July 30, 2012

Ahli Perniagaan Ditembak Mati Ketika Trafik Sedang Sibuk



MIRI: Seorang ahli perniagaan ditembak mati di simpang trafik yang sibuk berhampiran Mega Hotel di sini pada Isnin.

Mangsa, berusia lewat 40-an, berada dalam pacuan empat roda apabila dia ditembak mati oleh penyerang yang berada di atas motosikal pada kira-kira pukul 6 petang ini.

Dia dipercayai sedang memandu di sepanjang Jalan Permaisuri menuju ke pusat bandar semasa kejadian.

Difahamkan mangsa, seorang lelaki Miri tempatan, telah terlibat dalam pelbagai perniagaan, termasuk hiburan dan kewangan.

Ketua Polis Miri ACP Mun Kock Keong mengesahkan tembakan tetapi enggan memberikan maklumat lanjut.

"Kami sedang menyiasat. Kita kini berada di tempat kejadian," katanya.

Kejadian ini adalah salah satu daripada beberapa kejadian tembakan di negeri ini sejak beberapa bulan kebelakangan ini.

Pada 11 Januari pemilik pub berusia 41 tahun telah ditembak ketika memasuki kedai pembekal peralatan pejabat di Brooke Drive di Sibu.

Dalam tembakan ala mafia yang berlaku pada siang hari, Lau Leh Ing ditembak 10 kali di belakangnya.
Lau meninggal dunia dalam perjalanan ke pusat pakar swasta.

Pembunuhan Lau berlaku hampir seminggu selepas pembunuhan ngeri seorang ahli perniagaan, dua anaknya dan ibunya.

mStar 30 Jul 2012


Ahli perniagaan mati ditembak

TERKULAI: Seorang kakitangan perubatan memeriksa keadaan mangsa yang sudah terkulai kaku dalam kenderaannya dengan kesan kecederaan di leher dan kepala sebelah kanan dipercayai terkena tembakan tersebut.



MIRI: Seorang ahli perniagaan terkenal maut setelah ditembak dari jarak dekat oleh individu tidak dikenali dipercayai pembunuh upahan dalam kejadian yang berlaku berhampiran lampu isyarat di Jalan Bendahara di sini petang semalam.

Mangsa yang berusia 48 tahun dan memandu seorang diri, maut di tempat kejadian setelah dua das tembakan yang dilepaskan penjenayah ter-babit menembusi cermin keretanya dan mengena bahagian leher serta kepala sebelah kanannya.

Kejadian tembak itu yang berlaku sekitar jam 5.45 petang menggemparkan penduduk di bandar raya Miri apatah lagi ia berlaku ketika waktu puncak, ramai orang balik dari bekerja dan bergegas untuk berbuka puasa.

Sementara ahli keluarga dan rakan-rakan yang dimaklumkan tentang kejadian itu terus bergegas ke tempat kejadian.

Beberapa ahli keluarga mangsa juga dilihat meng- gunakan objek keras untuk memecah cermin belakang ke-reta mangsa bagi memboleh-kan kakitangan perubatan dari Hospital Miri memeriksa keadaan mangsa.

Menurut sumber, ketika kejadian mangsa yang memandu kereta jenis Toyota Prado berwarna putih dipercayai sedang berhenti di lampu isyarat terbabit apabila tiba-tiba ditembak dari jarak dekat oleh individu tidak di-kenali.

Kereta mangsa kemudian ditemui berhenti pada jarak kira-kira 70 meter dari lampu isyarat terbabit dengan mangsa sudah terkulai kaku di tempat duduk pemandu.

Dua kesan tembakan turut kelihatan pada cermin sebelah pemandu.

Difahamkan, mangsa merupakan seorang ahli perniagaan terkenal dengan mempunyai rangkaian perniagaan yang pelbagai.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Miri ACP Mun Kok Keong ketika ditemui di tempat kejadian mengesahkan      kes itu dan mengklasifikasi-kannya sebagai bunuh serta disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Ini merupakan kes tembak maut yang pertama berlaku di Miri setakat ini,” katanya sambil memberitahu, polis akan menjalankan siasatan terperinci dari segenap aspek untuk mengetahui motif sebenar kejadian.

Utusan Borneo 31 Jul 2012

0 comments:

Post a Comment