July 20, 2012

Helikopter dinaiki 4 orang terhempas di Sarawak





Heli terhempas, tiga hilang

KUCHING: Seorang juruterbang warga Jerman terselamat manakala tiga lagi penumpang, termasuk Naib Pengerusi PKR Sarawak Peter Ato Mayau, masih hilang apabila sebuah helikopter milik syarikat Sebiro Holdings terhempas di muara Sungai Triso, Sri Aman, pagi semalam.

Helikopter yang diterbangkan Riko Steger, 35, terhempas pada kira-kira jam 9.30 pagi setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) pada jam 9 pagi dengan membawa tiga pekerja syarikat tersebut atas urusan kerja di Nanga Merit, Kapit.

Mangsa yang masih hilang ialah Peter yang juga jurutera, 53, juruukur bahan Siti Khuzaimah Anwar dan arkitek Henry Loh. Mereka dikatakan dalam perjalanan untuk melakukan pemeriksaan terhadap projek pembinaan sekolah di tempat dituju.

Ketua Polis Daerah Sri Aman DSP Mat Jusoh Mohamad berkata, Rko yang menerbangkan helikopter Eurocopter EC 120 berenang dengan jaket keselamatan kira-kira empat jam untuk tiba di Kampung Tebelu yang terletak 20 kilometer dari Pekan Sebuyau.

“Maklumat awal yang kita terima, ketika kejadian helikopter terbang dalam cuaca buruk dan dikatakan mengalami masalah teknikal,” katanya kepada pemberita.

Mat Jusoh berkata, gerakan mencari dan menyelamat tiga lagi mangsa yang hilang masih diteruskan polis dengan bantuan Pasukan Gerakan Marin dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

Gerakan mencari dan menyelamat dihentikan pada jam 7 malam tadi dan diteruskan pagi ini.

Pemilik Sebiro Holdings, Datuk Sng Chee Hua turut mengesahkan helikopter tersebut adalah milik
syarikatnya dan digunakan oleh para pekerjanya yang terbabit dalam insiden berkenaan.

Sementara itu, ahli keluarga Peter bergegas ke Pekan Sebuyau sejurus dimaklumkan tentang insiden terbabit dan mengharapkan berita gembira ketika menunggu di Balai Polis Sebuyau.

Isteri Peter, Agnes Batang, 45, memberitahu beliau sendiri menghantar suaminya ke pejabat Sebiro pada kira-kira jam 8 pagi semalam.

“Saya ada cakap sama (pada) dia (Peter)… cuaca tidak bagus untuk terbang, tapi suami saya diam saja,” kata Agnes yang mempunyai tiga anak berusia antara 25 dan 18 tahun.

Menurut Agnes, pada kira-kira jam 8.30 pagi, beliau menghubungi suaminya untuk bertanya siapa yang akan menghantarnya ke lapangan terbang dan dijawab Peter: “Jangan risau, ada orang hantar.”

Pada kira-kira jam 2 petang, Agnes menerima panggilan memaklumkan kejadian yang menimpa suaminya.

Peter pernah bertanding atas tiket Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada Pilihan Raya Negeri 2011 dalam pertandingan tiga penjuru menentang Roland Sagah daripada Barisan Nasional (BN) dan Ateng Jeros (SNAP) di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tarat. Sagah menang.

Utusan Borneo 21 Jul 2012


Helikopter rosak jatuh sungai

SEBUYAU: Plastik yang ditiup menjadi gelembung udara jadi penyelamat bagi seorang juruterbang yang terpaksa terjun ke sungai dan berenang ke darat selama empat jam selepas helikopter dipandu terhempas antara muara Sungai Lupar dan Lingga, semalam.

Juruterbang warga Jerman, Riko Stiger, 35, bertindak demikian selepas helikopter berkenaan mengalami masalah teknikal akibat cuaca buruk sebelum terhempas kira-kira jam 9.30 pagi semalam.

Sehingga jam 9 malam tadi, hanya Stiger terselamat manakala nasib tiga lagi penumpang belum diketahui. Mereka ialah jurutera kanan, Peter Ato Mayau, 53; arkitek, Henry Loh, 40 dan jurukur bahan, Siti Khuzaimah Anwar, 26.

Saksi kejadian, Mustapa Mat Usen, 44, berkata, penduduk menemui juruterbang hanya berseluar dalam sambil menangis meminta bantuan menghantarnya ke balai polis berdekatan.

