ketika saya keluar, anak sulung terkurung di dalam rumah dan tidak sempat keluar kerana pintu tertutup semula dan terkunci dari dalam,” katanya.

Dia yang gagal membuka pintu meminta bantuan jiran untuk memecah masuk dan memadamkan api serta menghubungi pasukan bomba.

Katanya, dia bersyukur anaknya masih terselamat dan sedang terbaring di dalam bilik tidur meskipun mengalami kecederaan dan melecur lebih 35 peratus sebaik pintu berjaya dibuka.

Difahamkan, anak sulung mangsa masih dirawat di Hospital Kuala Lumpur (HKL) manakala anak bongsunya yang mengalami sesak nafas dirawat di Hospital Serdang.

Sementara itu, Bilik Gerakan Balai Bomba dan Penyelamat Kajang ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan memberitahu kejadian berlaku akibat litar pintas.

Katanya, ketika sampai di tempat kejadian, api sudah terpadam sepenuhnya hasil bantuan penduduk apartmen berkenaan dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Sinar Harian 30 Jul 2012

0 comments:

Post a Comment