July 19, 2012

Bayi lima bulan koma dipercayai didera pengasuh


Muhammad Taufiq Daniall Amriizwan koma dipercayai didera.

ALOR SETAR - Seorang bayi lelaki berusia lima bulan, koma selepas mengalami pendarahan otak dipercayai akibat hentakan kuat pada kepala hujung bulan lalu.

Ia kini sedang menjalani rawatan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB).

Kejadian malang yang menimpa Muhammad Taufiq Daniall Amriizwan, dipercayai berlaku sewaktu berada dalam jagaan pengasuhnya yang berusia lingkungan 50-an, di Kulim.

Ibunya, Rosmira Ramli, 28, berkata, Muhammad Taufiq menjalani pembedahan mengeluarkan darah beku di bahagian otak pada hari dimasukkan ke hospital iaitu 20 Jun lalu.

"Namun sehingga hari ini, bayi saya masih tidak sedarkan diri dan dimaklumkan oleh doktor bahawa peluang untuk sembuh agak tipis," katanya kepada media di pekarangan HSB, hari ini.

Beliau tidak mengetahui punca kejadian dan hanya dimaklumkan pengasuh bahawa bayinya tiba-tiba tidak sedarkan diri dan kebiruan.

"Pengasuh maklumkan bahawa dia sempat memberi susu dan sendawakan bayi saya sebelum membiarkannya tidur sementara pergi melihat kanak-kanak lain dalam jagaannya.

"Namun tidak lama kemudian, dia kata terdengar suara bayi saya menangis dengan kuat sebelum menyedari Muhammad Taufiq bertukar kebiruan dan tidak sedarkan diri," katanya yang bekerja di sebuah pasar raya di Kulim.

Rosmira berkata, hasil pemeriksaan doktor menunjukkan bahawa Muhammad Taufiq mengalami pendarahan otak dan ia hanya boleh berlaku akibat hentakan kuat.

"Saya hairan bagaimana perkara itu berlaku sedangkan pengasuh mendakwa tidak tahu apa-apa dan hanya sedar apabila bayi saya tidak sedarkan diri.

"Apatah lagi apabila Muhammad Taufiq berada dalam keadaan sihat dan aktif pada sebelah pagi sebelum dihantar ke rumah pengasuh pada hari kejadian. Apa pun saya serahkan kepada polis untuk siasat," katanya yang agak kesal dengan kejadian itu.

Susulan itu, satu laporan dibuat oleh doktor dari jabatan kanak-kanak Hospital Kulim pada 20 Jun di Balai Polis Kulim manakala laporan kedua dibuat bapa mangsa, Amriizuan Ibrahim, 29, pada keesokan harinya di Balai Polis Langgar (Kota Setar).

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Ghuzlan Saleh mengesahkan menerima laporan mengenai kes berkenaan dan siasatan akan dijalankan mengikut Seksyen 31(1) (a) Akta Kanak-kanak 2001 kerana kecuaian.

"Tiada unsur dera sebab tiada kesan cedera pada luaran badan mangsa. Polis sudah merakamkan keterangan pengasuh sebelum menyerahkan laporan siasatan kepada pihak pendakwaan," katanya.

Sinar Harian 19 Jul 2012


Lagi bayi didera pengasuh

Mangsa koma akibat pendarahan otak

Alor Setar: Bayi berusia empat bulan koma akibat pendarahan dalam otak di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini. Muhammad Taufiq Daniall Amriizwan tidak sedarkan diri sejak 20 Jun lalu.

Bapa bayi malang itu, Amriizwan Ibrahim, 29, membuat laporan di Balai Polis Langgar di sini, pada 21 Jun lalu kerana mengesyaki anaknya didera ketika ditinggalkan di rumah pengasuh.

Amriizwan berkata, pada 20 Jun lalu, isterinya menerima panggilan daripada pengasuh memaklumkan anak mereka menangis.

“Tidak lama kemudian, Taufiq tidak sedarkan diri, sebelum tubuhnya menjadi kebiruan dan tidak lagi bernafas.

“Isteri saya terus membawanya ke Hospital Kulim (HK) dan pihak hospital memaklumkan anak saya sudah meninggal dunia kerana kekurangan oksigen.

“Bagaimanapun, doktor sempat menyelamatkan anak saya sebelum meminta kami merujuknya ke HSB untuk pemeriksaan lanjut,” katanya ketika ditemui di HSB di sini, semalam.

Taufiq dibedah pada hari sama jam 11 malam.

“Doktor memberitahu ada pendarahan beku dalam otak dan matanya menyebabkan anak saya koma sehingga sekarang. Malah, pihak hospital turut mengesyaki anak saya didera,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Ghuzlan Salleh, berkata setakat ini siasatan mendapati tiada kesan cedera pada luaran badan mangsa.

“Polis sudah ambil keterangan daripada pengasuh terbabit dan hasil siasatan akan dimajukan kepada pendakwa raya untuk tindakan lanjut mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 kerana kecuaian,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Awal bulan ini di Johor Bahru, seorang bayi tiga bulan, Muhammad Zafran Anaqi patah kaki dan tangan kirinya akibat didera pengasuh.

Berita Harian 19 Jul 2012


Kembali sedar

DANIALL kembali sedar selepas koma lebih sebulan akibat pendarahan otak kesan dari hentakan kuat ketika dalam jagaan pengasuh.

ALOR SETAR – Tiada apa yang lebih menggembirakan hati seorang ibu apabila mendapati bayinya yang sebelum ini koma selepas mengalami pendarahan dalam otak dipercayai akibat hentakan kuat ketika dalam jagaan pengasuhnya kembali sedar dan memberi reaksi positif.

Bayi berusia lima bulan, Muhammad Taufiq Daniall Amriizwan yang sebelum ini koma lebih sebulan lalu mula sedar pada 23 Julai lepas selepas menjalani rawatan intensif di unit rawatan rapi (ICU) Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini.

Ibunya, Rosmira Ramli (gambar kecil), 28, memberitahu, dia bersyukur kerana doanya agar Daniall (panggilan manja Muhammad Taufiq Daniall) sedar dan sembuh seperti bayi sihat lain dimakbulkan Tuhan.

Katanya, khabar itu seakan memberi kegembiraan berganda kepadanya kerana anaknya sedar ketika umat Islam sedang bersiap-siap untuk meraikan Aidilfitri yang bakal menjelang.

“Saya terkejut dan air mata saya terus mengalir apabila melihat anak tunggal saya sedar daripada koma dan mulai sembuh sedangkan pada awalnya harapannya untuk sedar adalah tipis,” cerita pekerja pasar raya itu ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.

Kosmo 8 Ogos 2012


0 comments:

Post a Comment