“Juruterbang ditemui pada jam 12.30 tengah hari dan memberitahu, dia terpaksa berenang empat jam selepas helikopter dipandunya terhempas di Triso sebelum ditemui di Kampung Tebelu, Sebuyau.

“Sebelum itu, juruterbang memberitahu tidak ada jaket keselamatan dalam helikopter dinaiki menyebabkan dia bersama tiga penumpang nekad terjun ke sungai menyelamatkan diri.

“Ketika itu, dia berlari menuju ke sebuah kedai runcit mendapatkan bantuan penduduk sebelum polis peronda tiba setengah jam kemudian,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Sementara itu, Ketua Kaum Kampung Tebelu, Polly Mat, 58, berkata, pada mulanya penduduk menyangka Stiger pencuri kerana juruterbang itu hanya berseluar dalam ketika ditemui.

“Penduduk cemas seketika sebelum mereka mengerumuni mangsa. Sehinggalah kami mendapat tahu, dia adalah juruterbang helikopter yang terhempas.

“Sebenarnya sebelum kejadian, penduduk terserempak dengan helikopter berkenaan berlegar-legar beberapa kali sebelum hilang dari pandangan,” katanya.

Sementara itu, Agnes Batang, 45, isteri seorang daripada mangsa, Peter berkata, dia sempat menghantar suami ke pejabatnya di Jalan Tun Juga kerana mahu berlepas ke Kapit atas urusan kerja.

“Kebiasaannya, suami tidak pergi sekiranya cuaca buruk, tetapi pagi tadi (semalam) dia tetap berkeras walaupun saya menghalangnya.

“Kira-kira jam 9 pagi, saya menghubunginya dan memaklumkan sudah berada dalam helikopter terbabit,” katanya yang mengetahui kejadian itu daripada rakan sepejabat suaminya pada jam 1 tengah hari.

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Acryl Sani Abdullah Sani berkata, Helikopter Eurocopter Dauphin 2 terbabit berlepas dari Kuching kira-kira jam 8.57 pagi menuju ke Kapit dan sebelum kejadian Stiger dikatakan menghubungi unit kawalan udara, Jabatan Penerbangan Awam (DCA) di Kuching untuk membuat pendaratan cemas berikutan cuaca buruk.

Menurutnya, helikopter terbabit dilaporkan berlepas beberapa minit sebelum cuaca buruk melanda dan juruterbang bersama tiga penumpang dilaporkan terjun lebih awal sebelum ia terhempas.

“Juruterbang kemudian berenang empat jam sebelum diselamatkan kira-kira jam 12 tengah hari oleh nelayan yang membawanya ke Kampung Tebelu, Sebuyau,” katanya ketika dihubungi.

Stiger dibawa ke Klinik Kesihatan Sebuyau sebelum dibawa menaiki helikopter Nuri bagi memastikan lokasi sebenar kejadian.

Satu operasi mencari dan menyelamat mangsa tiga penumpang terbabit dilakukan Pasukan Gerakan Marin, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Tentera Udara dan Bomba dan Penyelamat, namun sehingga jam 9 malam tadi mangsa belum ditemui.

myMetro 21 Jul 2012


Nahas Eurocopter: Dua Mayat Ditemui, Seorang Masih Hilang

KUCHING: Mayat seorang lagi penumpang yang hilang, jurutera Sebiro Holdings Peter Ato Mayau, antara empat orang yang menaiki Eurocopter EC 120 yang terhempas dekat muara Lingga, Sri Aman semalam ditemui tengah Sabtu.

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak SAC Datuk Law Hong Soon berkata mayat Ato dijumpai dihanyutkan di pantai Kampung Tebelu, Sebuyau oleh orang-orang kampung yang membantu operasi mencari dan menyelamat pada kira-kira 2 petang.

Mayatnya dihantar ke hospital terdekat di Simunjan untuk bedah siasat, kata Law kepada Bernama di sini.

Ato, 53, yang berkhidmat sebagai naib-presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR)Sarawak, disebut-sebut akan bertanding di kawasan parlimen Mambong dalam pilihan raya umum akan datang.

Terdahulu, Law mengesahkan mayat seorang lagi penumpang juruukur Siti Khuzaimah Anuar, 27, yang ditemui nelayan tempatan pagi ini juga dihantar ke Simunjan untuk bedah siasat.

Law berkata gerakan tiga pihak mencari dan menyelamat yang diselaraskan dari udara, darat dan laut ditingkatkan bagi mencari baki seorang lagi penumpang helikopter itu, arkitek Henry Lau Tee Yong, 42.

