July 31, 2012

Belasah mentua kerana anak



AMPANG: Seorang menantu tergamak membelasah ibu mentuanya dengan kayu mop hanya kerana perselisihan faham kecil berkaitan anaknya berusia setahun ketika ingin berbuka puasa di Taman Cheras Indah, dekat sini, Jumaat lalu.

Difahamkan, punca pertengkaran bermula apabila wanita berusia 64 tahun itu mengambil cucu lelakinya duduk bersama di meja makan menyebabkan menantu lelakinya berusia 20-an tidak berpuas hati kerana ketika itu dia ingin menyuap ayam panggang kepada anaknya itu.

Sumber berkata, lelaki terbabit yang baru pulang ke rumah kira-kira jam 7.20 malam itu turut membawa ayam panggang yang dibeli di bazar Ramadan sebelum meminta isterinya menghidangkannya di meja makan.

Menurutnya, mangsa ketika itu sedang bermain dengan cucunya kemudian menuju ke meja makan untuk berbuka sambil meriba kanak-kanak terbabit.

Katanya, menantunya itu kemudian meminta menyerahkan anaknya itu kerana ingin menyuapkan ayam panggang.

“Bagaimanapun, mangsa meminta izin menyuapkan sendiri ayam panggang itu menyebabkan keadaan sedikit tegang selepas menantunya tidak berpuas hati dan terus memarahi mentuanya.

“Terkejut dengan tindakan biadab itu, mangsa cuba menegur sebaliknya menantunya hilang pertimbangan terus merampas anaknya secara kasar sebelum memaki-hamun mangsa,” katanya.

Sumber berkata, tidak cukup dengan itu, mangsa dipukul di kepala dengan kayu mop yang diambil dari dapur hingga cedera ringan sebelum dileraikan anak perempuannya.

“Mangsa yang bimbang kejadian sama berulang membuat laporan di Balai Polis Pandan Indah,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ampang, Asisten Komisioner Amiruddin Jamaluddin mengesahkan menerima laporan kejadian itu.

myMetro 31 Jul 2012

0 comments:

Post a Comment