Jabatan Penerbangan Awam mengerahkan kakitangannya ke kawasan kemalangan, kira-kira 150km dari sini bagi menyiasat punca nahas, manakala siasatan awal mendapati helikopter milik Sebiro itu tenggelam sebaik sahaja terhempas di perairan, katanya.

Nelayan menyelamatkan juruterbang pesawat malang tersebut, Rico Steger, 35, berasal dari Jerman, yang berenang selama empat jam dalam arus deras selepas nahas berlaku.

mStar 22 Jul 2012


Telefon ibu sebelum ajal

Siti Khuzaimah bergambar bersama tunangnya Mohd Faithullah Ali pada majlis pertunangan mereka, Januari lalu.

Juruukur minta tolong helikopter terhempas 

Petra Jaya: “Mummy, tolong, tolong,” - itulah kata-kata terakhir Siti Khuzaimah Annuar, 27, apabila menghubungi ibunya sebelum helikopter dinaikinya bersama tiga yang lain terhempas, pagi kelmarin.

Sebaik jeritan meminta tolong sebanyak dua kali dan sebelum sempat ibunya membalas, talian terus terputus, dipercayai akibat helikopter terhempas di muara Sungai Lupar-Sungai Lingga di Bahagian Sri Aman.

Hashimah Fadzli, 51, yang panik selepas panggilan anaknya terputus, cuba menghubunginya semula namun gagal, sebelum bersama keluarganya bergegas ke Pejabat Sebiro Holdings, tempat Siti Khuzaimah bekerja di Simpang Tiga, untuk mendapat kepastian mengenai apa yang berlaku.

Dalam pada itu, juruukur bahan yang memanggil ibunya dengan panggilan mummy, dikatakan berkelakuan aneh apabila meninggalkan sekeping gambar kepada ibunya sebelum keluar rumah jam 7 pagi kelmarin.

Anak sulung daripada tiga beradik yang baru pertama kali menaiki helikopter dan sepatutnya pulang pada petang sama, dikatakan meminta ibu menyimpan gambarnya sehingga menghairankan Hashimah.

Anggota keluarganya yang ditemui di kediaman mangsa di Lorong Haji Babel, Jalan Semaring di sini, semalam, mengesahkan perkara berkenaan.

Hashimah dan suaminya, Annuar Musaddad Razali, 53, bersama ahli keluarga lain berada di jeti Sebuyau ketika mayat Siti Khuzaimah ditemui semalam.

Mayat Siti Khuzaimah ditemui di perairan Kampung Triso-Pulau Burung jam 9.15 pagi semalam dan tiba di Jeti Sebuyau jam 11 pagi.

Allahyarham Siti Khuzaimah adalah lepasan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan baru dua tahun setengah menyertai Sebiro Holdings sebagai juru ukur bahan.

Allahyarham bertunang dengan pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Mohd Faithullah Ali, 27, pada 1 Januari lalu dan sepatutnya melangsungkan perkahwinan Disember ini.

Kedua-dua ibu bapa mangsa enggan ditemui media kerana terlalu sedih.

Difahamkan, Allahyarham Siti Khuzaimah juga meluahkan rasa takut untuk menaiki helikopter kepada seorang lagi mangsa, Peter Ato Mayau, 53, (jurutera kanan), namun Peter Ato yang sudah biasa menaiki helikopter memberitahunya supaya jangan risau.

Berita Harian 22 Jul 2012


Bakal pengantin pergi buat selamanya

Ada kelengkapan sudah dibeli, Siti Khuzaimah dijadualkan kahwin hujung tahun ini

KUCHING: Kelengkapan perkahwinan ada yang sudah dibeli tetapi apa yang menyedihkan, bakal pengantin perempuannya sudah pergi buat selamanya.

Demikian cerita ringkas seorang saudara Siti Khuzaimah Anwar, 27, yang disahkan terkorban dalam nahas helikopter di Sungai Triso, Sri Aman kelmarin.

Mayat Khuzaimah, seorang daripada tiga mangsa helikopter Eurocopter EC 120 yang hilang, dijumpai terapung di kawasan perairan dekat Maludam semalam selepas terhempas pada Jumaat di Sungai Triso, Sri Aman.

Allahyarhamah dikatakan bakal diijabkabulkan dengan tunangannya, Mohd Faitullah Ali, pada 30 November ini disusuli dengan majlis persandingan pada 2 Disember.

“Apa yang menyedihkan saya apabila melihat kelengkapan perkahwinan Allahyarhamah,” katanya yang enggan disiarkan nama ketika ditemui di kediaman mangsa bersama ibu bapanya di Semariang, Lorong Haji Babel di sini, semalam.

Suasana sedih menyelubungi rumah Khuzaimah sebaik sahaja mendengar berita memilukan menyatakan mayatnya dijumpai pada kira-kira jam 11 pagi semalam.

Khuzaimah bekerja sebagai juruukur bahan dengan Sebiro Holdings.

Ibu bapa dan adik-beradik mangsa tidak berada di rumah cuma yang ada ialah ahli-ahli keluarga lain dan rakan-rakannya kelihatan melayan perasaan sedih masing-masing tatkala mendengar nasib malang menimpa mangsa.

“Hujung tahun ini, Siti akan berkahwin. Saya memang tidak menjangka perkara ini akan berlaku terhadapnya,” demikian menurut Aimi Nuraida Ali Hassan yang tidak dapat menahan sebak mengenang keakrabannya dengan Allahyarhamah sejak sekolah rendah.

Seorang lagi rakan Allahyarhamah, Normalina Nawawi memberitahu, dia memang sedih apabila mendengar berita Allahyarhamah terkorban dalam insiden tersebut.

“Setahu saya, Allahyarhamah berkahwin tidak lama lagi setelah majlis pertunangan diadakan pada awal tahun ini,” ujarnya.

Utusan Borneo 22 Jul 2012


Mayat terakhir mangsa helikopter terhempas dijumpai

KUCHING: Mayat Henry Loh, mangsa ketiga kejadian helikopter terhempas di Sungai Triso dekat Sebuyau dijumpai terapung di laut dekat Pulau Triso kira-kira pada jam 7.40 pagi tadi.

Mayat yang lengkap berpakaian dan tanpa jaket keselamatan itu dijumpai oleh penambang di lokasi kira-kira setengah jam perjalanan bot dari pekan Sebuyau.

Penemuan itu terus dimaklumkan kepada pasukan Bomba dan Penyelamat.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Acryl Sani Abdullah Sani yang mengesahkan penemuan itu berkata mayat mangsa terakhir nahas helikopter milik Sebiro Holdings itu disahkan oleh saudara mangsa.

“Gerakan mencari dan menyelamat dihentikan,” katanya.

Difahamkan mayat mangsa dibawa terus ke Hospital Umum Sarawak di sini untuk bedah siasat.

Semalam dua mayat mangsa helikopter yang sama dijumpai pada masa dan tempat berasingan.

Mayat Siti Khuzaimah Anwar ditemui kira-kira pada jam 11 pagi ditemui terapung di kawasan perairan dekat Maludam.

Manakala mayat Peter Ato Mayau dijumpai terapung di perairan berhampiran Kampung Tebelu, Sebuyau kira-kira pada jam 2 petang.

Insiden helikopter jenis Eurocopter EC 120 itu berlaku pada pagi Jumaat ketika ia mengangkut tiga mangsa terbabit dari Kuching ke Nanga Merit, Kapit atas urusan kerja.

Juruterbang warga Jerman Rico Steger terselamat dalam nahas tersebut selepas berenang empat jam sebelum sampai ke Tebelu, Sebuyau.

Utusan Borneo 22 Jul 2012


Nahas helikopter terhempas: Mangsa tak pakai jaket keselamatan


DCA siasat sama ada pesawat bawa peralatan diwajibkan

Kuching: Siasatan Jabatan Penerbangan Awam (DCA) terhadap helikopter Eurocopter EC120 yang mengorbankan tiga nyawa Jumaat lalu, menjurus kepada sama ada helikopter itu membawa jaket keselamatan atau tidak. Ia disebabkan ketiga-tiga mangsa nahas di muara Sungai Lupar-Sungai Lingga itu, tidak memakai jaket keselamatan termasuk juruterbangnya, Rico Stiger yang dijumpai selamat.

Sumber industri penerbangan memberitahu BH, mandatori bagi semua pesawat di negara ini yang terbang melalui perairan atau dekat dengan perairan, menyediakan jaket keselamatan mencukupi dalam pesawat.

Katanya, ia penting bagi menghadapi kemungkinan pesawat berkenaan perlu melakukan pendaratan cemas di atas air.

“Namun persoalan itu hanya akan terjawab jika mereka berjaya mengangkat bangkai helikopter malang itu dari muara sungai tempat ia terhempas, " katanya.

Ketiga-tiga mereka disahkan anggota keluarga, tidak pandai berenang.

Pengarah DCA Sarawak, Ling Swee Ing yang dihubungi tidak dapat memberikan jawapan kepada persoalan sama ada helikopter berkenaan menyediakan jaket keselamatan atau tidak.

Katanya, beliau juga tidak dapat memberi komen kerana hanya pihak di ibu pejabat Kuala Lumpur boleh berbuat demikian.

Pemilik Eurocopter EC120 Datuk Sng Chee Hua yang ditemui semalam enggan mengulas sama ada helikopter itu ada membawa jaket keselamatan atau tidak.

Sementara itu, anggota keluarga terdekat Siti Khuzaimah Annuar, 27, mempersoalkan mungkin Khuzaimah dan dua lagi mangsa mungkin selamat jika memakai jaket keselamatan.

Berita Harian 23 Jul 2012


Mangsa ketiga putus tangan kiri


SAMARAHAN - Mayat mangsa terakhir penumpang helikopter jenis Eurocopter EC 120 yang terhempas di muara Batang Lupar berhampiran Sungai Tereso dekat Sebuyau di sini ditemui semalam.

Mangsa Henry Loh, 42, ditemui pada pukul 8 pagi terapung di tengah laut berhampiran Pulau Tereso iaitu tidak jauh dari lokasi helikopter tersebut terhempas pada Jumaat lalu.

Penolong Penguasa Balai Bomba dan Penyelamat Simunjan, Sekan Anak Gundah berkata, hasil maklumat penduduk kampung pihaknya bergegas ke lokasi yang terletak kira-kira 30 minit perjalanan dari jeti Pekan Sebuyau.

"Semasa ditemui mangsa dalam keadaan masih lengkap berpakaian tetapi tangan kirinya hilang dipercayai dimakan ikan buntal.

"Mayat mangsa kemudian dibawa ke jeti dan tiba pada pukul 8.28 pagi sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut," kata beliau ketika ditemui di sini semalam.

Berikutan penemuan mangsa terakhir, operasi mencari dihentikan pada pukul 8.40 pagi.

Bagaimanapun, bangkai helikopter tersebut belum ditemui.

Beliau berkata, operasi mencari dan menyelamat menggunakan empat buah bot pada hari ketiga semalam itu dimulakan seawal pukul 7.40 pagi dengan dibantu oleh 16 anggota dari Siburan, Kota Samarahan, Simunjan serta ibu pejabat bomba negeri.

Tinjauan Kosmo! ke Klinik Kesihatan Sebuyau semalam mendapati ahli keluarga arkitek tersebut yang tinggal di Kuching hadir untuk proses menuntut mayat selepas dimaklumkan mengenai penemuan tersebut.

Adik ipar mangsa, Law Kim Sheng, 40-an, dilihat tidak dapat mengawal perasaan dengan kematian mangsa sehingga dia terpaksa ditenteramkan oleh saudaranya K.C. Law, 48.

Mayat Henry kemudian dipindahkan ke Hospital Umum Sarawak dekat sini.

Kosmo 23 Jul 2012



Siti Khuzaimah worked for PUBM Quantity Surveyors, not Sebiro


KUCHING: Siti Khuzaimah Annuar Mussadad’s employer, PUBM Quantity Surveyors Sdn Bhd said her demise was a big loss to the firm and the construction industry as a whole.

PUBM mentioned in a press release that Siti was a dedicated and highly valued staff who offered selfless service in all her projects and profession in general.

The company said the purpose of issuing the statement was to clarify that Siti was, in fact, their employee and not Sebiro Holdings Sdn Bhd’s as reported in the media.

Also, PUBM is employed as quantity surveyor by the Malaysian government and not Sebiro, PUBM stressed.

“The management and staff of PUBM share the deep loss and sorrow of her family due to her passing,” the firm said.

Siti and three others including Rico Steger, the surviving German pilot of the crashed Eurocopter EC120, were on their way to a primary school project in Nanga Merit Kapit from Kuching when the accident occurred in Sebuyau around 9am on Friday.

Siti and the rest of the passengers, Sebiro civil engineer Peter Ato Mayau and its consultant architect Henry Loh perished in the crash.

All three had been laid to rest.

The Borneo Post 25 Jul 2012







0 comments:

Post a Comment